POKOK cili antara pokok sayuran yang ditanam.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

WANITA ini mengakui sangat sukakan tanah dan bercucuk tanam, namun disebabkan tinggal di kawasan kediaman yang rapat selain langsung tidak mempunyai tempat untuk meneruskan minatnya membuatkan dia buntu.

Pandangannya sering terarah kepada tanah kecil milik jiran di depan rumah. Dia ligat berfikir alangkah bertuahnya jika dapat menumpang bercucuk tanam di situ.

Norizan Malek, 42, ibu kepada dua cahaya mata memberanikan diri meluahkan hasratnya kepada jiran yang sudah dianggap seperti ahli keluarga.

Memulakan bicara, dia berkata sangat gembira dan teruja apabila jirannya menyambut baik hasratnya yang ingin bersama-sama bertani.

“Pada mulanya rasa malu juga. Bimbang pun ada, jika niat saya tidak diterima. Saya bersyukur apabila Kak Ilah (jiran) tidak keberatan, malah dia mengalu-alukan kerana dapat berkongsi hobi dengan saya.

“Saya anggap Kak Ilah seperti kakak sendiri, bermula dari detik itu kira-kira tiga tahun lalu saya mula aktif menanam pelbagai tanaman termasuk cili, pokok kari, kunyit dan pandan di tanah depan rumah saya. Disebabkan tanaman itu hanya di sekitar rumah jiran, saya boleh menyiram semua tanaman pada bila-bila masa,” katanya.

Disebabkan jirannya bekerja, suri rumah ini mengambil peluang menjaga tanamannya. Puas hatinya dapat menghabiskan masa di kebun mini meskipun milik orang.


NORIZAN tumpang bercucuk tanam di tanah jiran dianggap seperti keluarga

“Saya jaga seikhlas hati. Malah, saya sangat berterima kasih dan bersyukur kerana dia membenarkan saya menggunakan sedikit tanah di kawasan rumahnya untuk bercucuk tanam.

“Bayangkan betapa saya gembira dan teruja terutama apabila tanaman membuahkan hasil. Hasil tuaian diberikan kepada jiran lain terutama Kak Ilah sekeluarga kerana tanpa kebenarannya saya tidak boleh meneruskan hobi ini,” ujarnya.

Menurut Norizan, dia juga cuba menerapkan minat yang sama kepada dua anaknya yang kini berusia 17 tahun dan 15 tahun.

“Saya sering memberitahu anak banyak bahan masakan yang digunakan setiap hari adalah hasil tanaman sendiri. Kelazatan dan aroma masakan juga berbeza kerana ia jauh lebih lazat dan segar berbanding sekiranya dibeli di pasar atau kedai runcit.

“Paling menarik, hobi saya ini sedikit sebanyak membuatkan masa terluang terisi dengan aktiviti berfaedah, kedua-dua anak tinggal di asrama manakala suami pula bekerja menyebabkan saya selalu bersendirian di rumah,” katanya.

Katanya, lebih menarik dia dan jirannya sering meluangkan masa bercucuk tanam bersama terutama pada hujung minggu.

“Pada Isnin hingga Jumaat Kak Ilah bekerja menyebabkan kami hanya dapat bersama-sama melihat tanaman pada Sabtu atau Ahad.

“Hobi ini bukan saja berfaedah kerana menjimatkan perbelanjaan, menyihatkan tubuh malah dalam masa sama merapatkan hubungan saya dan jiran,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:00 AM