ANTARA tanaman yang ditanam Muhammad Noor.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


DUA beranak ini bukan saja akrab dan saling melengkapi malah turut bersama-sama mengisi masa terluang yang ada dengan bercucuk tanam.

Menggunakan kawasan halaman rumah di Pengerang, Kota Tinggi, Johor yang dijadikan sebagai kebun mini menjadikan kehidupan dua beranak ini sangat menarik.

Mana tidaknya, hampir keseluruhan masa digunakan untuk berbakti kepada tanah dan pada masa sama mengeluarkan peluh. Bagi kedua-duanya, aktiviti itu umpama terapi terbaik khususnya untuk kesihatan.

Berkongsi cerita, Muhammad Noor Abu Bakar, 33, yang mesra dengan panggilan Noygreen berkata, dia mula minat bercucuk tanam sejak 2004 lagi iaitu ketika usianya baru 18 tahun.

Menurutnya, antara pokok terawal yang ditanam adalah mawar kampung sebelum satu persatu sayuran, bunga dan ulaman ditambah.

“Ketika itu saya tidak aktif dan hanya menanam pada waktu terluang bersama ibu memandangkan saya bekerja di daerah lain. Namun pemergian ayah tercinta yang menghadap Ilahi pada 2010 lalu menjadi permulaan saya fokus bercucuk tanam.

“Apabila ayah meninggal dunia, saya nekad berhenti bekerja untuk tinggal di kampung menemani ibu memandangkan dia mempunyai masalah kesihatan iaitu tekanan darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Tambahnya, apabila tinggal di kampung membuatkan dia tekad untuk aktif bercucuk tanam bagi memastikan masanya dapat diisi dengan aktiviti diminati, sekali gus mengurangkan rasa bosan.

“Bukan saya saja minat malah ibu juga berkongsi minat yang sama. Saya gembira melihat ibu seronok dan teruja setiap kali bercucuk tanam dan menuai hasilnya. Kami juga dapat menikmati hasil tanaman segar yang boleh dimakan tanpa was-was.

“Siapa yang tidak rasa bahagia melihat ibu tersenyum gembira. Kami lakukannya bersama-sama dan jadikan aktiviti ini sebagai rutin yang secara tidak langsung dapat membantu menjaga kesihatan dan mengawal penyakit ibu,” ujarnya.

SAMA-SAMA BERKEBUN

Menurut Muhammad Noor yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik, masalah kesihatan dialami ibunya, Asmah Irman memerlukan dia mengawal setiap aktiviti dilakukan ibunya.

“Ibu suka berkebun, tetapi saya perlu memastikan dia tidak terlalu penat.

Pada masa sama dia juga tidak boleh berehat sepanjang masa. Perlu ada aktiviti yang sesuai dengan minatnya. Malah doktor mengingatkan saya untuk memantau keadaannya sepanjang masa dan syukur, aktiviti ini membuatkan ibu lebih gembira, ceria dan sihat,” katanya.

Tambahnya, disebabkan terlalu sukakan aktiviti itu, dia membina sebuah taman mini untuk menempatkan semua hasil tanamannya di kawasan rumah.

“Saya dan ibu namakan taman istimewa ini Noy Green Garden mengikut nama panggilan saya. Apabila terhasilnya taman ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk memenuhkan setiap ruang dengan tanaman segar dan sedap mata memandang.

“Semua ini terhasil dengan minat saya dan ibu. Saya jadi lebih bersemangat apabila melihat ibu gembira dengan suasana tenang dan cantik di taman kecil kami ini,” ujarnya.

Menurutnya, bermula daripada itu, dia semakin aktif di media sosial terutama di Facebook untuk berkongsi hasil tanaman juga taman mini itu.

“Tidak sangka saya mempunyai ramai pengikut yang hampir semuanya berkongsi minat yang sama.

Saya gunakan kesempatan ini untuk berkongsi teknik tanaman atau tip bercucuk tanam dengan rakan di media sosial.

“Antara yang saya tanam adalah cekur, kubis, terung, cili, sawi, pelbagai pokok herba juga bunga. Sangat teruja apabila melihat gabungan warna tanaman seperti hijau, merah dan kuning yang sangat sesuai dijadikan terapi mata terutama pada waktu pagi,” katanya.

Tambahnya, dia juga berharap dapat terus bersama ibu tersayang di samping meneruskan hobi bercucuk tanam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:10 AM