NABILA bersama anak jagaannya dari Malaysia di Mesir.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SEKOLAH tahfiz bukanlah tempat ‘longgokan’ pelajar bermasalah, nakal atau kata mudahnya kelas memperbetulkan akhlak anak.

Namun realitinya inilah yang berlaku apabila ramai ibu bapa menghantar anak ke sekolah tahfiz semata-mata ingin mengubah sikap dan memperbetulkan akhlak yang sebenarnya mereka sendiri tidak mampu melakukannya.

Apabila berlaku pertembungan antara dua akhlak ini, akhirnya anak yang baik budi pekerja dan ingin mendalami al-Quran secara ikhlas menjadi mangsa buli.

Bagi ibu kepada lima cahaya mata, Nabila Shila Abd Rahman, 45, pengalaman anak keduanya, Ammar Nur Syafi Iman (Iman) yang dibuli teruk ketika menuntut di sebuah tahfiz tempatan ketika usianya 13 tahun sangat memberi kesan bukan saja kepada fizikal, tetapi mental dan emosinya.

Dia pernah dikurung di dalam almari, mulut disumbat, tangan diikat dan diugut sekiranya mengadu kepada penjaga.

“Memang sudah beberapa kali berlaku kepada Iman, namun dia rahsiakan. Puncanya hanya kerana dia tidak mahu memberikan barang kesayangan kepada pelajar senior itu.

“Melihat perlakuan Iman yang pendiam saya mulai syak ada sesuatu yang tidak kena. Akhirnya selepas dipaksa dia menceritakan apa yang berlaku.

“Selepas itu dia mengalami trauma yang teruk. Dia berubah jadi pendiam dan langsung tidak mahu bertemu orang ramai. Dia jadi penakut dan tiada keyakinan diri. Saya keluarkan dia dari sekolah tahfiz itu dan mencari sekolah lain,” katanya memulakan bicara.

Berhasrat menunaikan kemahuan Iman untuk bergelar huffaz, selepas darjah enam dia dimasukkan ke sekolah tahfiz. Namun Nabila mengakui untuk mendapatkan sekolah yang memenuhi kriteria diperlukan bukanlah mudah.

Cerita mengenai kes buli dan liwat kerap kedengaran di telinganya, bukan saja paparan dalam media mengenai kes sebegini bahkan pengalaman Nabila sebagai jurulatih dan pengamal terapi minda hipnotis dan klinikal hipnoterapis bertauliah menyebabkan dia dihujani kes sebegini.

Jika sebelumnya dia didatangi pelanggan yang membawa anak untuk dipulihkan akibat trauma, Nabila sama sekali tidak menyangka diduga dengan anak lelakinya yang turut menjadi mangsa.

“Namun saya tidak mudah berputus asa, saya reda dengan ujian yang diberi dan memberi terapi berterusan kepada satu-satunya anak lelaki harapan keluarga ini.

“Saya terus mencari sehingga menemui sekolah kedua yang lebih dekat dengan rumah. Alhamdulillah anak boleh menyesuaikan diri dan gembira dengan kawan baru, namun di sana pula pelajar kerap dibawa berqasidah sehingga ke luar daerah dan jadual hafazannya sering terganggu,” katanya.

Menurut Nabila, dia nekad menghantar Iman ke Mesir pada usianya 14 tahun pada 2015. Sebelum itu Nabila dan suami ke Mesir terlebih dahulu untuk melihat sendiri beberapa tahfiz yang sudah disenarai pendek.

Namun kunjungan ke Mesir ketika itu, mengubah pemikiran mereka suami isteri. Pertemuan dengan pihak kedutaan, pegawai negeri dan ustaz berpengalaman serta menetap di sana, membawa kepada satu keputusan yang besar dalam keluarga mereka.

“Akhirnya, selepas mendengar beberapa nasihat daripada yang lebih berpengalaman saya mengambil keputusan untuk bersama Iman di Mesir bagi memberikan perhatian sepenuhnya,” katanya yang turut membawa tiga lagi anak perempuannya, Ainna Nur Syafia dan dua anak kembar Amna Nur Syahrah serta Amni Nur Syarah ke Mesir.

