Glenda sudah mula berdikari dengan menjual apa saja barangan demi sesuap nasi.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


UMURNYA baru menginjak 20 tahun ketika wanita ini bergelar jutawan muda Filipina malah diiktiraf sebagai antara ketua pegawai eksekutif (CEO) termuda di negara itu.

Lebih membanggakan apabila dia mendapat pengiktirafan antarabangsa, Gawad Award America di California, Amerika Syarikat tahun lalu sebagai CEO Filipina Termuda dalam bidang kosmetik dan penjagaan kulit.

Glenda Victrorio bukan nama asing di negara itu, bahkan pencapaiannya hasil usaha keras sejak usianya belasan tahun. Siapa sangka daripada anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa, malah ‘dibuang’ ibunya sendiri ketika berusia dua tahun kini menggapai kejayaan luar biasa di negaranya.

Pemilik jenama Brilliant Skin Essentials ini mengakui kejayaan itu bukan datang bergolek sebaliknya dia terlebih dulu merasai keperitan hidup bersama neneknya selepas ditinggalkan ibu bapanya.

Pada usia 12 tahun ketika kebanyakan rakan seusia berada di rumah menyiapkan kerja sekolah, Glenda sudah mula berdikari dengan menjual apa saja barangan demi sesuap nasi.

Dari rumahnya di Morong, Rizal, Filipina, dia ke Divisoria untuk membeli pelbagai barangan dan menjualnya semula secara dalam talian. Pada masa sama, dia turut bekerja sebagai pembantu di syarikat antarabangsa.

Bagaimanapun, Glenda dipecat selepas syarikat mendapati dia masih di bawah umur, namun wanita muda ini tidak pernah mengalah malah tidak lama selepas itu, dia hamil pada usia baru 17 tahun dan mengambil keputusan berkahwin dengan teman lelakinya ketika itu.

Meskipun sudah berkeluarga, Glenda tidak pernah mengalah atau melupakan cita-citanya untuk berjaya dan kaya.

Ketika trend pemasaran dalam talian meledak, dia bijak mengambil peluang dan kesempatan untuk membina rangkaian di alam maya menerusi penjualan pelbagai barangan pengguna termasuk produk kecantikan.

Menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan sepenuhnya daripada suami tercinta, Mart Crispher Victorio, mereka berdua tidak pernah mengenal erti putus asa meskipun kedua-duanya masih berusia belasan tahun.

Ketika dia dan suami bergelut membesarkan bayi sulung mereka dalam usia yang amat muda, pasangan ini gigih mencari rezeki dengan menjual semula apa sahaja produk berharga murah yang boleh dibeli di sebuah pusat

komersial terkenal di Manila.

Daripada menjual lilin, selipar dan segala barangan murah, kehidupan ringkas pasangan ini banyak dihabiskan dengan perjalanan jauh dari rumah ke tempat memborong barangan hingga memberikan tekanan kepada mereka.

Bagaimanapun, tekanan yang dialami dan kekurangan tidur amat menjejaskan kulit wanita ini. Banyak jerawat mula timbul di wajahnya, namun ‘musibah’ itulah sebenarnya yang membuka jalan hingga mencipta kejayaan

besar.

Ibu kepada dua cahaya mata ini melakukan eksperimen dengan menjadi

pembekal lilin dan mereka bersama-sama merumuskan sabun berasaskan arang hitam dengan Glenda sendiri menjadi subjek ujian. Ia amat berkesan buatnya dan apabila Glenda memuat naik gambarnya dalam talian, ia menjadi trend dan tular di negara itu.

Glenda menggunakan kemahiran pemasarannya dan strategi kreatif untuk menjual dalam talian daripada pembekalnya sehingga akhirnya, selepas penyelidikan dan kajian yang menyeluruh, dia memutuskan untuk mengeluarkan produknya sendiri pada 2016.

Selepas beberapa tahun kukuh di pasaran tempatan, dia mula giat melakukan promosi di negara Asia lain termasuk di Malaysia, malah dia berharap penembusan pasaran lebih tinggi dalam industri halal global menerusi rangkaian produknya itu.

Bahkan, baru-baru ini syarikatnya turut mendapatkan persijilan halal di negara ini kerana produknya semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna Muslim.

“Melalui pensijilan halal dan produk yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan, kami berharap dapat memberikan khidmat terbaik buat pelanggan di negara ini.

“Kami menyedari aspek kesucian bahan digunakan untuk menghasilkan produk sangat dititikberatkan pelanggan Muslim, jadi kami mengambil inisiatif untuk mendapat pengesahan halal bukan saja produk bahkan operasi kilang kami di Filipina,” katanya.

Kesungguhan ibu muda adalah bukti bahawa tiada yang mustahil asalkan rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Rahsia kejayaannya adalah meletakkan hati, minda dan jiwa dalam sekecil-kecil perkara yang dilakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 8:01 AM