SEBAHAGIAN pelanggan di gerai jualan.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Jika anda ingin berjaya jangan takut mencuba kerana orang tewas selepas mencuba lebih baik daripada mereka yang langsung tidak mencuba.

Bagaimanapun, anda perlu mengambil kira setiap perkara antaranya risiko yang mungkin dihadapi kerana setiap perniagaan pasti akan ada turun dan naik.

Kesabaran antara kunci utama untuk kita berjaya dan berkat daripada kesabaran itulah kini nama Rohaya Shaari, 47, mula dikenali sebagai antara pembuat beg tangan eksklusif.

Biarpun tidak dapat menandingi jenama hebat, hasil kreativiti Rohaya tetap mempunyai peminatnya sendiri.

Daripada pendapatan tiga angka, kini Rohaya sudah mampu menjana pendapatan empat angka sebulan.

Malah, dia sendiri mengakui ada kalanya tidak menang tangan untuk melayani permintaan pelanggan yang mahukan beg tangan eksklusif hasil kerja tangannya.

Ibu dua anak dan kini mempunyai seorang cucu ini berkata, perniagaannya bermula secara kecil-kecilan dan bermodalkan RM400 untuk membeli mesin jahit terpakai, kini Rohaya sudah melebarkan sayapnya lebih meluas.

Hasil kerja tangannya yang kemas itu antara penyebab utama mengapa keluaran Rohaya menjadi pilihan ramai.

Bagaimanapun, Rohaya berkata, tiada perniagaan yang tidak pernah dilambung ombak, beliau pernah hampir berputus asa kerana tidak tahu cara terbaik untuk memasarkan barangannya, namun selepas terbabit dengan Train and Place iaitu program kerajaan untuk menjana pendapat orang ramai pada 2010, Rohaya mula mengorak langkah bergelar usahawan berjaya.

Di bawah program itu, dia mula mengenali Sweing World Gallery yang membantu memasarkan beg buatannya mengajarteknik jahitan kreatif.

“Saya pernah rasa putus asa. Ketika itu tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk memasarkan kerja tangan.

“Mujur ada Sewing World Gallery yang membantu melatih saya. Saya mengikut kelas yang dianjurkan selain mengajar saya memasarkan barangan saya. Mereka amat membantu, malah memberi dorongan untuk saya meneruskan usaha ini,” katanya.

Ditanya mengapa menjahit menjadi pilihan, Rohaya yang mendapat sokongan penuh daripada suami berkata, menjahit ini adalah perniagaan yang paling kurang berisiko.

Malah, modal yang digunakan juga tidak banyak, namun apa yang perlu adalah menjadi kreatif.

“Pada awalnya saya hanya membeli seluar denim terpakai dan kain perca yang diberi oleh kawan untuk dijadikan beg serta barangan lain.

“Selepas itu, saya cuba mengembangkan perniagaan dengan mengikuti kelas jahitan kreatif dan syukur alhamdulillah mendapat maklum balas positif daripada pelanggan sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk mengembangkan perniagaan jahitan ini,” katanya.

Katanya, menjahit bukan hanya tertumpu kepada menjahit baju, malah pelbagai barangan lain boleh dikreatifkan antaranya hadiah cenderahati majlis perkahwinan, membuat langsir atau cadar lagi kerana ia bukan permintaan bukan bermusim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:10 AM