FATIN Nabila tidak mahu amalkan sikap tunggu dan lihat.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


MULA berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ketika masih menjalani latihan industri, siapa sangka wanita muda ini akhirnya berjaya membina jenama produk sendiri.

Tidak pernah gentar berdepan saingan, Fatin Nabila Khairul Anuar, 27, lebih senang bersikap optimis. Impiannya mahu mengubah persepsi masyarakat yang terlalu memandang rendah kepada produk kecantikan tempatan.

“Sebelum mengusahakan perniagaan, saya adalah wanita biasa yang sukakan kecantikan dan fesyen. Saya suka membaca apa saja yang berkaitan kecantikan diri. Bahkan saya menulis mengenainya walaupun tiada siapa yang membaca.

“Meskipun sibuk dengan kelas, saya tetap mencari masa untuk mengenal selok-belok dunia perniagaan. Bermula dengan menjadi ejen pesan-hantar, saya seronok menjual beg dan kasut untuk mengumpul modal.

“Saya nekad menyimpan wang dalam jumlah besar untuk menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk sebagaimana yang saya inginkan,” katanya.

Menurut Fatin Nabila, sekalipun terpaksa mengorbankan sebahagian usia muda dengan berniaga, dia tidak pernah kesal, jauh sekali mengalah. Cita-citanya sudah dirangka utuh. Dia mahu mencipta atmosfera baharu dalam dunia kecantikan semasa.

“Sejak dulu, terlampau banyak stigma negatif berkaitan produk kecantikan jenama tempatan. Jadi, apabila datang saja peluang, saya rebut bersandarkan modal yang ada.

“Tidak dinafikan fasa pertama pengeluaran produk memang sukar. Tambahan masih ramai yang tidak percayakan produk tempatan walaupun proses R&D dijalankan dengan teliti.

“Jualan sangat perlahan pada peringkat awal. Lebih mengecewakan apabila banyak unit yang tidak terjual sehingga tempoh tertentu. Mujurlah cinta saya terhadap bidang kecantikan tidak pernah padam.

“Selepas pelbagai ujian dan cabaran, akhirnya jenama Kayman mula meraih kepercayaan pengguna. Ramai yang gembira dengan kualiti dan hasil pemakaian produk. Saya pula jadi makin teruja untuk terus mencipta lebih banyak pembaharuan,” katanya.

TERUS BELAJAR

Adat mengenal perkara baharu, kata Fatin Nabila, dia tidak boleh mudah selesa dengan pencapaian positif yang diraih. Jadi, wanita ini mengambil inisiatif untuk terus bermain dengan formula baharu.

“Saya banyak memerhati perubahan dan meneliti senario dunia kecantikan di Korea. Di sana, pembangunan produk kecantikan sangat pesat. Tetapi mengapa Malaysia berlaku sebaliknya?

“Sebagai pengusaha produk, saya tidak mahu mengamalkan sikap tunggu dan lihat. Mengapa saya perlu tunggu orang lain mengubah persepsi negatif terhadap produk kecantikan tempatan sedangkan saya mampu meraih kepercayaan masyarakat dengan menawarkan pilihan yang berkualiti?

“Syukurlah, sokongan keluarga dan rakan banyak membantu saya membina keberanian dalam diri. Selain itu, potensi produk juga banyak memberi impak positif dalam perniagaan.

“Sejujurnya, saya belum puas. Ada banyak lagi sasaran yang perlu dicapai. Saya gembira apabila jenama ini terus maju dan mendapat tempat di hati pengguna,” katanya.

Satu perkara yang unik mengenai Fatin Nabila, wanita ini tidak pernah bimbang berdepan pesaing kerana beranggapan halangan terbesar untuk berjaya adalah diri individu itu sendiri.

“Sehingga ke hari ini, saya kerap berasakan bahawa diri sayalah yang menjadi halangan terbesar dalam perniagaan. Sikap dan keputusan saya yang menjadi penentu ke mana arah tuju jenama ini akan pergi.

“Saya tidak fokus dengan jenama lain kerana yakin masing-masing ada keistimewaan dan rezeki sendiri. Apa yang penting, saya mahukan yang terbaik untuk diri dan jenama yang dibangunkan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:10 AM