Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


PERKEMBANGAN dunia animasi tempatan hari ini sedikit sebanyak mengangkat peranan pelakon suara yang sejak dulu beraksi di belakang tabir tanpa publisiti gah.

Biarpun tidak berada di depan kamera sebagaimana pelakon drama dan layar perak, mereka kreatif menggunakan irama dan mood suara untuk melakonkan watak diberi dengan intonasi betul.

Bulan lalu, filem animasi Boboiboy kembali mencuri tumpuan peminatnya. Selain dialog lucu, lontaran kuasa baru Boboiboy masih menjadi bahan jerit pekik anak kecil setiap kali mereka bermain.

Hujung tahun nanti akan muncul pula filem animasi Ejen Ali. Biarpun tarikh tayangannya belum ditetapkan, peminat siri animasi berkenaan sudah tidak senang duduk menantikan watak ejen cilik mereka muncul di layar perak.

Mengenali pelakon suara di sebalik watak utama Boboiboy, Ejen Ali dan Ejen Alicia baru-baru ini, siapa sangka ketiga-tiga mereka adalah wanita. Seorang daripadanya baru mencecah usia 20 tahun, manakala dua lagi sudah bergelar ibu.

NURFATHIAH DIAZ (BOBOIBOY)

Anak sulung daripada tiga beradik ini berasal dari Klang, Selangor. Biarpun masih muda, Nurfathiah sebenarnya sudah 12 tahun berada dalam industri lakon suara.

“Saya bermula dengan watak animasi Upin & Ipin. Ketika itu, usia baru tujuh tahun dan saya belum lancar membaca. Selepas empat tahun melakonkan suara si kembar terbabit, saya ambil keputusan meninggalkan syarikat produksi dan kembali fokus pada persekolahan.

“Begitupun, minat pada seni lakon suara tidak pernah hilang. Pada usia 12 tahun, saya sekali lagi menyertai uji bakat di Animonsta Studios. Mungkin sudah rezeki, saya diberi kepercayaan melakonkan watak Boboiboy,” katanya.

Menurut pelajar Diploma Pengurusan Pejabat di Universiti Teknologi Mara Puncak Alam ini, dia seronok melakonkan wataknya dari dulu hingga sekarang kerana sesuai dengan suara.

“Kalau dulu, saya terpaksa habiskan masa sehari suntuk melakonkan suara bagi satu episod. Itupun masih memerlukan bantuan kru produksi untuk menghayati babak.

“Namun sekarang, tiga jam sudah mencukupi. Berbekalkan latihan dan pengalaman, saya dapat melakonkan watak mengikut babak diberi dengan lancar,” katanya.


NURFATHIAH sebenarnya sudah 12 tahun berada dalam industri lakon suara.

IDA RAHAYU YUSOFF (EJEN ALI)

Mimik wajah wanita ini tampak cukup bersemangat ketika melakonkan suara Ejen Ali. Kata Ida, seni lakon suara cukup dekat di hati, apalagi saat melakonkan watak Ejen Ali.

Menggilap bakat awalnya menerusi watak Fizi dan Oopet dalam siri animasi Upin & Ipin, ibu kepada dua anak ini nekad meneroka dunia produksi bergandingan dengan lima pengasas bersama Wau Animation Studios.

“Saya di sini sebagai pelakon suara dan penyelaras produksi. Selain merakam suara Ejen Ali, saya juga bertanggungjawab memantau proses pembikinan filem sebelum tayangannya hujung tahun ini,” katanya.

Jelas Ida, dia cukup seronok melakonkan suara Ejen Ali kerana wataknya sentiasa bersemangat, baik hati dan tidak mudah berputus asa.

“Saya menganggap sesi lakon suara di studio adalah masa untuk melepaskan tekanan kerja. Biasanya kami akan lakonkan babak terlebih dulu di luar studio untuk mendapatkan penghayatan baik.

“Selepas itu, saya akan bawa mood berkenaan ke dalam studio dan mula melontar dialog mengikut situasi diberi. Untuk watak Ejen Ali, saya tidak perlu mengecil atau membesarkan suara, sebaliknya fokus kepada gaya lontaran dialog.

“Lucunya, kadang-kadang ada juga yang menegur munculnya ‘suara Ejen Ali’ secara tiba-tiba di pejabat. Mungkin juga saya terbawa-bawa kerana selesa,” katanya.


IDA Rahayu hidupkan watak Ejen Ali.

NOORHAYATI MASLINI OMAR (EJEN ALICIA)

Berbeza dengan Nurfathiah dan Ida, ibu kepada seorang anak ini mula jatuh cinta pada bidang pengalih suara sejak kecil. Mungkin kerana minat mendalam terhadap siri animasi luar negara, Noorhayati nekad menjadi pengalih suara sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dari 2003 sehingga kini, saya banyak melakukan kerja alih suara membabitkan pelbagai siri animasi popular di rangkaian Astro termasuk Chibi Maruko Chan, Phineas and Ferb, Tobot dan Super Wings.

“Setiap watak memerlukan kreativiti dan suara berlainan. Jadi, saya perlu bijak membezakan setiap watak yang dibawa supaya bertepatan dengan intonasi dan babak dikehendaki.

“Untuk watak Alicia, saya gunakan suara lebih tegas, ada nada sombong dan sinis setiap kali. Begitupun, ia tidak sukar kerana saya hanya perlu menggayakan suara sendiri mengikut intonasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:30 AM
TIGA wanita hidupkan watak animasi Boboiboy, Ejen Ali, Ejen Alicia