Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


BERTUBUH kecil molek, namun semangat dan jiwanya sungguh besar. Memilih sukan lasak sebagai terapi menghilangkan tekanan sejak lima tahun lalu menjadikan gadis manis ini individu yang sangat positif dalam menghadapi cabaran hidup.

Mengakui tekanan harian menjadi punca utama dirinya mencari sesuatu yang boleh membawa kepada kegembiraan sebelum mula memberanikan diri mendekati aktiviti mendaki.

Sama seperti individu lain, anak kelahiran Ipoh, Aimi Syazwani Abdul Malek ini tidak terkecuali daripada perasaan gayat dan takut, namun kini boleh berbangga kerana dia pula yang membantu ramai belia lain untuk turut menceburi sukan lasak.

Pertemuan penulis dengan Aimi Syazwani ketika dia menjadi panel jemputan di Forum Kesihatan dan Kecerdasan anjuran Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, baru-baru ini sungguh mengujakan.

Mana tidaknya, personaliti dirinya sangat positif, setiap tutur kata diungkap begitu menyenangkan.

Membuka cerita mengenai minatnya itu, Aimi Syazwani berkata, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti lasak berkenaan lima tahun lalu yang didekati dengan perasaan gementar.

“Bohonglah jika saya katakan tidak ada rasa takut, ramai menasihati supaya jangan pandang ke bawah ketika mendaki. Namun saya pula berbeza, mesti mahu pandang ke bawah sambil memanjat untuk membiasakan diri dengan keadaan dan suasana sekitar.

“Apabila semakin mahir dalam sukan ini, saya tingkatkan cabaran dengan mendaki batu tembok yang saya anggap lebih teknikal dan ekstrem,” katanya.


BERMULA sekadar suka-suka, kini sukan lasak ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Menurutnya, bermula daripada itu, dia yang mengakui tidak dapat lari mengalami tekanan kerana rutin harian yang padat semakin teruja untuk lebih aktif dalam aktiviti mendaki.

Baginya, cabaran, kesukaran dan halangan yang terpaksa ditempuh sepanjang pendakian membuatkan dia lupa kepada masalah. Malah ia juga melatih jiwanya untuk menjadi lebih kuat.

“Ramai menganggap belia kurang tertekan, namun hakikatnya tidak begitu. Disebabkan itu, bagi saya setiap orang perlu ada minat atau hobi yang dapat membantu melegakan tekanan.

“Saya bersyukur diperkenalkan kepada sukan ini. Ramai yang bertanya, tidakkah saya takut jatuh atau mengalami kecederaan? Perasaan itu memang ada dan di sinilah seronoknya apabila menyertai apa-apa aktiviti kerana kita akan sentiasa belajar dan menambah ilmu. Dalam semua perkara pun, paling penting kita perlu berhati-hati. Rasa takut dan bimbang tidak sepatutnya menjadi halangan selagi tidak mencuba,” katanya.

Katanya, bagi memastikan minat diceburi itu tidak sia-sia selain mahu ke arah yang lebih serius dengan sukan lasak diceburi, dia kemudian mengambil kursus mendaki demi keselamatan diri di TACTeam.

“Kursus itu juga membolehkan saya semakin mahir dan pada masa sama mampu menaikkan keyakinan diri sekali gus mengetahui teknik tepat untuk dipraktikkan ketika mendaki.

“Tanpa disangka pembabitan dalam sukan ini menjadi permulaan untuk saya lebih serius dalam bidang ini dan kini diterima bekerja separuh masa sebagai penolong pengajar dalam sukan pendakian,” katanya.

KENALI KEUNIKAN SUKAN LASAK

Aimi Syazwani berkata, selain mendapatkan kursus mendaki diiktiraf, dia juga menerima sijil kelayakan sebagai tenaga pengajar mahir di bawah South East Asia Climbing Federation (SEACF).

“Siapa sangka daripada suka-suka dan hanya mahu melegakan tekanan, kini sukan lasak menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Jika ditanya adakah saya seronok, tentunya sangat gembira terutama ketika berada di tempat tinggi kerana ketika itu hilang segala masalah serta kekusutan buat sementara waktu.

“Saya menggalakkan rakan untuk turut menceburi sukan ini, tidak kira lelaki mahupun wanita, semuanya boleh melakukannya asalkan ada keinginan. Paling penting cuba buang rasa takut,” katanya.

Katanya, dia juga sering menasihati individu yang berminat supaya berani mencuba kerana ramai yang pada awalnya fobia pada ketinggian akhirnya berubah kepada individu berani sekali gus membentuk personaliti individu terbabit ke arah yang lebih positif.


AKTIF menyampaikan ceramah mengenai aktiviti dilakukannya.

“Daripada menghabiskan masa hujung minggu dengan aktiviti tidak berfaedah, lebih baik habiskan masa dengan mendaki. Ia bukan saja boleh tambah kenalan dan hilangkan tekanan, tetapi dapat menjadikan lebih berani. Pada masa sama kita akan belajar menghargai alam dan meningkatkan tahap kesihatan fizikal serta mental.

“Saya juga kini semakin aktif menyampaikan ceramah mengenai sukan ini bagi menghapuskan stigma masyarakat yang menyatakan aktiviti mendaki adalah berbahaya dan lebih sinonim dengan lelaki,” katanya.

Menurut Aimi Syazwani yang kini bekerja sebagai jurutera, dia juga komited untuk menggalakkan lebih ramai pendaki baharu supaya menyertai kelas atau kursus mendaki yang diiktiraf.

“Saya sanggup korbankan masa terluang terutama pada hujung minggu untuk menyebarkan pengetahuan dan kemahiran ini kerana mahu lebih ramai belia memilih sukan ini untuk dijadikan hobi sekali gus menaikkan martabat pendaki muda di negara ini.

“Untuk mencapai impian itu, saya akan pastikan semua kerja harian siap sebelum jam 6 petang setiap hari untuk membolehkan saya ke pusat kecergasan. Sangat penting untuk menjaga kesihatan dan kecergasan diri apabila anda berada dalam bidang ini,” ujarnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia & Proses (Kepujian) dari UiTM Shah Alam itu juga bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya menyokong minatnya itu walaupun sering bimbang dengan keselamatan dirinya.

“Penting untuk golongan muda dapatkan restu dan keizinan keluarga terutama ibu dan ayah sebelum melakukan apa saja perkara. Begitu juga dengan saya, restu dan sokongan keluarga menjadi kekuatan diri.

“Saya sangat berharap semakin ramai golongan muda menceburi bidang ini yang akan membawa kita kepada gaya hidup sihat dan aktif. Ini sangat penting untuk membantu golongan muda terhindar daripada mengalami masalah kesihatan mental yang semakin banyak dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:15 AM
MENCEBURI aktiviti mendaki sejak lima tahun lalu.