Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


SATU calitan gincu di bibir sudah cukup untuk menambahkan seri wanita yang mahu tampil berkeyakinan, malah menyerikan wajah daripada kelihatan tidak bermaya.

Bagi kebanyakan wanita, gincu alat solek yang sangat penting untuk penampilan wajah dan memberikan warna bagi membuatkan bibir semakin segar dan berseri. Tidak kurang juga menggunakan alat solek itu agar bibir kelihatan penuh, tebal dan mungil.

Tidak hairanlah puluhan jenama menawarkan pelbagai jenis gincu sama ada dalam bentuk batang atau lembapan yang semuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Bagi mereka yang tidak mahu bibir nampak tebal melalui solekan, ada yang memilih prosedur menebalkan bibir menerusi suntikan atau biasa disebut ‘lip augmentation’ atau ‘lip filler’.

Prosedur kosmetik ini biasanya dilakukan untuk membuat bibir menjadi tebal, penuh dan berisi dengan menyuntik bahan ‘pengisi’ di kawasan bibir yang mampu bertahan antara enam hingga 12 bulan sebelum kembali ke bentuk asal.

Pakar estetika, Dr Siti Maria Juwaini berkata, prosedur ini biasanya menggunakan bahan seperti asid hialuronik yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perlu dilakukan oleh doktor atau pakar bertauliah.


DR Siti Maria Juwaini

Katanya, menjadi kebimbangan apabila trend menebalkan bibir supaya tampak seksi dan menarik dalam kalangan wanita ketika ini didorong oleh tawaran harga murah bagi melakukan prosedur itu di pusat kecantikan tidak bertauliah.

“Semua orang perlu sedar prosedur estetika mesti dilakukan oleh doktor bertauliah apatah lagi memasukkan bahan tertentu ke dalam anggota badan.

“Tidak semua bahan boleh disuntik ke dalam bibir dan bagi prosedur menebalkan bibir, pelanggan perlu sentiasa berhati-hati dan memilih hanya klinik atau premis bertauliah serta disahkan bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, prosedur ini bukanlah untuk membaiki kerosakan atau kecacatan sedia ada pada bibir sebaliknya hanyalah antara kaedah untuk menjadikan bibir cantik, tebal dan mungil saja.

Bagaimanapun, katanya, bagi individu yang mengimpikan prosedur kecantikan ini, adalah penting untuk memilih tempat yang betul dan dilakukan oleh mereka berkepakaran kerana jika tersalah suntik ke dalam salur darah kemungkinan menyebabkan sel mati serta mengakibatkan kecacatan kekal.

Selain itu, katanya, penggunaan bahan terlarang oleh segelintir juruterapi kecantikan tidak bertauliah seperti silikon, jeli petroleum atau ‘kolagen filler’ juga sangat berisiko kerana ia boleh menyebabkan fibrosis atau bibir menjadi besar, bengkak, keras dan merah.


KEADAAN pesakit yang mengalami kesan sampingan melalui suntikan pihak tidak bertauliah.

“Sebenarnya ini adalah prosedur yang selamat jika anda dapatkan rawatan di klinik dan pakar bertauliah, yang kita bimbang apabila prosedur dilakukan tanpa pemantauan terhadap kandungan terlarang dan membahayakan hingga menjejaskan kesihatan serta mencacatkan penampilan.

“Ini kerana sebagai pakar estetika dan doktor bertauliah kami perlu mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan yang sentiasa dipantau KKM, ada lesen dan sijil tauliah serta perlu menghadiri kursus berkaitan. Selepas semua ini ada, barulah melayakkan kami melakukan prosedur ini.

“Dengan harga bahan (asid hialuronik) yang mahal dan kepakaran dimiliki menjadikan kos prosedur ini agak tinggi iaitu melebihi RM1,000.

“Berbanding kos prosedur yang dilakukan oleh juruterapi di pusat kecantikan biasanya antara RM100 hingga RM200, tapi belum terjamin keselamatannya kerana menggunakan bahan murah dan terlarang atau tidak mendapat kelulusan KKM.

“Ini termasuk risiko reaksi penolakan, jangkitan hingga perubahan bentuk atau kecacatan bibir kekal.

“Kalau anda dapat tawaran harga murah dan tidak masuk akal, tolong pertimbang dan fikirkan semula kerana jika berlaku perkara tidak diingini, kos untuk rawatan dan pembetulan lebih mahal daripada yang sudah dilaburkan.

“Kalau terhasil parut atau sel mati ia akan menyebabkan kecacatan kekal, jadi fikirkannya sebelum terpedaya dengan harga murah,” katanya.

Dr Siti berkata, ramai pesakitnya yang sebelum ini membuat suntikan dengan juruterapi kecantikan datang mendapatkan rawatan kerana bibir mereka menjadi berketul-ketul.

Katanya, itu antara kes paling teruk pernah dirawat yang biasanya terjadi disebabkan penggunaan bahan murah seperti silikon hingga perlu melakukan pembedahan kecil untuk membetulkannya semula.

Tegasnya, jika tersalah langkah, lebih banyak kos yang perlu dikeluarkan untuk rawatan atau pembedahan selain potensi menjadi parut kekal.

Dalam pada itu, katanya, prosedur suntikan bibir ini hanyalah satu pilihan untuk meningkatkan kecantikan semata-mata. Pelanggan perlu meletakkan keselamatan mereka di tempat paling utama dan tidak menggadaikannya dengan tawaran harga murah.

Prosedur tidak sesuai bagi mereka yang mengalami:

Kecacatan bibir sedia ada

Pernah lakukan pembedahan untuk masalah seperti sumbing

Ada masalah pembekuan darah

Menghidap diabetes

Diketahui ada alergi (terhadap bahan digunakan)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 5:30 AM