Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


DARI jauh mereka nampak normal, mesra membalas senyuman. Apabila kita memulakan perbualan, mungkin mereka hanya merenung dan tidak membalas walaupun sepatah perkataan.

Dilahirkan cacat pendengaran dan bisu atau mengalami masalah kesihatan yang menjurus keadaan itu menyebabkan golongan istimewa ini mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling.

Hanya bahasa isyarat yang dapat membantu mereka berkomunikasi dan menunjukkan ekspresi diri.

Umumnya, bahasa isyarat ialah kaedah komunikasi menggunakan pergerakan tangan, badan dan bibir untuk menyampaikan maklumat.

Namun, berapa ramai dalam kalangan kita memahami bahasa isyarat? Adakah hanya golongan pekak dan bisu yang mempelajarinya?

Di Malaysia, masih ramai beranggapan bahasa isyarat hanya perlu dipelajari golongan pekak dan bisu mengakibatkan golongan OKU pendengaran serta pertuturan terus disisih dan dipinggirkan daripada kegiatan kemasyarakatan kerana tidak ramai yang boleh ‘berbicara’ dengan mereka.

Hanya segelintir yang terpanggil untuk mempelajari bahasa isyarat, selebihnya mungkin memikirkan tiada keperluan berbuat demikian kerana tiada ahli keluarga yang tergolong sebagai OKU pendengaran dan pertuturan.

Zailene Deliza Husaini terpanggil memberikan pendedahan mengenai bahasa unik ini kepada anaknya dengan mengikuti kelas bahasa isyarat yang dianjurkan di ibu kota.

Meskipun pada awalnya kelas yang diikuti bersama tiga daripada empat anaknya, Zara Deliza Mohd Kamarul Azizi, 10, Ayra Deliza Mohd Kamarul Azizi, 7, dan Ayesya Deliza Mohd Kamarul Azizi, 6, hanya sebagai pengisian masa lapang ketika cuti sekolah tahun lalu, ia kini menjadi minat mereka sekeluarga.

“Kerjaya saya dalam bidang kesihatan sebagai juruterapi fisio banyak bertemu dengan golongan ini dan komunikasi menjadi halangan utama saya untuk memberi perkhidmatan terbaik.

“Selain itu, program kesukarelawanan yang saya sertai juga ada kala memang perlu berdepan dengan mereka. Jadi, saya terfikir kenapa tidak belajar saja bahasa isyarat ini.

“Tahun lalu, saya membawa tiga anak belajar bahasa isyarat dan tidak sangka pula mereka berminat dan kami mempraktikkannya sesama sendiri untuk lebih mahir,” katanya.


ZARA Deliza dan Ayra Deliza mempelajari bahasa isyarat.

Sebagai ibu pasti dia gembira melihat perkembangan positif sahsiah dan sikap anak-anaknya terutama apabila mereka sudah mula menunjukkan minat untuk turut serta dalam kerja amal dan aktiviti kemasyarakatan yang disertainya.

Katanya, kesedaran anaknya juga bertambah terutama terhadap pentingnya bahasa isyarat untuk berkomunikasi jika mereka terserempak dengan golongan OKU pekak dan bisu.

Mereka sering mempraktikkan bahasa isyarat di rumah sebagai latihan hingga anak bongsunya yang berusia tiga tahun juga sudah pandai mengikuti pergerakan bahasa isyarat yang diajar kakak-kakaknya.

“Memang mereka sangat teruja ketika kali pertama mengikuti kelas dan seterusnya. Anak juga mudah menerima dan belajar, malah tidak lokek berkongsi ilmu dan mengajar rakan serta sepupu bahasa isyarat yang mereka ketahui.

“Kini, mereka mula membuat rakaman sendiri dalam bahasa isyarat dan sangat gembira berkongsi pengetahuan itu bersama rakan dan saudara mara.

“Sebagai ibu, pasti saya berasa gembira dengan minat yang ditunjukkan apatah lagi niatnya adalah untuk sama-sama mendekati golongan OKU pertuturan yang sering berasa tersisih dalam masyarakat.

“Saya rasakan sudah menjadi tanggungjawab bersama untuk menyebarkan kesedaran dan ilmu bahasa isyarat yang dipelajari kepada orang sekeliling. Jadi tidaklah terasa kekok sekiranya perlu berdepan golongan ini.

“Peluang ini juga seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya agar kita dapat menjadikan bahasa isyarat sebagai wadah untuk mendekatkan diri dan bergaul dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 5:00 AM
ZAILENE (kiri) bersama anak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.