ZILAN gembira dapat jalankan perniagaan sendiri.
PESONA BENUA

SAMBIL tersenyum bangga, Zilan Serwud, menyambut kedatangan pelanggan ke trak makanannya yang baru di buka di Kurdish, Iraq. Namun bagi wanita Iraq, untuk menjalankan perniagaan tidak hanya memerlukan permit dan pinjaman kewangan, mereka juga perlukan kebenaran keluarga.

Sikap prejudis masyarakat, tekanan keluarga dan sektor swasta yang tidak berkembang mengehadkan peluang wanita Iraq memasuki dunia pekerjaan termasuk di Kurdistan.

Namun, itu semua tidak menghalang Zilan daripada meneruskan impiannya. Bulan lalu, dia memulakan perniagaannya, Zee Burger di kota Arbil dan menawarkan hidangan ringkas iaitu burger, kentang goreng dan bawang goreng.

Bagaimanapun menurut wanita muda berusia 22 tahun ini, bukan mudah untuk dia sampai ke tahap itu. Langkah pertama yang perlu diambil oleh wanita yang ingin memulakan perniagaan sendiri ialah meyakinkan ahli keluarga bahawa usaha itu tidak akan membuatkan mereka dipandang rendah oleh masyarakat.

“Saya dengar ada orang kata, ‘Dia ada ayah dan abang, kenapa dia perlu berniaga?’ Tetapi bagi saya, jika kita mahu mengembangkan kemampuan diri, jangan dengar apa orang kata,” katanya.

Kata-kata orang tidak mempengaruhi semangat Zilan apatah lagi selepas mendapat kebenaran keluarga dan menerima bantuan kewangan daripada agensi pembangunan Jerman (GIZ) untuk membeli peralatan memasak mudah alih.

Malah, ayahnya turut memberi sokongan dengan mencarikan dapur yang dikehendaki. Abangnya pula menjadi pekerja separuh masa membantunya memasak buger.

“Saya sangat gembira ada perniagaan sendiri. Terasa saya sudah mendapat kebebasan dan mahu tunjukkan kepada semua orang kemampuan saya,” katanya.

Menurut kajian demografi, di Iraq, hanya 15 peratus wanita dewasa yang memasuki dunia pekerjaan, antara kadar yang paling rendah di dunia.

Dalam kalangan wanita Kurdistan yang bekerja pula, kira-kira 75 peratus makan gaji dalam sektor awam dan ia menyebabkan wanita yang menceburi bidang perniagaan dianggap pelik serta boleh mencemar nama baik keluarga.

“Sebenarnya perkataan ‘memalukan’ boleh merosakkan wanita dalam masyarakat kami. Perkataan ini membuatkan wanita takut untuk membangunkan diri sendiri dan berinovasi kerana bimbang apa orang akan kata,” kata Diman Fatah, 59, yang membuka perniagaan nurseri (menjual pokok). Dia juga menjadi pengerusi persatuan botani yang mempunyai 450 ahli termasuk 25 wanita.

Dalam komen di Facebook baru-baru ini, ada netizen menggelar peniaga dan usahawan wanita sebagai ‘bodoh’ dan menegaskan ‘tanggungjawab wanita hanyalah melakukan kerja di rumah’.

Bagaimanapun, ketekunan dan kesatuan yang ditunjukkan wanita di Iraq mula mengubah persepsi itu. Kelab botani yang diterajui Diman itu juga membantu usahawan wanita dan memberi galakan supaya mereka lebih yakin dengan diri sendiri.

“Jangan putus asa dan jangan berdiam diri jika ia membabitkan hak kita. Dalam masyarakat kita, apabila wanita mula berniaga, dia bukan saja mencari pendapatan sendiri. Dia juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesaksamaan hak, membuka laluan kepada wanita lain untuk memasuki dunia pekerjaan dan mendapat kebebasan,” katanya.

Kajian yang dijalankan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2013 mendapati, 66 peratus belia Iraq menyokong hak wanita untuk bekerja, berbanding hanya 42 peratus sokongan daripada golongan berusia.

Aktivis buruh wanita, Avan Jaff berkata, dia juga melihat adanya perubahan positif dalam perkara itu.

“Ia bukan disebabkan minda masyarakat sudah terbuka. Ada yang tetap tidak suka, tetapi ada yang sudah mula sedar bahawa wanita mempunyai semangat juang dan tidak berputus asa mencapai impian,” katanya.

Namun, cabaran sentiasa ada kerana sesetengah undang-undang Iraq melarang wanita bekerja khususnya dalam industri yang memerlukan tenaga dan bekerja pada waktu malam.

Jika cuti bersalin, tiada jaminan kedudukan mereka di tempat kerja akan kekal dan apabila mahu berniaga, wanita Iraq terpaksa tunduk kepada keputusan keluarga.

“Keluarga yang menentukan bagaimana wang keuntungan boleh digunakan atau di mana hendak dilaburkan, bukan wanita,” sambungnya.

Shawnem Hussein, pemilik pusat kecergasan Sky Fitness, antara peniaga yang memberi inspirasi kepada wanita lain. Di pusat kecergasan yang mempunyai 150 ahli itu, wanita bukan saja boleh menari dan bersenam, malah ia menjadi lokasi pertemuan untuk berkongsi masalah.

Melihat kejayaan Shawnem, seorang pelanggan meluahkan hasratnya membuka restoran. Namun impiannya hancur apabila suami menolak ideanya mentah-mentah. “Dia kata, pada hari restoran dibuka akan jadi hari terakhir saya balik ke rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:05 AM