Anaknya yang sulung sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan suaminya, Amir Shariffuddin Zakaria juga tidak dapat bersama ke Mesir kerana tuntutan kerjaya sebagai ketua akademik di sebuah kolej swasta ketika itu.

TIRU BUDAYA BINA AKHLAK

Dia sebenarnya tiada perancangan tinggal bersama anaknya di Iskandariah, Mesir namun apabila melihat usia Iman yang masih muda dan memerlukan perhatian membuatkan Nabila tekad meneruskannya. Ditambah pula ada beberapa ibu bapa meminta Nabila menjaga anak mereka di sana.

“Memikirkan hasrat untuk mendidik dan melahirkan lebih ramai generasi huffaz yang berilmu dan berakhlak, akhirnya saya terima dengan syarat saya boleh menjaga serta menganggap mereka seperti anak sendiri.

“Ini kerana apabila diserah untuk dijaga seperti anak sendiri, bermakna anak itu boleh dididik, ditegur dan dinasihati. Daripada lima orang, kini saya mempunyai 12 anak jagaan,” katanya memberitahu sudah menjaga lebih 20 pelajar dan ada yang menyambung pengajian ke Universiti al- Azhar semula serta universiti tempatan.

Nabila mengakui memang benar ada segelintir ibu bapa menghantar anak yang bermasalah dengan harapan perilaku mereka boleh berubah. Kebanyakannya anak orang senang yang tidak pernah hidup susah.

“Bayangkan ada anak berusia 16 tahun yang masih tidak tahu memotong kuku sendiri, usia 15 tahun masih tidak tahu urus diri. Pakaian dibasuh dan disediakan pembantu rumah. Apa saja diminta disediakan ibu bapa sehingga mereka terbiasa, hati menjadi keras dan sukar menerima teguran. Sikap ibu bapa yang terlalu mengikut dan mempercayai sepenuhnya kata -kata anak juga amat dikesali,” katanya.

Ada ibu bapa bangga apabila anak bergelar pelajar tahfiz dan mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran. Mereka langsung tidak bertanya sama ada anak bersedia atau tidak, berminat atau sebaliknya.

“Hakikatnya pembinaan akhlak bukanlah dibentuk dengan hanya mampu membaca dan menghafaz al-Quran semata-mata tanpa penghayatan dan kecintaan terhadapnya. Sebab itu ada yang siang menghafaz, malamnya membuli dan mencederakan orang lain,” katanya.

Sambil merujuk pendidikan hafazan di Mesir, Nabila teruja kerana ia sangat berbeza dengan di Malaysia. Di sana membina akhlak dan membentuk peribadi cintakan al-Quran menjadi keutamaan.

Ia ditunjukkan menerusi guru yang dipanggil syeikh yang menampilkan keperibadian tinggi dan akhlak mulia seperti ditunjukkan Nabi Muhammad SAW.

“Anak sangat selesa berada di samping guru. Guru berlemah lembut dan menyayangi pelajar. Mereka tidak lokek mencium dan menyuapkan makanan kepada anak didik mereka.

“Ini menjadikan murid dan guru sangat rapat. Murid rasa diri disayangi manakala guru dihormati. Secara tidak langsung ia memudahkan hafazan,” katanya.

Selain itu ibu bapa memainkan peranan penting bagi meneruskan kesinambungan generasi al-Quran. Apabila anak sudah dibentuk akhlak dan adabnya, ibu bapa perlu berubah apabila mereka pulang ke rumah.

“Berdasarkan pengalaman sendiri, ada ayah yang masih menonton video lucah dan tidak solat sedangkan mereka sepatutnya menunjukkan teladan terbaik kepada anak.

“Keadaan ini akan menyebabkan proses penghayatan mendalami al-Quran sangat sukar atau ia tidak berlaku seperti yang sepatutnya,” katanya yang turut menyediakan Markas Bahasa Arab kepada penuntut dewasa di Mesir dengan kerjasama Majlis Bahasa Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:25 AM