Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


GELOMBANG Hallyu meninggalkan kesan besar meskipun populariti artis K-Pop di seluruh dunia turun naik saban tahun. Di Malaysia, tayangan drama Korea Selatan mempengaruhi gaya fesyen, budaya dan selera ramai peminatnya.

Kalau dulu orang sibuk dengan hidangan burger dari Barat, kini sajian tradisi dan makanan jalanan masyarakat Korea Selatan mudah mencuri perhatian.

Meskipun dunia K-Pop dan kulinari adalah dua perkara berbeza, banyak hidangan yang dipaparkan dalam siri drama dan filemnya mengundang rasa ingin mencuba.

Kimchi, bibimbap dan tteokbokki antara hidangan yang disyorkan kepada mereka yang pertama kali ingin merasai masakan negara itu. Kalau di rumah, hidangan japchae antara yang paling mudah disediakan.

Kata pemilik Kelam Kaboot Cafe, Siti Fatimah Noor Aziz, japchae adalah hidangan mi ubi jalar yang menjadi makanan tradisi masyarakat Korea sejak dulu.

“Ia adalah makanan golongan bangsawan dan popular sejak abad ke-16. Lazimnya, hidangan ini dicampur pelbagai jenis sayuran, ayam atau daging lembu.

“Di meja makan, japchae dijadikan hidangan sampingan atau banchan dan dimakan sebagai lauk ketika majlis tertentu, keraian atau sambutan hari istimewa,” katanya.

Jelas Siti Fatimah, penyediaan hidangan ini mudah dan boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa masing-masing. Paling penting, ia sesuai untuk mereka yang mahukan hidangan ringan yang lengkap.

“Sesetengah orang mungkin mahukan rasa pedas, jadi mereka boleh tambahkan cili potong. Bagi kanak-kanak yang cerewet makan, mungkin ibu boleh mengajak mereka menyediakan hidangan dan menikmati keenakannya bersama,” katanya.

Bahan A

1 mangkuk japchae (suhun Korea), direbus dan ditoskan

1 cawan bayam, dicelur

1 keping dada ayam, hiris dan tumis hingga masak

1/4 cawan lobak, dihiris jejari

1/4 cawan lada benggala merah, dihiris

1/4 cawan cendawan hitam atau shitake, dihiris dan saute

1/4 cawan bawang Holland, dihiris dan saute

1 sudu bijan

1 sekeping rumpai laut kering

1 biji telur, digoreng dadar dan dihiris

Daun bawang, dihiris

Garam secukupnya

Bahan B

1 camca minyak bijan

2 sudu kicap cair

1 sudu kicap pekat

Sedikit sos ikan

* Saute adalah menggoreng sekejap dalam minyak sedikit

Cara membuat:

1. Bahan untuk japchae

2. Masukkan japchae dalam mangkuk besar diikuti bayam, dada ayam, lobak, lada benggala, cendawan dan telur.

3. Gaul semua bahan.

4. Tambah bahan B secukupnya dan perasakan dengan sempurna.

5. Gaul semua bahan sehingga sekata.

6. Tabur bijan sambil menekan lembut pada tapak tangan. Gaul bersama rumpai laut dan daun bawang. Hidangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 5:30 AM
CEF Mohd Rizal Ahmad menunjukkan hidangan japchae dihasilkan.