BERKONGSI sumber makanan bantu atasi masalah kekurangan zat dan kelaparan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


MENCAPAI Kebuluran Sifar bukan sekadar menangani kebuluran, tetapi juga mewujudkan budaya pemakanan yang sihat sambil memelihara planet ini.

Tahun ini, Hari Makanan Sedunia menyeru tindakan merentas pelbagai sektor untuk menjadikan diet yang sihat dan mampan serta boleh diakses semua orang. Pada masa sama, ia meminta semua pihak untuk mula memikirkan apa yang masuk ke perut masing-masing.

Hari Makanan Sedunia diadakan setiap tahun pada 16 Oktober untuk memperingati penubuhan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam beberapa dekad ini, diet dan tabiat makan berubah secara dramatik seiring globalisasi, urbanisasi dan peningkatan pendapatan.

Sumber makanan bermusim, terutama hidangan berasaskan tumbuhan dan serat berubah kepada diet yang kaya dan tinggi kanji, gula, lemak, garam, makanan olahan, daging serta produk haiwan yang lain.

Masa juga semakin kurang diperuntukkan untuk menyediakan makanan di rumah. Pengguna terutama di kawasan bandar, semakin bergantung kepada pasar raya, kedai makanan segera, kedai makanan jalanan dan restoran.

Menurut FAO, gabungan diet yang tidak sihat dan gaya hidup tak aktif menyebabkan peningkatan kadar obesiti, bukan saja di negara maju, tetapi juga negara berpendapatan rendah yang mana kelaparan dan obesiti sering wujud bersama.


ILMU pemakanan penting untuk membentuk keluarga sihat.

Kini dianggarkan lebih 670 juta orang dewasa dan 120 juta kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia lima hingga 19 tahun termasuk dalam kategori obes dan lebih 40 juta kanak-kanak di bawah lima tahun berdepan masalah berlebihan berat badan.

Namun apa yang menyedihkan, dalam peningkatan jumlah kelompok yang mengalami masalah obesiti, lebih 820 juta penduduk dunia dihimpit kemiskinan dan menderita kebuluran.

Diet yang tidak sihat faktor risiko utama kematian akibat penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser tertentu.

Dikaitkan dengan satu perlima kematian di seluruh dunia, tabiat makan yang tidak sihat juga memberi kesan terhadap belanjawan kesihatan negara dengan nilai sehingga USD2 trilion setahun.

Obesiti dan bentuk lain malnutrisi (kekurangan zat) menjejaskan satu daripada tiga orang. Unjuran menunjukkan jumlah itu akan meningkat menjadi satu daripada dua orang menjelang 2025.

Berita baiknya ialah ada penyelesaian yang berpatutan untuk mengurangkan semua bentuk kekurangan zat makanan, tetapi ia memerlukan komitmen dan tindakan global yang lebih besar.

Lebih 150 negara di seluruh dunia mengambil bahagian dalam kempen tahunan ini dengan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mempromosi dan merayakan Hari Makanan Sedunia.

Sekadar tahu dan menyambut inisiatif ini tidak cukup. Kita perlu bersama-sama meraikannya dengan melakukan beberapa perubahan untuk lebih menghargai makanan kita supaya sumber alam yang berharga dan penuh nutrisi tidak berakhir di tong sampah.


PENYIMPANAN makanan yang teratur memudahkan penyediaan sajian berkhasiat.

Ada banyak laman web yang membariskan beraneka resipi sihat. Malah ramai juga penulis maya bermurah hati berkongsi pelbagai panduan untuk kita sama-sama menjayakan kempen tahun ini. Antaranya:

Merancang menu harian

• Ia membolehkan anda membeli bahan masakan mengikut perancangan dan mengelakkan pembaziran.

Baca label

• Lihat kandungan bahan, nutrisi pemakanan dan tarikh luputnya.

Berkongsi makanan

• Anda boleh masak lebih sedikit dan berikan sebahagian kepada jiran yang mungkin ada masalah kewangan mendapatkan hidangan berkhasiat. Anda juga boleh memberikan bahan mentah seperti sayur-sayuran kepada golongan berpendapatan rendah supaya mereka sekeluarga dapat menikmati sajian bernutrisi.

Bekukan baki bahan masakan yang boleh direneh untuk dijadikan stok sayur

• Stok ini boleh masukkan ke dalam masakan lain untuk menambah khasiatnya.

Beli produk dan hasil tani tempatan

• Ia bukan saja lebih murah, tetapi dapat merangsang ekonomi setempat.

Tambah ilmu mengenai pemakanan

• Langkah ini sangat penting kerana walaupun dilimpahi pelbagai sumber, masih ramai yang mengalami masalah kekurangan zat.

Sebenarnya ada banyak inisiatif boleh diambil seperti dilakukan IKEA Malaysia yang mendermakan RM2 kepada Hope Worldwide Malaysia untuk setiap set 16 bebola daging Sweden dan sup cendawan yang dijual bermula 14 hingga 20 Oktober ini.

Menerusi kempen itu, set bebola daging dan sup ditawarkan pada hanya RM18.90, sekali gus pelanggan boleh menikmati hidangan itu sambil menyumbang untuk komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 4:40 AM