POTONGAN menarik seperti lisu menyerlah keanggunan wanita.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


KONSEP suai padan bukan hanya menjimatkan poket malah anda tidak perlu membeli banyak kerana setiap baju, skirt atau seluar boleh dipadankan dengan pakaian lain.

Itulah yang ditekankan melalui koleksi rekaan jenama Lilit selain penggunaan warna terang, asas, lembut, corak moden, klasik dan minimalis menjadi pilihan untuk menghasilkan pakaian kasual butik ini yang turut menjadi ciri uniknya.

Baru-baru ini jenama itu bersama selebriti, Izara Aisyah berkolaborasi menghasilkan helaian busana dengan palet warna dan cetakan bercirikan kebangkitan semula wanita Malaysia pada 1970-an.

Gabungan idea dua entiti itu juga membolehkan wanita berpeluang berpakaian seperti seorang bintang menerusi padanan koleksi itu.

Daripada blaus, skirt, jumper dan seluar, kolaborasi ini menampilkan koleksi wanita yang kontemporari dan menawarkan suasana kota Paris yang menarik dan mengujakan.

Kali ini, Lilit membawa potongan yang lebih menyegarkan, dengan mainan teknik fesyen seperti lisu, kun alur dan cetakan.

Pengarah Kreatifnya, Min Luna berkata, helaian busana yang diilhamkan jenama itu perlulah bercirikan siluet, terperinci dengan fabrik berkualiti untuk keselesaan.

Katanya, mereka tidak berkompromi terhadap keselesaan dan gaya meskipun koleksi itu ditawarkan pada harga antara RM99 hingga RM169.

“Siluet panjang dan menarik dengan butir seperti garis leher yang tinggi, cetakan bunga halus dan lisu juga antara ciri yang menyerlahkan ciri feminin dan keanggunan wanita, malah sesetengah rekaan juga sesuai untuk wanita berhijab,” katanya.


KOLEKSI kebangkitan semula wanita zaman 1970-an.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 6:00 AM