Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


TANYALAH kepada mana-mana remaja perempuan mengenai fesyen, hampir semua akan menunjukkan minat untuk tampil cantik bergaya mengikut cita rasa masing-masing.

Ada yang gemar tampil feminin, ada pula memilih untuk gaya ringkas dan tidak kurang juga ada yang suka kelihatan memukau.

Seiring peredaran masa, remaja era kini semakin bijak dalam berfesyen walaupun sekadar untuk menghadiri kuliah atau keluar di hujung minggu bersama rakan dan keluarga.

Golongan itu sangat menitikberatkan pemilihan busana, tudung dan aksesori termasuk kasut dan beg tangan. Pendek kata, kebanyakannya sangat gemar bergaya!

Penampilan gadis manis kelahiran Shah Alam, Selangor ini dalam berfesyen sungguh menarik perhatian. Mana tidaknya pada usia mudanya, dia bijak memilih busana harian yang dipadankan dengan selendang, beg tangan atau aksesori bagi melengkapkan lagi gaya anggunnya.

Apabila ditanya mengenai fesyen hariannya, Nurul Nadzirah Sazeli Zam, 23, tidak lokek berkongsi pandangan kerana baginya fesyen yang menarik akan membuatkan si pemakai lebih berkeyakinan.

Tidak hairanlah semua gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram peribadinya kelihatan sangat cantik.

Menurutnya, dalam memilih busana atau aksesori, perkara pertama yang akan dititikberatkan adalah soal warna.

“Bagi saya semua individu itu akan kelihatan cantik jika menggayakan fesyen yang sepadan dengan diri. Dalam soal ini, warna memainkan peranan dalam menentukan gaya yang terhasil.

“Saya sendiri mempunyai warna yang sinonim dengan diri iaitu merah jambu dan rona tanah. Bukan tidak berani menggayakan rona lain, namun saya sudah biasa dengan dua warna itu yang mendominasi koleksi dalam almari saya,” katanya.

Bagi pilihan beg tangan dan kasut pula, Nurul Nadzirah berkata, dia lebih bersikap terbuka kerana gemarkan koleksi yang pelbagai.

“Saya seorang yang ringkas dan tidak terlalu cerewet dalam berfesyen. Cukuplah busana itu cantik dan selesa, paling utama diri sendiri perlu yakin dalam bergaya.

“Selain itu, saya juga tidak sukakan fesyen yang terlalu sarat, bagi saya bersederhana itu lebih manis dipandang,” ujarnya.

KERJAYA SEIRING FESYEN

Nurul Nadzirah yang juga graduan jurusan pengurusan perniagaan berkata, selain gemar bergaya, kerjayanya sebagai model sepenuh masa juga menuntut dirinya untuk sentiasa kelihatan cantik.

“Cantik itu berkait rapat dengan fesyen dan disebabkan itu saya perlu pastikan diri sendiri mempunyai koleksi busana dan aksesori yang pelbagai.

“Saya suka menggunakan duit sendiri untuk menambah koleksi fesyen terutama pakaian. Ibu dan ayah juga ada belikan pakaian, namun disebabkan saya sudah mempunyai pendapatan sendiri, saya tidak mahu bergantung kepada mereka,” katanya.

Menurut anak kedua daripada tujuh beradik itu, dia juga gemar berkongsi idea mengenai fesyen bersama kakak sulung dan ibunya.

“Kami sekeluarga suka tampil cantik. Setiap wanita ada gaya dan fesyen yang mereka suka atau selesa, kita tidak boleh mengatakan gaya individu lain itu tidak cantik kerana cita rasa masing-masing adalah berbeza,” ujarnya.

“Bagi saya harga dan jenama adalah soal kedua. Jenama terkenal dan mahal tidak semestinya cantik dan selesa. Namun jika berkemampuan, tidak salah memilikinya. Semuanya terpulang kepada diri sendiri.

“Namun dalam keterujaan berfesyen, saya sentiasa ingatkan diri supaya tidak membazir dan mengawal nafsu berbelanja terutama ketika membeli baju, tudung atau aksesori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:20 AM
NURUL Nadzirah titikberat pilihan busana, aksesori supaya tampil cantik. FOTO & VIDEO: Roslin Mat Tahir