TOMPOK hitam di kawasan mata dikenali sebagai nevus of Ota boleh dirawat.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PERNAHKAH anda melihat individu yang mempunyai tompok hitam seperti lebam di bahagian mata dan ia sering dikaitkan dengan tanda kelahiran?

Pastinya mereka yang mempunyai tanda itu akan berasa diri serba kekurangan. Mungkin juga ada wanita yang tidak selesa mengenakan mekap kerana terpaksa bersolek tebal bagi menutup tanda hitam itu. Namun yang pasti, kehadiran tompok hitam ini memang boleh menyebabkan seseorang itu kurang berkeyakinan ketika melihat ramai yang berwajah cantik dan berketrampilan menawan.

Tompok hitam di kawasan mata itu dikenali sebagai nevus of Ota yang sering terjadi di bahagian muka terutama di bahagian bawah mata. Ia sejenis keadaan hiperpigmentasi iaitu peningkatan keamatan warna satu bahagian kulit berbanding kulit di sekelilingnya yang sering dilihat di kawasan muka.

Nevus of Ota dikenali sebagai tompok hitam tetapi tempat di nevus of Ota biasanya berwarna biru atau coklat. Hiperpigmentasi adalah keadaan munculnya bintik gelap pada kulit namun penyebabnya berbeza-beza.

Walaupun secara umumnya ia tidak berbahaya, hiperpigmentasi boleh mengganggu penampilan individu yang mengalaminya.

Penasihat Dermatologi, Dr Irene Lee Chew Kek berkata, masalah nevus of Ota ini boleh dirawat dan tidak perlu dibiarkan begitu saja kerana ia mampu menyebabkan tekanan emosi.

“Saya melihat ramai yang berdepan masalah nevus of Ota ini. Ia sebenarnya boleh dirawat. Ada segelintir yang mendapatnya ketika masih kecil dan ada mengalaminya ketika berusia belasan tahun. Biasanya ia berwarna gelap dan berlaku di sekitar mata,” katanya.

RAWATAN

Rawatan laser adalah kaedah yang paling berkesan untuk mengatasi nevus of Ota, walaupun ia perlu diulang dengan beberapa pendekatan dan aplikasi.

Rawatan laser berfungsi untuk menghancurkan melanosit yang menyebabkan hiperpigmentasi kebiruan dengan tujuan mengembalikan warna kulit kepada warna semula jadi.

Dr Irene berkata, ketika ini rawatan laser picosecond paling berkesan khususnya terhadap individu yang mempunyai warna kulit lebih cerah.

Katanya, laser picosecond adalah teknologi laser terbaharu yang melepaskan pancaran laser bertenaga tinggi dalam masa paling singkat dan memecahkan pigmen ke dalam zarah yang lebih kecil.


DR IRENE

Laser pigmen picosecond memancarkan laser dalam masa yang singkat, ia mengurangkan kesan pemanasan sekitar zarah pigmen. Malah ia juga mengurangkan kesakitan pada waktu rawatan yang secara tidak langsung merendahkan risiko kesan sampingan laser.

Disebabkan pemancaran laser yang bertenaga tinggi ini, rawatan ini lebih efektif dan mengurangkan sesi rawatan yang diperlukan.

Nevus of Ota selalunya terjadi kepada wanita berbanding lelaki dengan nisbah lima kepada satu dan ia lebih berlaku kepada individu keturunan Asia atau Afrika. Bagaimanapun, nevus of Ota boleh berlaku kepada semua orang dengan semua pigmen kulit yang berbeza.

“Jika ada tompok hitam ini, anda tidak perlu risau kerana ia ini boleh dirawat. Rawatan laser yang kita ada juga ini selamat. Anda hanya perlu menjalani rawatan beberapa kali untuk memudarkan warna dan ada kalanya boleh hilang sepenuhnya.

“Namun agak sukar untuk dirawat jika ia berlaku di dalam mata kerana ia boleh menyebabkan tisu mata menebal. Selain menggunakan terapi laser, orang dengan nevus of Ota boleh memilih untuk menutup dengan produk kosmetik,” katanya

DIAGNOSIS

Sekiranya anda mengalami hiperpigmentasi kulit di sekitar dan di sekeliling mata anda, disarankan segeralah bertemu doktor untuk mendapatkan diagnosis yang betul kerana dikhuatiri jika ia disebabkan masalah kesihatan yang lain.

Dalam keadaan tertentu, pakar kulit boleh melakukan biopsi kecil kulit untuk mengesahkan jenis sel pada tempatnya. Biopsi adalah prosedur untuk mengambil sampel tisu dan memeriksanya di bawah mikroskop.

Dalam sesetengah kes, pakar oftalmologi boleh menjalankan pemeriksaan lanjut untuk menentukan sama ada keadaan itu tidak disebabkan oleh penyakit berbahaya.


RAWATAN laser adalah kaedah yang paling berkesan untuk mengatasi nevus of Ota.

FAKTA NEVUS OF OTA

l Ia pertama kali dilaporkan oleh pakar dermatologi Jepun, Dr M.T Ota pada 1939

l Dianggarkan sekitar 50 peratus kes ditemui semasa kelahiran

l 50 peratus kes lagi berkembang semasa remaja atau dewasa.

l Nevus of Ota yang memberi kesan kepada mata boleh menyebabkan penebalan tisu di dalam dan di sekitar mata.

l Puncanya tidak diketahui dengan pasti. Ia dipercayai dipengaruhi oleh faktor genetik dan keturunan.

l Tiada garis panduan perubatan khusus yang boleh digunakan untuk mencegah keadaan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:30 AM