Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

RAMAI ibu bapa tertekan apabila anak masih tidak mampu membaca biarpun sudah dua tahun belajar di tadika. Apatah lagi apabila ada ibu mula membandingkan anak mereka dengan anak orang lain dan beranggapan kebolehan membaca itu satu bentuk kebijaksanaan kanak-kanak.

Bagi membuang tanggapan ini, pereka kaedah teknik membaca Cahayaku, Cahaya Abdul Manan berkata, pandai membaca tidak menunjukkan kebijaksanaan seorang kanak-kanak. Ia hanyalah kemahiran yang wajib ada bagi si kecil.

“Ibu bapa sekarang berlumba-lumba mahu anak mereka boleh membaca secepat mungkin dan tidak tahu adakah si kecil berasa terbeban, cepat bosan sehingga akhirnya menganggap membaca dilakukan ketika di sekolah dan bukan disebabkan minat,” katanya ketika ditemui di Intergrated Preschool As Siddiq, Cyberjaya, baru-baru ini.

Katanya, minat membaca perlu dipupuk dengan membiarkan mereka berasakan ia seperti bermain dan bukannya secara paksaan. Ini secara tidak langsung dapat membentuk kecerdasan intelektual ( IQ) mereka.

“Memang lumrah kanak-kanak suka bertanya. Sudah ada dalam minda mereka seperti apa, mengapa, siapa, di mana dan bagaimana. Apabila melihat sesuatu inilah yang mereka persoalkan. Jadi, apabila wujud kesedaran dan minat membaca mereka akan mencari bahan yang memberikan informasi mengenai perkara yang ingin diketahui,” ulasnya.

Mengenai kaedah membaca Cahayaku yang sudah digunakan secara meluas sejak 21 tahun lalu, ia tidak berdasarkan mengenal huruf, membunyikan suku kata atau mengeja sebaliknya satu teknik menggunakan mimik muka sebagai tanda pengenalan abjad.

Jika konsep yang biasa digunakan dengan memperkenalkan 26 abjad bermula A sehingga Z, kaedah Cahayaku hanya membabitkan 18 huruf asas.


CAHAYA

“Apabila kanak-kanak ini didedahkan 18 mimik muka yang mewakili 18 abjad, mereka boleh menggabungkannya sendiri termasuk untuk suka kata yang panjang. Pendekatan ini sangat unik dan membolehkan kanak-kanak istimewa membaca dengan mudah,” katanya.

Sejak dibukukan pada 1998, kaedah ini sudah digunakan di pelbagai sekolah tadika termasuk Tadika Perpaduan, kelas pemulihan, sekolah swasta dan kerajaan bagi menyelesaikan masalah pembelajaran di sekolah. Pada akhirnya anak istimewa seperti autisme, sindrom Down atau lambat belajar dapat menguasai pembacaan dengan baik.

“Lebih penting kaedah ini memberi ruang kepada ibu dan anak mempunyai masa bersama-sama. Ikatan kasih sayang menjadi lebih erat, malah pengajar tidak rasa terbeban kerana membaca diibaratkan seperti bermain. Tidak perlu masa yang panjang, hanya lima minit sudah memadai untuk satu sesi,” katanya.

Katanya, kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mempelajari dan memperbetulkan bacaan mereka sendiri. Ini secara tidak langsung dapat menukar sifat negatif kepada positif kerana mereka tahu kekurangan diri sendiri. Disebabkan keunikannya juga ada anak kecil sudah boleh membaca surat khabar seawal lima hari mempelajarinya.

GUNA KAEDAH UNTUK ANAK SAUDARA

Menurut Cahaya, dia mendapat ilham membukukan kaedah ini selepas mengajar anak saudara yang tidak boleh membaca walaupun sudah berusia tujuh tahun.

“Ketika itu, saya sudah melepaskan jawatan sebagai setiausaha dan bekerja sebagai guru tadika. Pelbagai kaedah saya gunakan, namun tidak berjaya. Dia mudah bosan dan melarikan diri apabila dipaksa belajar. Dia bertanya bolehkah membaca tanpa tahu ABC. Secara logiknya memang tidak boleh.

“Suatu hari anak ini menangis apabila diejek kawan. Mengamati tangisannya ini saya mula terfikir alangkah bagusnya sekiranya saya mampu menukar perkara negatif kepada positif. Lalu saya mula mencipta 18 mimik muka berdasarkan abjad utama. Contohnya, bunyi ketika ibu menyuapkan makanan saya berikan sebagai A dan begitulah seterusnya saya mula mencipta mimik muka tersendiri,” katanya.


KANAK-KANAK mengunakan teknik kaedah membaca Cahayaku, di Intergrated Preschool As Siddiq Cyberjaya. FOTO: Rosela Ismail.

Akhirnya selepas yakin dengan kaedah yang dihasilkan Cahaya mula mempraktikkan kepada anak buahnya dan dia berjaya membaca dalam masa tiga bulan sahaja.

Pendekatan yang sama turut diterapkan kepada anaknya sendiri sehingga mereka boleh membaca surat khabar dalam masa sehari sahaja. Menariknya kaedah ini juga boleh digunakan untuk bahasa Inggeris, Arab dan Matematik.

Bermula dengan 30 pelajar, akhirnya kaedah ini dibukukan dan kemudiannya diterima pakai di kebanyakan sekolah tadika kerajaan dan swasta di seluruh negara disebabkan keberkesanannya. Malah guru diberikan latihan intensif cara menggunakan kaedah ini secara lebih profesional dan berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:30 AM
KAEDAH belajar membaca tidak berdasarkan mengenal huruf, membunyikan suku kata atau mengeja.