JANGAN ikutkan perasaan ingin selalu makan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


“BARU sahaja turun ke kafeteria pejabat untuk makan tengah hari, tetapi kenapa masih rasa lapar lagi ni? Dari tadi mengunyah makanan, minum pun sudah, tetapi masih nak makan lagi.”

Situasi ini sebenarnya sangat kerap terjadi kepada ramai orang, bukan saja individu berbadan besar, namun turut dialami insan yang memiliki berat badan normal.

Ia menyebabkan ada yang mula bimbang memikirkan keadaan diri malah ada juga yang digelar ‘membela saka’ kerana terlalu kerap lapar dan mahu makan.

Hakikatnya, rasa lapar yang terlalu kerap ini hanya permainan minda. Ramai yang berasa lapar, tetapi sebenarnya ia bukanlah kelaparan sebenar atau lebih kepada isu psikologi.

Mengupas mengenai kekerapan berasa lapar, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Muslim Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, individu yang mengesan dirinya sering dalam keadaan itu sebenarnya bukanlah berada dalam keadaan lapar, tapi sedang mengalami sensasi pseudo-lapar atau sensasi lapar-palsu.

“Individu terbabit sedang mengalami rasa lapar akibat otak atau minda mereka sendiri yang berasa perlu makan atau mengunyah sesuatu dan keadaan ini dipanggil kelaparan psikologikal.


DR Zubaidi

“Ini kerana rasa lapar yang sebenarnya hanya berlaku apabila individu terbabit tidak makan selepas tempoh enam jam dan lebih. Oleh itu apabila kita berasa lapar walaupun baru saja makan terutama satu atau dua jam selepas itu, cuba fikirkan sama ada ia kelaparan sebenar atau hanyalah permainan minda sendiri,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, sekiranya baru saja dua atau tiga jam makan dan masih berasa lapar, cubalah pujuk minda sendiri mengatakan anda sudah makan, ia bukan kelaparan sebenar dan belum tiba masa untuk makan lagi, bukannya dengan cara mencari makanan untuk memenuhi keinginan tadi.

“Jika baru saja makan dua jam yang lepas terutama makan dalam jumlah besar, tetapi sudah terasa mahu makan lagi walaupun sekadar kudapan, itu sebenarnya bukan lapar sebenar dan tidak boleh dijadikan sebagai kebiasaan.

“Langkah terbaik adalah minum air kosong bagi memujuk atau menjinakkan rasa lapar akibat mainan minda itu dan paling utama jangan biasakan diri mengikut keinginan itu,” katanya.

Katanya, jangan takut apabila berasa lapar kerana ia bukanlah keadaan yang mendatangkan bahaya. Sebaliknya anda boleh mengundang bahaya jika memenuhi keinginan untuk makan kerana ia boleh menyebabkan masalah pertambahan berat badan.

Kelaparan yang berbahaya hanya berlaku kepada mereka yang mengalami kekurangan gula hingga melepasi had normal (hipoglisemia), namun ia boleh menyebabkan kekeliruan, sukar bercakap, pitam, sawan dan kematian.

Tetapi, jika anda hanya berasa lapar tanpa mengalami sebarang tanda membimbangkan, tidaklah perlu risau dan paling utama cuba kawal desakan untuk makan yang akan menambah pengambilan kalori harian.

“Ada yang bertanya adakah dia perlu mengikut saja rasa lapar itu dan mengambil makanan bersesuaian dalam jumlah kecil? Jawapan saya mudah iaitu ikut pada situasi dan keadaan.


RASA lapar yang kerap hanyalah mainan minda.

“Saya tidak menyarankan pengambilan makanan atau kudapan terlalu kerap terutama makanan ringan yang tidak mengandungi khasiat. Bukan tidak boleh, tetapi perlu dikawal dan pastikan tidak diambil terlalu kerap,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, rasa lapar bukanlah suatu yang berbahaya dan ia biasanya dialami apabila tahap gula menurun, tetapi masih di dalam julat normal.

“Jangan ikutkan hati, fikirlah kesihatan diri dan penting untuk tidak membiasakan perut menerima makanan dengan kerap dan dalam jumlah yang banyak. Semua ini adalah permainan minda dan ia boleh dikawal,” katanya.

TIP TANGANI KELAPARAN PSIKOLOGI

Dr Zubaidi berkongsi langkah yang boleh dilakukan sekiranya anda sering kali berasa lapar:

1. Anggap ia hanyalah mainan minda

Ramai yang tidak dapat membezakan kelaparan sebenar dengan lapar disebabkan mainan minda. Jika baru saja makan dan ia kurang dari enam jam, ia bukanlah lapar sebenar. Minum air kosong untuk memujuk perasaan akibat mainan minda itu.

2. Jangan biasakan diri dengan rasa kenyang

Jarang kita memberikan perhatian mengenai makanan atau minuman yang diambil setiap hari. Ramai juga antara kita yang kadangkala lupa rasa kenyang adalah rahmat dan rezeki. Fikirkan mengenai nasib dan keadaan individu yang benar-benar kelaparan kerana tidak cukup makan.

3. Makan terlalu kerap, hilang rasa menikmati makanan

Apabila terlalu kerap makan, kita akan mula hilang detik untuk benar-benar menikmati makanan. Nasi ayam yang enak pun sudah menjadi suatu yang biasa, nasi Arab juga tidak lagi istimewa.

Ini disebabkan hampir setiap masa kita membiasakan dan memanjakan diri dengan pelbagai jenis hidangan lazat serta mewah. Jadi, apabila disajikan hidangan enak pun, rasanya tetap hambar.

Sudah sampai masanya kita belajar bersederhana dalam segala hal termasuk makan minum supaya makanan tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan diri. Ia juga secara tidak langsung mengelak kita menjadi gemuk.

4. Rasa lapar tidak berbahaya

Jangan takut dengan rasa lapar. Seperti yang dikatakan, kekerapan rasa lapar sebenarnya hanyalah mainan minda. Ia tidak mendatangkan bahaya kepada kesihatan kecuali anda menghidap penyakit tertentu. Sebenarnya melatih diri dengan rasa lapar adalah perkara yang baik seperti kita berpuasa kerana kebanyakan penyakit berpunca daripada perut yang kenyang.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Perut manusia itu tempat segala penyakit manakala pencegahan itu pokok daripada segala pengubatan.” (Riwayat ad-Dailami)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:15 AM