KAWALAN pemakanan bermula pada usia enam bulan.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PENDAPAT ibu bapa yang berpegang kepada konsep ‘tidak apalah beri anak-anak makan apa yang disukai, asalkan mereka makan’ perlu diubah kerana ia mendorong kepada masalah kekurangan nutrisi.

Di negara kita sudah timbul masalah banyak makan tetapi tidak cukup zat. Ia tidak hanya berlaku kepada anak daripada golongan berpendapatan rendah tetapi turut dialami keluarga berkemampuan.

Hakikatnya, cita rasa masyarakat kita memang cenderung kepada makanan mewah kalori seperti makanan bergoreng, tinggi kandungan lemak, garam dan gula.

Sajian berasaskan sayur-sayuran lazimnya dipandang sepi hingga ada keluarga yang tidak menghidangkan sayur di rumah memandangkan ia tidak digemari oleh anak. Rasanya sasaran untuk mengikuti saranan pengambilan lima hidangan sayur dan buah setiap hari masih jauh untuk digapai.

Akibatnya, ramai kanak-kanak di negara ini bertubuh montel tetapi tidak cukup zat kerana hanya mengambil sumber karbohidrat, protein dan lemak.

Kesibukan kerja sering dijadikan alasan membeli makanan segera buat anak dan tanpa sedar anda sebenarnya sedang memupuk cita rasa anak untuk sukakan makanan tertentu yang secara tidak langsung mendorong mereka menjadi insan pemilih atau cerewet.

Anak akan makan makanan yang mereka suka sahaja dan menolak hidangan lain. Biasanya makanan bergoreng dan mengandungi banyak lemak lebih mudah diterima berbanding sajian sihat.

Jadi, tidak hairanlah jika ramai kanak-kanak mengalami masalah berlebihan berat badan dan obes. Biasanya masalah kegemukan di zaman kanak-kanak berlarutan hingga ke dewasa. Ia juga menjadi faktor risiko utama penyakit kronik seperti diabetes dan kardiovaskular.


NOR Alifah Mohtar. FOTO: MUHD ZAABA ZAKERIA

Kawalan pemakanan seharusnya bermula awal ketika anak kecil, pada usia enam bulan iaitu apabila anda mula memperkenalkan makanan kepadanya.

Pakar Pemakanan, Nor Alifah Mokhtar berkata, ibu bapa perlu peka dengan pemakanan anak dan seharusnya menyediakan sendiri makanan untuk si kecil.

“Kita tidak galakkan ibu bapa menambah perasa seperti garam dan gula dalam makanan anak di bawah usia satu tahun. Elakkan memberi makanan segera seperti bijirin segera atau makan berproses.

“Kebiasaannya makan yang diproses ini mengandungi perasa dan gula. Apabila ibu sudah memperkenalkan perasa itu ketika bayi, mereka akan menolak makanan lain seperti bubur kerana rasanya tawar,” katanya.

Alifah bagaimanapun mengakui sukar menukar tabiat makan anak sekiranya mereka sudah didedahkan dengan bahan perasa seawal usia enam bulan.

Begitupun ibu seharusnya tidak putus asa untuk terus mencuba memberikan mereka makanan berkhasiat seperti bubur atau puri buah yang disediakan sendiri.

“Untuk mengubah tabiat makan anak, anda perlu sabar. Cuba lapan hingga 15 kali untuk perkenalkan makanan baru kepada anak.

“Jangan kecewa jika mereka makan sedikit. Satu atau dua sudu pun tidak mengapa, sekurang-kurangnya anak anda sudah mencuba. Tanamkan semangat untuk terus mencuba dan beri makanan itu lebih kerap,” katanya.

IBU BAPA SEBAGAI CONTOH

Mentaliti ibu bapa yang tidak kisah mengenai pemakanan anak juga perlu diubah dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat.

“Adakah anda sanggup melihat anak membesar namun berisiko mendapat penyakit? Selagi boleh mengawal corak pemakanan anak, anda perlu terus mengawalnya kerana ia akan memberi kesan di kemudian hari,” katanya.

Banyak perkara boleh dipraktik oleh ibu bapa bekerjaya dalam usaha menggalakkan kanak-kanak makan secara sihat.

“Antaranya kerap makan bersama keluarga. Cara ini boleh membantu kita memantau pemakanan anak.

“Jika boleh jangan langkau waktu makan. Ajar anak makan pada waktu tetap seperti pagi, tengah hari dan malam bagi mengurangkan mereka mengambil makanan ringan di luar. Jika perkara ini diterapkan, anak akan fikir ada makanan di rumah jadi tidak perlu makan di luar,” katanya.

Ibu bapa juga boleh menggunakan konsep mengajak anak membeli barangan dapur dan membiarkan mereka memilih makanan diinginkan.

Kata Alifah, cara itu dapat membantu meningkatkan keinginan makan anak kerana ia boleh menarik minat mereka untuk menikmati makanan yang pilih.

Selain itu, libatkan anak ketika memasak. Biarpun ia hanya tugasan kecil seperti membasuh pinggan atau sayur, ia boleh membuka minat mereka untuk makan.

“Kanak-kanak sebenarnya lebih teruja untuk makan apabila mereka sendiri yang sediakan satu-satu makanan itu,” katanya.

Katanya, kanak-kanak perlu diberi nutrisi secukupnya. Ini bermakna mereka perlu makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Namun cabaran besar yang dihadapi ibu bapa kini adalah untuk memaksa anak makan sayur.

Isu kanak-kanak tidak suka makan sayur sebenarnya adalah normal dan ia berlaku di seluruh dunia. Bagaimanapun ibu bapa jangan mengabaikan perkara itu.

Pengabaian makan sayur boleh menyebabkan badan anak tidak cukup zat untuk membesar. Perkara ini boleh diubah dan ia perlu bermula dengan ibu bapa sendiri untuk menjadikan sayur sebagai menu wajib seisi keluarga.

TIP PENGAMBILAN MAKANAN SEGERA JIKA TIADA PILIHAN LAIN

- Pilih hidangan bersaiz kecil. Ambil set biasa berbanding dua kali ganda.

- Pilih menu panggang berbanding goreng.

- Kurangkan makan makanan tinggi lemak seperti keju.

- Jangan ambil bersama pencuci mulut seperti ais krim atau pai.

- Elakkan minuman berkarbonat.

- Tukar kepada jus, air mineral atau susu.

TIP KANAK-KANAK MAKAN SAYUR

- Bawa anak membeli barang dapur bersama.

- Libatkan anak dengan proses penyediaan makan.

- Ibu bapa perlu menjadi model kepada anak.

- Konsisten dalam mengamalkan pemakanan sayur. Latih 8 hingga 15 kali dengan tekstur makanan berbeza.

- Kreatif dalam penyediaan makan.

- Masukkan sayur dalam makanan kegemaran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:30 AM