MAYA gemar tampil ringkas.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PEMINAT e-Sukan atau aktif mengikuti permainan Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile pasti mengenali Maya Ariffin.

Gadis manis berusia 23 tahun ini kini menjana pendapatan dengan menjadi ‘streamer’ dalam permainan PUBG Mobile.

Maya memilih untuk terbabit secara serius dalam permainan video itu kerana ia membolehkan dia berinteraksi bersama penonton alam maya dan pada masa sama dapat berkongsi minatnya dengan orang ramai.

Jadi, dia perlu menitikberatkan gaya sewaktu membuat penampilan secara langsung dalam PUBG Mobile.

Katanya, perkara itu penting bagi mengelak pandangan serong pemain lain ketika mereka berinteraksi di alam maya.

“Kebanyakan pemain adalah lelaki dan mereka selalunya memandang rendah kemampuan wanita selain memandang kami dari sudut yang berbeza.

“Sebab itu saya menjaga penampilan kerana mahu memberi imej positif kerana pemain PUBG Mobile ini terdiri daripada pelbagai peringkat umur di seluruh dunia termasuk remaja.

“Jadi saya perlu menjaga setiap gambar atau apa saja yang dimuat naik di laman sosial seperti di Instagram untuk mengelak kritikan netizen,” katanya.

Maya berkata, adab adalah perkara utama yang perlu dijaga selain pakaian ketika berada di dalam talian.

Namun ada yang memandang remeh perkara itu sehingga menjadi buah mulut pemain yang aktif di dalam talian ketika itu.


ANTARA koleksi kegemaran Maya. Gambar kanan: Gaya denim yang lebih ringkas.

“Jenis pakaian adalah pilihan kita. Di sinilah setiap pemain terutama wanita perlu memikirkan apa yang sebenarnya mereka inginkan.

“Pakaian mencerminkan diri kita. Ketika mahu ‘online’ ada dua perkara yang perlu difikirkan iaitu bagaimana kita mahu membentuk diri dan apa yang kita hendak orang kata mengenai diri kita,” katanya yang menggemari pakaian yang ringkas.

Kata Maya, dia tidak pernah terlintas menjadikan tugas ‘streamer’ sebagai kerjaya namun dengan kerjaya itu dia dapat melakukan perkara yang disukainya.

“Saya sebenarnya bukanlah pemain permainan sebenar. Mula dengan suka-suka dan akhirnya saya jatuh cinta. Saya sebenarnya suka berfesyen. Suka makan dan bersolek. Tapi sekarang dengan menjadi pemain e-Sukan, saya boleh buat semua itu dalam satu masa.

“Ketika saya berada dalam alam maya, ramai yang bertanya tip solekan, kecantikan, bermain game dan bermacam-macam lagi,” katanya.

Katanya, banyak yang dia pelajari selepas bergelar ‘streamer’ wanita biarpun ada segelintir pihak memandang serong terhadap permainan e-Sukan ini.

Bagaimanapun, melihat dari sudut positif, Maya berkata, dengan permainan PUBG Mobile inilah dia menjana pendapatan mencecah empat angka sebulan dan dapat membantu meringankan beban keluarga.

Selain itu, ia turut membentuk dirinya menjadi insan yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri, menjaga penampilan dan lebih berdikari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 4:40 AM