Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


KETIKA kunjungan penulis ke kediaman keluarga ini di Ampang, Kuala Lumpur, kedengaran suara serak-serak basah milik Noor Adelynn Raisya Mohd Nasir, 6, mengalunkan suara hasil bimbingan penyanyi terkenal Deja Moss atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss.

Si cilik itu tampak begitu fokus dan lantang melantunkan nada namun ada ketika sifat keanak-anakan begitu terserlah apabila dia berlari menuju ke arah ibunya untuk bermanja ketika belajar.

“Untuk nyanyian, dapat fokus 30 minit pun sudah cukup. Biasanya kanak-kanak cepat bosan, jadi guru vokal tidak menyediakan masa yang lama, tambahan pula dia baru berusia enam tahun,” kata ibunya Noorfairuzehaniah Abdullah memulakan cerita.

Menurut Noorfairuzehaniah atau mesra disapa Zeehan, sebenarnya dia tidak pernah berhasrat menghantar Noor Adelynn ke kelas vokal memikirkan tiada keperluan ke arah itu.

Namun berdasarkan pemerhatiannya anak kedua daripada tiga beradik ini sejak kecil memang suka melawa. Pernah ditanya oleh nenek cita-cita apabila dewasa nanti jawapannya ingin menjadi ‘bintang’.

“Mungkin inilah ‘bintang’ yang dimaksudkannya iaitu pembabitan dalam kerja-kerja seni,” katanya ketawa.

Mengulas lebih lanjut, Noorfairuzehaniah mendedahkan anaknya itu yang manja dengan panggilan Adell menceburi bidang peragaan ketika usianya empat tahun. Secara kebetulan kenalannya meminta Adell menyertai pertandingan di pentas peragaan memandangkan bakatnya sudah menyerlah.

“Penyertaan kali pertama membuahkan hasil walaupun tidak muncul juara, Adell berjaya mendapat tempat ketujuh. saya sendiri terkejut kerana dia mampu berjalan sendirian tanpa rasa takut. Bermula dari situ saya mencari kelas peragaan kanak-kanak dan mula menghantar Adell untuk mempelajari cara berjalan, memperaga dan bergerak dengan yakin di atas pentas,” katanya.

Namun di sebalik kelas modeling ini, sebagai ibu sebenarnya Noorfairuzehaniah bimbang dengan karakter anaknya yang sangat pendiam, susah hendak mendengar suaranya.

Sejak usia empat tahun Adell sudah dihantar ke sekolah, namun dia langsung tidak mahu bergaul terutama dengan individu yang tidak dikenali. Adell sangat pemalu kecuali dengan rakan sebaya yang sudah lama dikenalinya.

“Tidak mahu masalah Adell berlarutan apatah lagi dia akan memasuki tadika dan sekolah rendah, saya mendaftarkan dia memasuki pelbagai jenis kelas seperti nyanyian, tarian, seni dan peragaan.

“Tidak sangka Adell menunjukkan perkembangan yang sangat membanggakan. Karakter yang pendiam lama-kelamaan hilang diganti sifat suka bercakap. Sifatnya yang garang sedikit berubah menjadi lembut, bahkan dia lebih yakin bergaul dengan rakan seusia.

“Lihat saja apabila ada peluang beraksi di pentas peragaan secara automatik sifat keanak-anakannya berubah, dia nampak lebih matang daripada usia sebenar,” jelasnya bersyukur.

Lebih penting, kanak-kanak perlu memiliki kekuatan sendiri, agar mereka tidak mudah dibuli di sekolah. Ia berdasarkan pengalaman anak sulung yang sukar berkata tidak apabila diminta.

“Di sekolah dia akan memberikan barang kesayangannya hanya kerana ingin dikelilingi rakan-rakan. Dia bukan dibuli tapi tiada keyakinan diri, inilah yang saya ingin ubah pada Adell agar dia lebih yakin dan mempunyai pendirian yang tetap,” katanya.

ADELL MAHU DAPAT 100 PIALA

Melihat pelbagai jenis piala yang dimenangi si cilik ini sepanjang dua tahun pembabitan dalam bidang seni, ia hasil kerja keras dan kesungguhannya.

Setakat ini Adell sudah menyertai 30 pertandingan peragaan dan dan ia tidak berhenti di sini sahaja. Sebagai ibu Noorfairuzehaniah akan terus memberikan semangat kepada anaknya dalam apa juga bidang yang diminatinya.

“Apa yang saya perhatikan, kelas kemahiran insaniah banyak menggunakan otak kanan. Ia dapat membentuk emosi dan jati diri kanak-kanak. Mereka menjadi lebih prihatin, lembut jiwanya, tahu menghormati orang lain dan melatih sifat kerja sama.

“Lagipun, Adell baru berusia empat tahun tidak perlu kelas akademik yang boleh menyebabkan dia bertambah bosan,” katanya yang turut mendapatkan guru tuisyen untuk kelas Matematik di rumah sebagai persediaan melangkah ke tahun satu pada tahun depan.

Adell juga sangat gembira setiap kali ada pertandingan yang akan disertainya. Apa juga hadiah kemenangan dijaga sebaik mungkin malah kanak-kanak berambut panjang dan memiliki alis cantik ini ingin mengumpul 100 piala sebagai cabaran untuk dirinya sendiri.

Bercerita mengenai nyanyian pula, Adell akan memasuki studio selepas menamatkan kelas vokal Deja Moss dan dia berupaya memenuhi kriteria diperlukan. Kebiasaannya untuk seusia Adell lima kelas vokal atau lebih sudah memadai.

“Dia gembira dapat belajar di bawah bimbingan Deja Moss. Penyanyi versatil itu bijak mengambil hati Adell dengan memberikan hadiah seperti anak patung atau coklat kepadanya. Ini sekadar memberikan semangat kepada Adell untuk menunjukkan bakat dan kesungguhannya. dapat hadiah sukalah dia bersemangat terus belajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:10 AM
ADELL belajar vokal bersama Deja Moss.