Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


BEG tangan diibaratkan sahabat baik wanita. Tidak kira ke mana destinasi ditujui sama ada ke pejabat, membeli-belah, bersantai mahupun ke majlis formal, aksesori itu antara pelengkap gaya wajib buat mereka.

Mudah dibeli malah ada begitu banyak pilihan di pasaran, memilih beg tangan juga kadangkala memeningkan kepala, namun semuanya berbaloi jika beg yang diidamkan sudah ada dalam koleksi.

Bagi yang mahukan kelainan, ada cuba hasilkan sendiri beg tangan menerusi tutorial mudah didapati di YouTube atau buku, tidak kurang juga menjadikan hasil seni dan kreativiti mereka sebagai hobi yang mendatangkan keuntungan.

Mencipta kelainan dengan rekaan beg tangan tanpa jahitan, Amira Fatiha Abdul Hamid antara pereka muda yang mencurah idea menghasilkan beg tangan unik dan kreatif sejak 2014.


PENGASAS Personalised Accessories Ku (PAKU), Miya Hamid menggayakan beberapa koleksi beg tangan daripada PAKU. FOTO Syakirah Azhar

Katanya, menggunakan teknik potong dan lipat, Amira mengolah dan bereksperimen menggunakan teknik itu ketika melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Teknologi Rekaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun lalu.

“Uniknya rekaan ini apabila tiada jahitan diperlukan sebaliknya menggunakan butang ketap untuk mencantumkan bahagian yang dilipat. Untuk teknik ini, penggunaan material seperti kulit, PVC dan kulit sintetik paling sesuai kerana bahannya lebih keras dan tebal berbanding fabrik.

“Bergantung kepada kreativiti, beg ini boleh dihasilkan dengan pelbagai bentuk dan kegunaan. Aksesori seperti tali dan pemegang juga boleh ditambah untuk melengkap gaya,” katanya.

Amira yang juga pengasas jenama beg tangan Paku, turut menunjukkan langkah menghasilkan beg tangan.

Bahan

• Kulit sintetik (dipotong seperti pada gambar)

• Penebuk lubang

• Alat pemasang butang ketap

• Butang ketap

• Butang cantum

• Tag nama (sebagai hiasan)


1. SEDIAKAN bahan. FOTO Syakirah Azhar

2. TEBUK lubang di bahagian tepi kulit dengan jarak dua inci. FOTO Syakirah Azhar

3. PADA bahagian hujung penutup beg (bahagian dalam kulit) dan bahagian badan, pasangkan butang ketap. FOTO Syakirah Azhar

4. LEKATKAN tag nama pada bahagian depan menggunakan butang cantum. FOTO Syakirah Azhar

5. MASUKKAN bahagian dalam butang cantum pada lubang yang ditebuk (tinggalkan sebahagian lagi untuk dicantum). FOTO Syakirah Azhar

6. LIPAT bahagian tengah dan masukkan butang dalam lubang, kemudian cantumkan dengan penutup butang menggunakan alat pemasang butang ketap. FOTO Syakirah Azhar

7. CANTUMKAN semua bahagian dengan penutup butang dan ketatkan. FOTO Syakirah Azhar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 4:30 AM
ANTARA beberapa koleksi beg tangan daripada PAKU. FOTO Syakirah Azhar