Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


MANIS wajahnya, lesung pipit di pipi kanannya menambahkan keayuan Husna Mohd Sharif.

Berusia 16 tahun, Husna yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur pernah bergelar model patung mainan Barbie ketika berusia lapan tahun.

Seiring peningkatan usia, karakter Husna mula bertukar dan dia kini lebih cenderung dalam sukan lasak, rollerblade.

Bagaimanapun, sukan itu tidak pernah menukar perwatakannya dan si manis ini masih mengekalkan gaya sopan gadis Muslimah yang menitikberatkan pakaian dan pergaulan.

Kata ibunya, Norzila Jaafar, 54, dia tidak pernah meminta Husna terbabit dalam sukan lasak, namun anaknya itu sendiri meluahkan hasrat bermain rollerblade secara serius ketika usianya sembilan tahun.

Dua bidang yang berlainan itu menampakkan betapa sukan rollerblade mula mendapat perhatian golongan anak muda sekarang.

Norzila, berkata, dia tidak menghalang hasrat Husna dan sentiasa memberi sokongan penuh untuk merangsang minat anaknya. Lebih menarik, adik Husna, Balqis Mohd Sharif turut meminati sukan selepas melihat ketangkasan si kakak beraksi.


HUSNA lebih fokus terhadap pelajaran sejak terbabit dalam sukan rollerblade. FOTO Supian Ahmad

Ketika ada segelintir ibu bapa bimbang terhadap keselamatan anak apabila terbabit dalam sukan lasak seperti itu, Norzila berkata, tiada apa yang perlu dikhuatirkan sekiranya mereka menitikberatkan faktor keselamatan seperti memakai topi keledar dan pelindung di lutut, pergelangan tangan dan siku.

“Sebagai ibu, saya sentiasa memberi sokongan penuh dan tidak pernah menghalang apa yang mereka minat.

“Biarpun pada mulanya saya harap Husna akan meneruskan aktivitinya sebagai model tapi apabila dia menyuarakan hasratnya untuk terbabit dalam sukan rollerblade, saya tidak membantah.

“Ia sukan yang sihat malah lebih baik daripada terperap dalam rumah bermain gajet,” katanya.

Husna dan Balqis pernah mewakili Kelab Inline Skate Titiwangsa (TTSK8) ke pertandingan di luar negara antaranya China, Korea Selatan dan Indonesia.

Kata ibu kepada enam cahaya mata ini, banyak perkara positif dilihat pada diri anaknya sejak mereka terbabit dalam sukan yang biasanya dikuasai lelaki itu. Dia gembira apabila mereka kini lebih fokus kepada pelajaran.

Malah sukan itu juga mengajar mereka erti persahabatan dan pentingnya semangat berpasukan. Keakraban itu lebih terserlah ketika mereka menyertai pertandingan di luar negara.

Norzila berkata, dia akan sentiasa memberi sokongan kepada anaknya malah Husna sendiri pernah menyuarakan hasrat mewakili negara hingga ke temasya Sukan SEA satu hari nanti.

Harap KBS beri perhatian

Sementara itu presiden merangkap jurulatih TTSK8, Dino Azman Ramly mempunyai misi tersendiri dalam usahanya untuk menghidupkan kembali sukan rollerblade di Malaysia.

Beliau berharap dengan perkembangan sukan itu di Malaysia pada hari ini dapat membuka mata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khasnya untuk memberi peluang dan ruang buat anak muda ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, jika selama ini mereka bergerak sendiri, sudah tiba masanya untuk mencontohi negara jiran, Indonesia yang mempunyai kepakaran dalam rollerblade dan ada di antara atletnya menempah nama di peringkat antarabangsa.

“Sekitar 2011 hingga 2016, rollerblade antara sukan yang sangat popular, tetapi pembabitan orang ramai mula merudum mungkin kerana tiada tempat untuk berlatih atau bermain.

“Sedihnya, ada tempat di Putrajaya dipasang papan tanda menghalang mereka yang berkasut roda bermain di kawasan itu.

“Sebenarnya komuniti dalam sukan ini sangat besar cuma kami tidak mempunyai ruang untuk mengetengahkan bakat ke peringkat yang sewajarnya,” katanya.

Rollerblade adalah antara sukan yang berada di bawah kategori ekstrem. Ia mempunyai pengikutnya sendiri malah ada yang sudah menempah nama di peringkat dunia namun ia tidak diuar-uarkan kepada umum berikutan sukan itu tidak diletakkan di bawah sukan teras.


NORZILA. FOTO Supian Ahmad

Mudah untuk diceburi

Bagi mereka yang berminat menceburi sukan itu, ia tidaklah memakan kos yang mahal. Mereka hanya perlu membeli kasut rollerblade dan alat keselamatan dalam anggaran RM200 ke RM300.

Latihan boleh dilakukan di kawasan lapang dan sekiranya ingin terbabit secara serius, Kelab Inline Skate Titiwangsa (TTSK8) mengalu-alukan pembabitan orang ramai. Jurulatih berpengalaman turut disediakan bagi mereka yang ingin terbabit secara serius dalam rollerblade.

Mereka yang ingin mencuba buat kali pertama dalam sukan ini digalakkan untuk berlatih di atas rumput terlebih dahulu dan sekiranya berjaya mengimbangi badan barulah beralih ke kawasan lapang dan rata.

Menurut Dino, rollerblade mempunyai daya tarikannya sendiri dan ada segelintir ibu bapa menjadikan aktiviti bermain rollerblade sebagai aktiviti riadah bersama anak di waktu lapang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 4:50 AM
HUSNA (empat dari kiri) bersama ahli kelab TTSK8 yang sudah menempah nama di peringkat antarabangsa. FOTO Supian Ahmad