NURUL Nabila sentiasa rujuk trend terkini, ikut keselesaan dan imej diri.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


GAYA urban ringkas dengan sedikit sentuhan klasik tidak pernah ketinggalan. Digelar fesyen jalanan, gaya sebegini lazimnya terselit tarikan tersendiri.

Tidak kira dijadikan gaya harian atau diangkat untuk memenuhi tema majlis, fesyen jalanan lebih menyerlah andai kena dengan personaliti pemakainya.

Melihat gaya dan penampilan kebanyakan wanita muda kini, Nurul Nabila Asyiqin Shuhara, 25, antara personaliti media sosial yang gemar menonjolkan gaya jalanan setiap kali memuat naik gambar di Instagram.

Kata Nurul Nabila, dia selesa memilih gaya jalanan kerana menganggap ia bersifat universal dan mudah digayakan dengan pelbagai cara, termasuk disuai padan.

“Ada masanya kita boleh tampil feminin, ranggi atau mencampurkan kedua-duanya. Gaya sebegini tidak mengehadkan pemakai untuk terus bereksperimen.

“Macam saya, gaya lasak dan berani selalunya jadi pilihan, sesuai dengan identiti diri. Saya akan menggandingkan jaket dengan skirt dan topi. Kadangkala apabila ditukar sikit, boleh jadi gaya baharu dan segar,” katanya.

Jelasnya, dia seronok mencipta gaya baharu dan berbeza mengikut minat serta keselesaan diri. Ada masanya, wanita muda ini mengenakan skirt dengan legging, kasut sniker dan topi.

“Gaya saya selalu berubah mengikut mood, tempat atau majlis yang hendak dihadiri. Bagaimanapun, saya akan pastikan ia berpadanan dan tampak berbeza.


GAYA tudung dengan aksesori kepala cipta identiti diri.

“Saya suka melepaskan selendang dan menggayakannya dengan topi bulat, beret atau apa saja aksesori kepala yang bersesuaian. Gaya ini sudah sebati dan menjadi sebahagian identiti diri.

“Tambahan saya tidak suka kepala tampak kosong. Eksperimen dengan pelbagai jenis topi kadangkala memberi saya inspirasi gaya baharu. Ada waktunya saya juga pilih bandana, cekak dan topi salji,” katanya.

Tidak mahu dilabel stereotaip dalam mengenakan fesyen sopan, Nurul Nabila sentiasa merujuk trend terkini dan mengubah gaya mengikut keselesaan dan imej diri.

“Mungkin ada individu yang rasa sukar untuk sentiasa mengikut rentak fesyen semasa kalau bertudung. Bagi saya, tidak ada yang susah kalau kita tahu memilih gaya dan kehendak diri.

“Saya juga tidak berbelanja besar untuk tampil dengan gaya fesyen menarik. Soal jenama tidak menjadi isu. Saya tidak pernah fokus pada jenama tertentu asalkan ia unik dan berbeza.

“Kalau tidak jumpa baju yang dimahukan di kedai atau butik, saya akan ke tempat jualan bundle. Di sana ada banyak variasi, saya boleh pilih dan bereksperimen untuk mencipta gaya segar pada harga lebih murah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:00 AM