Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


BAGI wanita yang baru sahaja melahirkan cahaya mata pasti tidak sabar memiliki bentuk badan seperti sebelum hamil. Pertanyaan seperti ‘Bilakah saya boleh mula bersenam akan sentiasa bermain di fikiran.’

Apatah lagi apabila melihat perut yang sukar menyusut manakala paha dan pinggul tidak berubah ukurannya. Namun jawapan kepada soalan ini berbeza bagi setiap individu.

Ini kerana ibu yang melahirkan anak secara pembedahan akan memerlukan masa lebih lama untuk sembuh berbanding mereka yang melahirkan anak secara semula jadi. senaman yang disyorkan untuk golongan ini haruslah bersifat sederhana dan mendapat kebenaran doktor terlebih dahulu.

Menurut pemilik Bangi Fitness, Norhaliza Md Said, dalam tempoh sebulan sehingga empat bulan wanita harus memberi tumpuan kepada diri dan bayi.

Untuk itu mereka digalakkan berehat sepenuhnya bagi memulihkan badan dan emosi ketika hamil serta selepas melahirkan anak.

“Namun ketika bayi berusia enam bulan mereka boleh menumpukan perhatian kepada pemulihan secara fizikal dengan meningkatkan pergerakan. Senaman boleh dimulakan bagi mengukuhkan lantai pelvik secara perlahan-lahan,” katanya.

Mulakan dengan berjalan perlahan-lahan selama 10 minit satu hingga dua kali seminggu sambil menolak kereta sorong bayi. Kemudian buat senaman Kegel bagi membantu menguatkan otot pelvik.

“Namun pastikan tubuh anda bersedia melakukan senaman ini terutama mereka yang bersalin secara pembedahan.

“Mulakan dengan mengangkat punggung sebanyak tiga kali sehari. Tambahkan kekerapannya apabila badan semakin cergas dan kuat,” ujarnya.

Pada waktu ini sepatutnya anda merasakan badan sedang melalui proses penyembuhan dengan baik selepas melahirkan bayi.

Anda mungkin masih mempunyai ‘perut kehamilan’ dan lantai pelvik masih rasa lemah. Bagaimanapun, anda kini sepatutnya sudah bersedia untuk meningkatkan jumlah senaman.

Namun sekiranya anda masih sukar melakukan senaman lantai pelvik dan mengalami sebarang sakit belakang atau mudah membuang air kecil ketika bersenam, seharusnya anda bertemu doktor untuk pemeriksaan.

Sebaiknya pam susu sebelum mula bersenam bagi mengelak rasa sakit disebabkan penghasilan asid laktik atau berikan penyusuan dalam sejam selepas bersenam bagi mengelak payudara membengkak.

Norhaliza turut menunjukkan senaman ringkas yang boleh dilakukan ibu-ibu selepas melahirkan cahaya mata.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. BERDIRI tegak dengan kedua-dua tangan di sisi.

2. JENGKETKAN kedua-dua kaki anda kemudian turun perlahan-lahan. Lakukan dalam kiraan 10 sebanyak dua set.


1 dan 2

3. BERDIRI tegak, angkat kaki kanan 45 darjah dengan kedua-dua tangan di sisi. Kemudian tukar kaki kiri pula. Lakukan 10 kali mengikut kemampuan anda.

4. MASIH dalam posisi sama kemudian angkat kaki kanan secara lurus. Selang-seli dengan kaki kiri lakukan secara 10 kali.


3 dan 4

5. BERDIRI tegak angkat kedua-dua tangan dan bengkokkan.

6. TURUNKAN kedua-dua tangan ke hadapan dan lakukan sebanyak 10 kali dalam dua set.


5 dan 6

7. BERADA dalam posisi berbaring. Bengkokkan kaki dan kedua-dua tangan rapat di lantai.


7

8. TEKAN kedua-dua tangan di lantai, kemudian angkat pinggul anda pastikan lurus dengan paha. Lakukan sebanyak 10 kali.


8

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 5:15 AM
MULAKAN dengan mengukuhkan lantai pelvik secara perlahan-lahan ketika bayi berusia 6 bulan.