AKTIVITI menyeronokkan, si kecil lebih hargai barangan disiapkan sendiri.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


SUARA ketawa kanak-kanak yang bermain dengan gembira boleh membahagiakan sesiapa saja yang mendengarnya.

Ketika bermain, kanak-kanak berasa bebas dan riang, sekali gus merangsang perkembangan minda yang positif.

Bagi menjadikan aktiviti bermain itu sesuatu yang lebih bermanfaat selain menjimatkan kos, ibu bapa atau adik-beradik yang lebih berusia digalakkan mengajak si kecil terutama yang berusia sekitar tiga hingga enam tahun menyediakan barang permainannya sendiri dengan menggunakan bahan mudah didapati di rumah.

Bukan saja dapat menambah keterujaan malah aktiviti menyediakan sendiri barang permainan itu boleh merapatkan hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dengan anak terutama bagi keluarga yang sentiasa sibuk.

1. BAHAN yang diperlukan, semangkuk tepung gandum, segelas air, belon pelbagai warna dan pen.

Ambil masa setengah jam untuk duduk bersama dan lakukan perbincangan ringkas mengenai jenis permainan yang mereka ingin buat sendiri dengan bantuan ibu bapa atau penjaga.

Jelaskan juga manfaat yang akan diperoleh hasil usaha sendiri menyiapkan permainan dan tentu saja mereka lebih menghargai barang permainan itu nanti.

Ibu bapa juga digalakkan untuk mencari idea menyediakan permainan yang comel dan unik bagi membolehkan si kecil tersenyum girang sepanjang proses penyediaan sehingga selesai.

Antara yang boleh disediakan sendiri adalah doh belon yang mana proses penyediaannya sangat mudah, ringkas dan menyeronokkan. Kanak-kanak juga dapat meningkatkan perkembangan motor kasar dan halus sepanjang proses penyediaan itu hinggalah bermain.

2. TUANG tepung gandum ke dalam bekas, masukkan air sedikit demi sedikit. Uli hingga menjadi doh. 3. BENTUK doh menjadi bulatan kecil atau sederhana.

Doh belon adalah permainan yang boleh dimainkan secara digenggam atau dipicit termasuk dibaling dengan penambahan lukisan comel di luar belon yang menjadikan ia permainan unik.

Berkongsi mengenai manfaat bermula daripada proses penyediaan hinggalah bermain doh belon, guru tadika Azalia Ahmad berkata, pelbagai manfaat diterima kanak-kanak yang membabitkan diri dalam proses penyediaan permainan ini.

“Ketika membuatnya memerlukan si kecil menguli tepung. Proses menggenggam dan menggumpal amat baik dalam membina otot kasar dan otot halus mereka.

4. MASUKKAN doh ke dalam belon yang ditiup sedikit kemudian ikat belon. 5. LUKIS pelbagai bentuk atau mimik muka yang disukai kanak-kanak di atas belon.

“Kanak-kanak juga perlu belajar meniup sedikit belon sebelum memasukkan doh yang siap diuli selain kemahiran melukis mengikut corak kegemaran masing-masing selepas belon diikat,” katanya.

Tambahnya, semua proses itu bukan saja menyeronokkan malah mempunyai pelbagai manfaat untuk perkembangan motor kanak-kanak.

“Paling utama jangan memaksa sebaliknya beri galakan dan penerangan ringkas namun mudah difahami. Sambil berseronok, anak anda akan belajar mendengar dan mematuhi arahan,” katanya.

6. DOH belon sedia dijadikan mainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 4:30 AM