SEBAHAGIAN daripada biskut keluaran SR Premium.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


KINI tidak lagi perlu menunggu hari raya untuk anda menikmati aneka biskut seperti tart yang sering menjadi pilihan utama di musim perayaan.

Tidak hanya hari raya Aidilfitri perayaan lain seperti Tahun Baru Cina ataupun Deepavali, tart antara biskut yang mendapat perhatian ramai.

Antara sebab itu menarik minat Soleha Rafiee meneruskan legasi ibunya, Tati Murni Rusydi menjual pelbagai jenis biskut raya.

Soleha, 27, berkata, dia sememangnya minat untuk berniaga malah meluahkan hasrat untuk mengambil alih tugas menjual biskut raya daripada ibunya yang sebelum ini memasarkan produk ke Singapura.

Namun kata Soleha berkata, mengapa perlu menunggu pada hari raya untuk memakan biskut padahal ia sebenarnya boleh dimakan pada bila-bila masa dengan tagline ‘sentiasa ada di setiap suasana.

Justeru ibu kepada dua cahaya mata itu berhasrat memasang impian untuk mengembangkan pasaran SR Premium Tart & Cookies ke seluruh Malaysia selepas menguasai pasaran di Singapura.

Katanya, di awal pembabitannya, SR Premium hanya mengeluarkan biskut tart namun di bawah jenama itu kini peminat boleh merasai pelbagai aneka biskut antaranya tart nutella, tart oreo, tart nanas gulung, conflakes chochips, cornflakes cranberry, mint almond chochips dan crunies.


BISKUT tart sering mendapat tempahan biarpun bukan di hari perayaan.

“Biskut di bawah jenama kami ini adalah premium dan dibuat sendiri penuh teliti menggunakan bahan berkualiti seperti mentega dan jem nanas berkualiti.

“Maklum balas daripada pelanggan juga positif dan menyifatkan biskut keluaran SR Premium ini unik dan mempunyai kelainan berbanding biskut raya lain,” katanya.

Menjalinkan usaha sama perniagaan bersama suami Ikbal Fadhil Ayi Kurnia, yang menjadi tunjang kekuatan kepadanya, Soleha berkata, untuk berjaya perlu ada ilmu.

“Untuk berjaya jangan mudah putus asa. Fokus kepada apa yang ingin dibuat dan perlu ada vitamin konsisten.

“Berniaga ini juga perlu ada ilmu dan mentor jika tidak kita akan langgar dinding,” kata Ikbal.

Bermula dengan modal RM2,500, tempahan yang diterima kini mencecah hingga 300,000 ribu biji ketika perayaan utama.

Ditanya mengapa memilih untuk berniaga biskut, Soleha berkata, perniagaan ini adalah salah satu daripada perkongsian yang boleh membuka peluang menjana pendapatan kepada orang lain juga.

“Di awal pembabitan ibu saya, dia juga berniaga dengan hasrat untuk membantu ibu-ibu tunggal di kawasan kejiranan saya di Johor. Pada mulanya ibu hanya membuka tempahan pada hari raya. Tapi kemudian meluaskan pasaran hingga ke Singapura.

“Begitu juga dengan saya. Saya berharap dengan berniaga ini secara tidak langsung dapat membantu orang lain berniaga menambah sumber pendapatan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 10:00 AM