Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kemalangan ngeri yang menimpa 12 tahun lalu tidak pernah pudar daripada ingatannya, namun setiap kali dia melihat keadaan diri, wanita ini sedar semakin hari dia semakin kuat menempuh onak dan ranjau.

Ketika itu, usianya baru 17 tahun, namun kehidupan remajanya seolah-olah direntap sekelip mata dalam insiden dilanggar pemandu van mabuk hingga dia terpaksa berdepan hakikat kehilangan keupayaan untuk berjalan.

Akibat kemalangan itu, Nur Ashikeen Iqbal, 29, mengalami kecederaan parah pada tulang belakang dan doktor mengesahkan dia tidak boleh berjalan.

Namun, takdir yang ditetapkan untuknya diterima dengan tabah bahkan dia tidak pernah menangisi nasib diri. Sebaliknya Nur Ashikeen membuktikan kekurangannya tidak pernah menjadi halangan untuk menikmati kehidupan sempurna seperti orang lain.

“Akibat kemalangan itu, saya mengalami pendarahan dalaman pada kedua-dua belah paru-paru dan terpaksa dimasukkan tiub di dada, selain luka teruk di bahagian muka.

“Ketika sedar di katil hospital, kedua-dua kaki saya tidak dapat digerakkan. Doktor beritahu ibu bapa yang saya mungkin tidak dapat berjalan dan lumpuh daripada pinggang ke bawah kerana kecederaan teruk tulang belakang.

“Saya reda dan terima segalanya dengan hati yang tenang. Saya beruntung kerana ibu bapa, keluarga dan rakan sentiasa ada di sisi serta tidak jemu memberi semangat ketika berjuang untuk pulih dan menjalani kehidupan dengan berkerusi roda.

“Keluarga saya adalah penyokong paling kuat untuk mencapai apa jua impian termasuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam bidang Psikologi,” katanya.

Tiada apa-apa pun yang membataskan impian wanita ini. Malah dia juga berani mencabar diri untuk menyertai pertandingan Wheelchair Queen Malaysia tahun lalu.


NUR Ashikeen ketika dinobatkan sebagai Wheelchair Queen Malaysia tahun lalu.

Lebih manis apabila Nur Ashikeen dinobatkan sebagai juara pertandingan itu dengan menewaskan 14 peserta akhir berdasarkan keterampilan, karakter, kemahiran komunikasi dan latar belakang pendidikan.

Perjalanan selama tiga bulan sebelum dinobatkan sebagai juara membawa Nur Ashikeen bersama peserta lain untuk menjalani pelbagai latihan dan aktiviti termasuk projek CSR, sesi penggambaran, keterampilan serta sesi latihan keyakinan diri.

Pertandingan itu, katanya, banyak mengubah diri dan perspektifnya terhadap kehidupan bahkan dia bersyukur kerana dapat mengenal ramai wanita senasib yang amat positif dalam kehidupan.

“Saya dihubungi Persatuan Damai untuk mencuba dan menghantar penyertaan dalam pertandingan itu. Saya bertanya keluarga mengenainya, mereka memberi reaksi positif dan menyokong sepenuhnya.

“Memang tidak sangka kemenangan berpihak kepada saya kerana semua peserta hebat dan bijak dalam bidang masing-masing. Alhamdulillah, kemenangan ini juga menjadi batu loncatan untuk penyertaan dalam pertandingan peringkat antarabangsa, Miss Wheelchair World 2020 di Paris,” katanya.

Dia yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Psikologi turut menasihatkan mereka yang senasib dengannya agar tidak membataskan diri dalam mengejar impian dan cita-cita meskipun ada kalanya memerlukan usaha berlipat ganda.

Baginya, usaha perlu diiringi sikap positif untuk mencapai apa jua yang diingini dan jangan sesekali menidakkan kebolehan diri kerana keadaan tidak sempurna seperti orang lain.

“Saya tahu ia sukar dengan keadaan seumpama ini, namun setiap orang berbeza dan unik. Anda perlu jadi diri sendiri. Paling utama, sayangi diri anda sendiri sebelum orang lain.

“Prinsip hidup saya mudah - jalani kehidupan yang positif dan gembira serta berusaha tanpa mengharapkan simpati orang lain. Jangan sesekali berasakan diri tidak berguna atau rasa tiada harapan untuk nikmati kehidupan sama seperti orang lain,” katanya.

Nur Ashikeen turut mengusahakan perniagaan wangian organik dan harapannya kini suatu hari nanti dia mampu membantu ramai OKU sepertinya dan ibu tunggal untuk menambah pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:20 AM
PERTANDINGAN ubah perspektif Juara Wheelchair Queen Malaysia tahun lalu terhadap kehidupan. FOTO & VIDEO ZUNNUR AL-SHAFIQ & EMAIL