Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


KASIH ibu tiada galang gantinya, begitu juga kisah ibu muda ini yang sanggup mendermakan sebahagian hatinya kepada anak yang dikasihi, Idzyraf Alsheeraz Mohd Idzzuan yang menghidap penyakit hati kronik, biliary atresia atau hati tersumbat.

Penyakit itu dihidapi Idzyraf ketika dia berusia dua minggu selepas dilahirkan pramatang hingga pembedahan ‘Kasai’ Julai tahun lalu terpaksa dilaluinya, namun tiada perkembangan positif ditunjukkan.

Keadaan dan kesihatan bayi berusia 14 bulan itu semakin merosot dan pakar perubatan mengesahkan satu-satunya jalan untuk menyelamatkan nyawa Idzyraf adalah melalui pemindahan hati.

Lantas, disebabkan hatinya paling sesuai untuk pemindahan, Amirah Izzati Hamidi, 28, tidak teragak-agak mendermakan 30 peratus organnya itu bagi menyelamatkan nyawa permata hatinya.

Kejayaan pembedahan pemindahan itu disifatkan antara pembedahan mencabar dan berisiko tinggi malah dalam bidang pediatrik, ia pembedahan pertama seumpamanya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pembedahan ini sekali gus menyaksikan pusat perubatan itu melakar sejarah dalam pembedahan membabitkan pemindahan hati kanak-kanak daripada penderma yang masih bernyawa.

Pakar Perunding Jabatan Surgeri PPUM Prof Madya Dr Yoong Boon Koon berkata, prosedur pembedahan rumit itu memerlukan penglihatan pakar bedah diperluaskan sebanyak 2.5 kali ganda dengan kanta khas manakala sambungan salur darah perlu dibuat menggunakan mikroskop.

Katanya, pembedahan besar yang berisiko tinggi

itu mengambil masa sehingga sembilan jam membabitkan lebih 20 pakar dari PPUM dan Hospital Renji, Shanghai berganding kepakaran.

“Sebelum pembedahan, profesional perubatan PPUM yang terdiri daripada pakar bedah pediatrik, bius, radiologi, intervensi pediatrik, pakar patologi dan jururawat terlebih dulu menghadiri latihan selama empat minggu di hospital itu.

“Kami bekerjasama dengan hospital berkenaan memandangkan kepakaran yang ada di sana dalam pemindahan hati disifatkan antara terbaik bahkan ketika pembedahan berlangsung di PPUM, pasukan dari Hospital Renji hadir bagi memantau sendiri pembedahan berkenaan,” katanya yang turut mengetuai pasukan pembedahan bersejarah itu.


IDZYRAF menghidap penyakit hati.

Menurutnya, dalam prosedur itu, hanya dua hingga tiga segmen hati penderma diambil untuk dipindahkan kerana, bayi tersebut masih kecil dan jumlah itu sudah mencukupi buatnya.

Katanya, semua pakar yang terbabit dalam pembedahan berkenaan tersenyum gembira melihat keadaan Idzyraf kini semakin pulih dan dibenarkan keluar wad dua minggu lalu.

“Selepas pembedahan ada sedikit penolakan daripada tubuh bayi ini tapi kepantasan tindakan pakar patologi memantau keadaan dan mengenal pasti masalah membolehkan perkara ini berjaya diselesaikan.

“Bagi pemindahan hati, kami jangkakan kadar survival (kelangsungan hidup) pesakit dalam tempoh lima tahun adalah sebanyak 90 peratus,” katanya.

Menurut Dr Yoong, sebelum pemindahan organ dapat dilakukan, pemeriksaan menyeluruh keadaan kesihatan penderma akan dilakukan secara terperinci termasuk memeriksa sama ada terdapat kandungan lemak hati.


PROF Madya Dr Yoong Boon Koon. FOTOP: Mahzir Mat Isa

AMIRAH Izzati (kanan) bersama Mohd Idzznan.

Selain itu katanya, hati manusia hanya 30 peratus sudah cukup untuk berfungsi, justeru pemindahan organ berkenaan tidak akan menjejaskan penderma malah hati yang tinggal juga akan membesar semula walaupun tidak akan kembali ke saiz asal.

Kejayaan pembedahan itu di pusat perubatan itu juga katanya antara penunjuk aras bagi membolehkan lebih ramai pesakit dapat menjalani pemindahan hati dengan kos yang lebih rendah berbanding di luar negara yang menelan kos sekurang-kurangnya RM300,000.

Tambahnya, kini terdapat beberapa kes sama yang sedang dirujuk ke pihaknya dan pada Oktober ini, berkemungkinan dua lagi pembedahan pemindahan hati akan dilaksanakan di pusat perubatan itu.

Dr Yoong turut mengakui, cabaran utama yang dihadapi penghidap biliary atresia adalah untuk mendapatkan penderma selain kos pembedahan yang tinggi.

“Sebab itu, saya menyeru agar lebih ramai tampil mendaftar sebagai penderma organ kerana kadar penderma selepas kematian di negara ini amat rendah.

“Kesedaran tentang pendermaan organ ini masih lagi lemah sedangkan banyak nyawa yang boleh diselamatkan,” katanya.


PROSEDUR rumit dan berisiko tinggi ditangani kepakaran tempatan.

PEMBEDAHAN mengambil masa sembilan jam membuahkan kejayaan.

FAKTA:

1. Pembedahan Kasai adalah pembedahan bagi membuang duktus hempedu yang rosak dan penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

2. Manusia hanya perlu memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus hati untuk berfungsi.

3. Pemindahan hati kanak-kanak daripada penderma yang masih bernyawa pertama di PPUM.

4. Kadar survival pesakit yang menjalani pemindahan hati dalam tempoh lima tahun sebanyak 90 peratus.

5. Cabaran utama penghidap biliary atresia ialah mendapatkan penderma selain kos pembedahan tinggi.

6. Baki hati penderma boleh membesar semula namun bukan kembali pada saiz asal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:25 AM
IBU derma sebahagian hati kepada anak hidap biliary atresia.