LEGO mampu bentuk kreativiti kanak-kanak.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


TIADA kanak-kanak yang akan menolak sekiranya diberi permainan lego.

Bagaimanapun, mereka juga suka menyepahkan lego sehingga ada segelintir ibu yang tertekan jika terpijak blok kecil itu.

Namun diingatkan jangan disekat anak bermain lego kerana ia boleh membawa banyak kebaikan. Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar kanak-kanak belajar ketika bermain.

Pensyarah di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Nor Faridah Awang, 37, berkata, dia menggalakkan kedua-dua anaknya Rizq Rayyan, 9, dan Ilan Waizz Khairul Azhar, 6, bermain lego.

Katanya, dia melihat kesan ketara pada kedua-dua anaknya itu kerana banyak yang boleh dilakukan menggunakan lego dan antara paling ketara adalah proses mengenal warna dan mengajar mereka Matematik.

Ia membentuk kreativiti anaknya dalam menghasilkan sesuatu berdasarkan reka bentuk hasil imaginasi mereka.

"Tidak perlu modal yang banyak dalam permainan ini. Saya sendiri tidak pernah membeli lego yang mahal untuk mereka. Ada di antaranya dibeli di kedai RM2 saja.

Ibu bapa perlu mengawasi terutama anak yang kecil kerana bimbang mereka memasukkannya ke dalam mulut," katanya.

Pensyarah ini turut berkongsi 10 kebaikan bermain lego.

1. Ujian warna

Lego ada pelbagai warna. Apabila anak bermain, ibu bapa perlu mainkan peranan. Ajar anak mengenai warna atau bertanya warna apa yang sedang dimainkan anak. Anak seawal dua tahun sudah boleh jawab soalan mengenai warna ini.

2. Mengenal bentuk

Bentuk dan ukuran lego yang pelbagai juga ada medium pembelajaran bagi anak, sehingga anak dapat mengenal pelbagai bentuk.

Pemainan lego sekarang semakin canggih, ada bermacam rupa dan bentuk dan ada yang boleh berpusing. Ada juga yang berbentuk berbunga, orang dan macam-macam lagi. Ia mampu membentuk kreativiti anak dalam membuat ciptaan.

3. Koordinasi mata dan tangan

Saat anak menyusun lego, mereka sedang melatih koordinasi antara mata dan tangan. Kemampuan anak untuk memilih, mengawal, menempatkan dan memasang lego akan berkembang dengan baik. Anak anda sebenarnya pandai memilih warna dan bentuk untuk dibina hasil seninya.

4. Rangsang motor halus anak

Menggenggam dan membuka-pasang lego dapat melatih motor halus anak. Bermain lego juga dapat membina otot-otot kecil seperti jari-jemari anak dan mengaktifkan jari mereka. Ini dapat membantu anak untuk cepat belajar menulis.

5. Melatih jiwa seni

Pemilihan warna dan hasil bangunan yang dibuat anak dapat melatih jiwa seni anak. Kita boleh nampak anak lebih cenderung meminati warna yang jenis terang atau suram.

6. Belajar mengira

Pada bahagian atas lego terdapat bulatan timbul. Ini boleh dijadikan bahan untuk belajar mengira. Anda boleh menggunakan lego untuk belajar operasi tambah.

7. Rangsang daya imaginasi

Anak akan jadi kreatif, berimaginasi dan cuba menyelesaikan masalah. Dia akan berimaginasi untuk membina kapal terbang atau kereta. Otak mereka berfikir blok lego yang manakah perlu digunakan untuk digabung.

Jangan hairan apabila anak selesai menyusun, kemudian dia berkata sedang membina kereta atau gajah, padahal jika dilihat sebenarnya belum menyerupai objek yang disebutkan. Puji dan beri penghargaan agar anak lebih mengeksplorasi pelbagai bentuk lagi.

8. Bentuk kemahiran berkomunikasi

Jika bermain bersama-sama dengan kawan atau saudara-mara, secara tidak langsung anak akan berlatih berkomunikasi dan mengemukakan idea. Dia juga belajar berkongsi barang dan menunggu giliran. Juga akan menggalakkan kerjasama sepasukan.

9. Latih kemampuan berbahasa

Kemampuan berbahasa anak juga akan lebih terlatih. Anak akan belajar 'di atas' , 'di bawah', 'kecil', 'besar', dan macam-macam lagi.

Anda boleh bermain permainan mengenal warna dan mengira bersama anak-anak. Beri arahan yang mudah seperti ‘beri ibu dua blok warna’ atau bermain permainan asingkan blok ikut warna juga menarik. Kemudian mari kira bersama.

10. Pupuk sikap bertanggungjawab

Ajar anak untuk mengemas lego selepas bermain, boleh memupuk sikap bertanggungjawab dengan barang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:00 AM