Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


BILA kali terakhir anda ketawa semahu-mahunya? Berapa kali anda ketawa setiap hari? Seberapa kerap anda menghabiskan masa, bersantai mendengar cerita lucu bersama keluarga atau teman?

Dalam dunia serba pantas kini, ramai di antara kita menghabiskan masa menghadap skrin telefon bimbit dan komputer berbanding berinteraksi bebas dengan teman rapat atau orang di sekeliling.

Sedar atau tidak, kita mungkin terlupa bila kali terakhir ketawa. Bagi kebanyakan orang, ketawa sangat mudah dilakukan. Namun, sesetengah individu hanya boleh ketawa jika fikiran mereka sependapat dengan lawannya.

Peluang mengikuti kelas yoga ketawa bersama lebih 20 peserta kempen Sompo Cares anjuran Berjaya Sompo Insurance di Mont Kiara baru-baru ini membuka perspektif baharu penulis terhadap jenis senaman yang dipandang remeh.

Tanpa persediaan khusus, penulis nekad mencuba. Kata jurulatih yoga tawa profesional, Deborah Ann Rodrigo, persediaan lengkap seperti pakaian dan kasut sukan tidak penting, asalkan baju dan seluar yang dipakai sudah selesa.

“Yoga ketawa berbeza dengan latihan yoga asli. Pergerakannya lebih santai, bebas dan kreatif, namun efektif membantu membakar kalori tubuh, mengurangkan tekanan, menaikkan semangat dan melancarkan peredaran darah,” katanya.

Pelik juga bunyinya. Berlegar-legar dalam fikiran penulis bagaimana ketawa boleh ‘melakukan’ semua itu kerana ketawa memang sudah menjadi hiasan hidup penulis sekeluarga. Jadi, mungkin tidak sukarlah untuk penulis mengikuti sesi yoga ketawa ini.

Seolah-olah mengetahui apa yang terlintas dalam fikiran penulis, Deborah pantas memberitahu yoga ketawa adalah senaman unik yang mengajar seseorang untuk ketawa tanpa sebab, jenaka atau apa saja cetusan emosi. Bahkan orang yang malu atau takut ketawa juga boleh dilatih sehingga ketawa.

“Mungkin kita akan berasa janggal pada awalnya, berpura-pura ketawa dan akhirnya berjaya. Tubuh tidak tahu perbezaan antara ketawa betul dan palsu. Apa yang penting adalah rasa ingin ketawa. Dari situlah manfaat demi manfaat akan datang kepada tubuh,” katanya.

Lebih 15 langkah yoga ketawa dilakukan pada hari berkenaan. Penulis sendiri berasa kekok pada lima minit pertama dan akhirnya sukar untuk berhenti ketawa sehingga sesi yoga tamat. Percaya atau tidak, peluh memercik seakan-akan bersukan di padang!

Apa kata cuba langkah berikut. Buat sapaan ‘namaste’ (menggoncang tangan sambil ketawa ho...ha.), tawa singa (mencebik, menjelir sambil ketawa mengagah), tawa motosikal (aksi menghidupkan motosikal dan berpusing-pusing menyapa orang sekeliling), tawa teh tarik (aksi menarik teh sambil ketawa) dan akhiri dengan tawa satu meter (mendepakan tangan secara perlahan sambil meningkatkan rentak ketawa).

MANFAAT YOGA KETAWA

1. Tingkatkan oksigen dalam tubuh

2. Lancarkan peredaran darah

3. Membantu penghadaman

4. Meningkatkan sistem imun

5. Merendahkan tekanan darah

6. Mengurangkan hormon stres

7. Membuatkan tubuh lebih tenang

8. Merembeskan hormon endorfin

9. Membantu atasi kemurungan (rangsang pengeluaran seratonin)

10. Melindungi jantung


1. SAPAAN ‘namaste’ dimulakan dengan menggoncang tangan.

2. TINGKATKAN rentak ketawa ho...ha. sambil mengulang tunduk hormat.

3. DALAM posisi seakan-akan singa hendak menerkam,

4. JELIRKAN lidah sambil ketawa mengagah.

5. BAYANGKAN seperti anda sedang menghidupkan motor.

6. PULAS pendikit minyak sambil membuat pusingan rawak dan menyapa ceria orang sekeliling.

7. TARIK teh sedikit demi sedikit sambil ketawa.

8. SATUKAN tapak tangan dan leretkan sambil ketawa sehingga dalam keadaan mendepa.

9. APABILA tangan sudah dalam keadaan mendepa, lepaskan baki ketawa dengan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:31 AM
YOGA unik dengan pergerakannya lebih santai, bebas dan kreatif.