RATU Cantik Russia kagum busana tradisi wujud program pencarian Ratu Cantik Kebaya Russia dan Filipina 2019. FOTO: Aziah Azmee & Ihsan Natalya Bronxova
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


MENYARUNGKAN kebaya ketika menyertai perarakan kebaya sempena Kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 di Pavilion Julai lalu membuatkan ratu cantik Russia, Natalya Bronxona terus terpukau dengan ‘aura’ feminin dimiliki busana tradisi itu.

Katanya, potongan kebaya mengikut lenggok badan wanita, tetapi masih mengutamakan identiti sopan apatah lagi dengan padanan kain sarung motif bunga dan awan larat menonjolkan sisi kewanitaan pemakainya.

Katanya, tidak kisah sesiapa dan apa juga rekaan kebaya yang dikenakan, busana itu berjaya memperlihatkan kelembutan atau aura elegan seseorang wanita.

“Pengalaman saya dengan busana ini ialah ketika menyertai pertunjukan 154 Ratu Kebaya Antarabangsa di pusat beli-belah pada awal tahun lalu.

“Saya teruja disebabkan daripada kebaya kosong sehingga kepada potongan yang berharga ribuan ringgit semuanya tampak begitu cantik.


KETIKA menyertai perarakan Ratu Kebaya Malaysia menampilkan penyertaan 154 peserta dan direkodkan paling ramai dalam World Guiness Book of Record.

“Selaku ratu cantik dan pernah bertanding di lebih 40 negara dalam memburu ‘mahkota’ tidak sukar untuk membuat perbandingan mengenai kekuatan dimiliki busana kebaya Malaysia.

“Malah, kekuatan busana tradisional itu terletak kepada kekuatan identiti tempat kelahirannya dan apabila tiba di Malaysia, rekaan di sini penuh dengan warna-warni kesan pengaruh campuran budaya dan etnik setempat.

“Jujur saya katakan, tidak sekali pun terasa bosan melihat rekaan kebaya yang dipakai wanita tempatan baik golongan kebanyakan sehingga pihak kenamaan terutama kerabat diraja. Masing-masing mempunyai keunikan dan sentuhan peribadi tersendiri,” katanya.

Bertitik daripada pembabitan Ratu Kebaya Miss Malaysia itu, dia mengambil inisiatif iaitu mewujudkan komuniti antarabangsa mendekati busana itu menerusi program pencarian Ratu Cantik Kebaya Russia dan Filipina 2019.

“Disebabkan saya mempunyai pengalaman istimewa dengan busana itu, jadi saya dan rakan kongsi mulakan pencarian Ratu Cantik Kebaya Russia dan Filipina 2019 untuk berkongsi dengan komuniti antarabangsa mengenai keindahan busana tradisional berkenaan.

“Maklumlah busana tradisi dari negara asal saya di Eropah adalah gaun yang didominasi warna putih. Keadaan jauh berbeza dengan busana yang dikenakan pengantin di sini yang dihidangkan pelbagai pilihan warna kebaya selain perincian membuatkan pemakai tampak istimewa. Jiwa saya sukakan warna-warni sukar menolak pesona baju warisan tempatan Malaysia ini,” katanya.

Katanya, untuk pencarian akhir Ratu Cantik Kebaya Russia dan Filipina 2019, seramai 15 peserta disenarai pendek membabitkan calon tampil mengenakan kebaya daripada pelbagai negara.

“Sebaik sahaja mengenakan busana ini, saya perasan pembawaan diri terutama dalam susun langkah saya lebih santun dan gemalai. Pengarah Ratu Kebaya Malaysia, Dr Jackson memberitahu, itu adalah tertib ketimuran bagi mereka yang mengenakan busana terbabit.

“Kedudukan tangan, bahasa tubuh mahupun langkah perlu sepadan dengan imej kebaya. Itu juga ditekankan pada sesi latihan sebelum hari pertandingan.

“Ratu yang ada bukan sekadar mengenakan pakaian cantik, mereka juga perlu faham nilai estetika pada rekaan busana warisan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya turut mengakui ketika ini memiliki dua koleksi kebaya dengan sentuhan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 5:01 AM