DR ALINA
Oleh Siti Zarinah Sahi
sitizarinah@hmetro.com.my


PENGALAMAN melihat seorang wanita yang menghidap penyakit kaki gajah mengayuh basikal sejauh dua kilometer (km) untuk mendapatkan rawatan di klinik benar-benar menyentuh hatinya.

Ketika itu, Dr Alina Hasni Mohamad Rashid bertugas sebagai pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Port Dickson, Negeri Sembilan dan kerap melihat kesukaran masyarakat di luar bandar khususnya Orang Asli yang kekurangan akses untuk menerima rawatan.

“Melihat kesukaran wanita itu yang sanggup mengayuh basikal biarpun berdepan kekangan kesihatan, saya terfikir apakah ada cara lain bagi membolehkan mereka menerima kemudahan disediakan. Pada masa itu rawatan tidak sampai di kawasan terpencil dan membuka mata saya untuk mencari pendekatan bagi membolehkan mendekati masyarakat serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” katanya.

Disebabkan keinginan yang kuat untuk memberi nilai kepada masyarakat, anak sulung daripada enam beradik ini menukar kerjaya kepada dermatologi kosmetik hanya selepas dua tahun bergelar pegawai perubatan klinikal.

Menyambung pengajian dalam bidang sarjana di Universiti Cardiff United Kingdom selepas menyelesaikan kajian mengenai vitamin C dan penuaan, Dr Alina tidak menunggu lama apabila membuka pusat rawatan kulit Dermalene selepas pulang ke Malaysia.

“Kepakaran saya dalam bidang dermatologi dengan memberikan tumpuan kepada kulit dan rambut. Ketika tahun pertama saya melaksanakan misi menyelesaikan sejuta jerawat. Alhamdulillah dapat membantu masalah hampir 20,000 wanita bermasalah jerawat. Lebih menggembirakan apabila mereka mengakui lebih yakin selepas menerima rawatan dan mendapat kembali kulit sihat,” katanya gembira.

Berbicara mengenai kecantikan jelas Dr Alina, banyak salah faham berlaku dalam bidang kecantikan. Ia bermula dengan pemilihan produk, kuantiti yang perlu digunakan dan momokan mengenai kulit yang cerah itu cantik. Berlaku juga lambakan produk timbang kilo dengan teknik pemasaran berkesan sehingga mengaburi mata pengguna dalam membuat pilihan.

“Menjadi tanggungjawab saya memberi kesedaran kepada wanita supaya menghargai kulit mereka. Apa yang penting kulit harus sihat, bebas jerawat dan jeragat. Bukannya cerah atau putih. Pemakaian produk yang tidak tepat dan berbahaya akan menyebabkan kulit lebih bermasalah dan kos merawatnya sangat tinggi,” ulasnya.

Selain itu, tiada panduan lengkap dan sistematik mengenai pemakaian produk menyebabkan pengguna tidak menerima ilmu sepatutnya. Ini berbeza dengan perubatan klinikal yang sistematik dari segi panduan pemakanan namun bidang kecantikan tidak ada.

“Sebagai contoh pengguna tidak tahu jumlah losen yang perlu dipakai, jenis produk untuk ekzema sehingga pemakanan. Melihat senario ini saya terpanggil untuk mewujudkan satu sistem yang membabitkan semua perkara. Ia seperti kit lengkap yang tertera semua di dalamnya bagi memudahkan pengguna mengaplikasinya. Inilah yang saya impikan," katanya.

BERJIWA BESAR

Mengakui seorang yang berjiwa besar ketika di sekolah rendah, kerjaya doktor sudah lama diimpikannya. Walaupun dalam keluarga tiada yang terbabit dalam dunia perubatan, wanita berdarah campuran Yaman ini mengakui dia sukakan cabaran dan inginkan sesuatu yang mampu memberi nilai kepada orang lain.

“Sejak kecil saya suka menolong orang. Saya tercari-cari kerjaya yang membolehkan saya membantu orang lain. Apabila mengambil bidang sains, saya menetapkan matlamat menjadi doktor dan bekerja keras ke arah itu,” katanya.

Oleh kerana ibu menyambung pengajian dalam bidang sarjana dan doktor falsafah di United Kingdom (UK), jadi Alina bersama adiknya dibesarkan di negara itu.

“Oleh kerana keinginan untuk mendapat ilmu sangat tinggi ketika berusia 16 tahun, saya bekerja sebagai pencuci lantai bangunan dengan bayaran empat pound atau RM16 untuk satu jam ketika itu.

“Saya bekerja selama lima jam dan duit itu digunakan untuk membayar yuran kelas tuisyen. Saya tidak mahu menyusahkan ibu yang menyambung pengajian kerana peruntukan kewangannya juga tidak cukup,” katanya.

Mengakui sangat puas kerana dapat menggunakan hasil titik peluh sendiri, kata Dr Alina, ia sesuatu yang sangat bernilai dan perlu dihargai.

Pada waktu lapang ibu kepada seorang cahaya mata ini gemar membaca dan sanggup meluangkan masa berjam-jam di kedai buku. Malah dia boleh menghabiskan tiga buku selama seminggu ketika memandu kenderaan daripada Shah Alam ke Port Dickson menerusi audio.

“Selain buku berkonsepkan inspirasi dan keusahawanan, saya banyak membaca mengenai keibubapaan. Pilihan buku kini juga sangat meluas, tidak semestinya berbentuk fizikal kerana sudah ada buku digital,” katanya.

Pada masa akan datang wanita berkulit cerah ini memasang impian terbabit dan tersenarai antara pakar dermatologi terkemuka dan berharap dapat diwujudkan Institut Kulit Negara yang sama fungsinya seperti Institut Jantung Negara.

"Dunia kecantikan di Malaysia sangat berkembang maju. Lihat sahaja pelbagai produk dihasilkan anak tempatan. Dari sudut lain wanita obses untuk cantik namun tersalah memilih produk lantaran tiada ilmu.

"Jika institut itu ada, banyak kajian dapat dijalankan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan industri kecantikan itu sendiri,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Dermalene Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 5:00 AM