SINGKAP realiti sebenar pesakit mental bergelut dengan diri sendiri demi kelangsungan hidup. FOTO: Salhani Ibrahim
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

GILA, sewel atau tidak waras. Inilah gelaran yang sering dilemparkan kepada individu yang mengalami gangguan mental bahkan stigma masyarakat terhadap penyakit ini pesakit tampil mendapatkan rawatan.

Luarannya pesakit kelihatan normal dan sukar meneka penyakit yang membelenggu mereka bahkan rata-rata lebih gemar menyembunyikan diri dan berselindung di sebalik wajah ceria.

Gangguan mental boleh berpunca daripada pelbagai sebab antaranya tekanan di tempat kerja, bebanan kewangan dan masalah kekeluargaan seperti isu perkahwinan.

Gangguan mental ini menyebabkan pesakit mudah berhadapan kemurungan sehingga mendorong mereka membunuh diri. Antara penyakit mental umum adalah kemurungan, keresahan, gangguan bipolar dan skizofrenia.

Siti Izwana Shaikh Ismail, 33, adalah antara pesakit gangguan bipolar yang pernah melalui episod hitam. Sebelum mengetahui masalah yang membelenggunya, beberapa kali dia cuba membunuh diri kerana tekanan perasaan.

Kesempatan menemui wanita ini menyingkap realiti sebenar pesakit mental yang bergelut dengan diri sendiri demi kelangsungan hidup dan bagaimana dia bangkit berdepan stigma masyarakat.

Katanya, dia hanya menyedari simptom gangguan bipolar yang dihadapi pada 2017 selepas mengalami kesukaran tidur bahkan pernah tidak tidur melebihi tiga hari, emosi bercelaru, ada masanya berasa terlalu sedih dan gembira secara tiba-tiba.

“Macam-macam yang saya alami, kemuncaknya adalah timbulnya keinginan meluap-luap untuk terjun dari bangunan.


AKTIVITI berkumpulan sebagai terapi penyakit mental.

“Ketika itu, barulah saya sedar ada yang tidak kena dengan diri ini, tambahan pula saya mengalami dua kali episod kegagalan perkahwinan sebelum itu.

“Saya ke klinik selama dua hingga tiga bulan hanya untuk menangis, tidak tahu kenapa saya jadi begini.

“Mujurlah sahabat baik yang juga seorang doktor menyarankan saya berjumpa pakar psikiatri apabila saya beritahu ingin terjun bangunan. Beberapa ujian mengesahkan saya mengalami gangguan bipolar,” katanya.

Keadaannya itu juga memaksa Siti Izwana berhenti kerja dan mengharungi keperitan seorang diri. Lapan bulan wanita ini hidup gelandangan kerana kesempitan wang, tidur di dalam kereta dan keluar masuk wad.

Dia juga selalu memandu tanpa tujuan dan tahu-tahu sudah berada di negeri lain namun nasibnya baik kerana mempunyai ramai rakan di serata negeri yang ditemui amat memahami dan membantu.

Siti Izwana tidak mengadu nasib kepada keluarga kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa dan keluarga di kampung selain suami yang bekerja di rantauan.

‘POSITIVE THINKER’

Kini dia aktif mengendali kumpulan sokongan, Positive Thinker dengan 82 ahli yang mengalami pelbagai jenis penyakit berkaitan mental dari serata Malaysia.

Katanya, kumpulan sokongan itu akan membantu pesakit memahami penyakit dan faham apa yang sudah, sedang atau akan berlaku pada diri mereka.

“Untuk pesakit baru, terlalu banyak kecelaruan di minda mereka mengenai penyakit yang dihadapi. Ada kala pesakit lebih selesa meluahkan masalah kepada sahabat senasib. Ini isu kepercayaan. Walaupun tampak mudah tetapi ia amat besar.

“Saya sering mengajak ahli kumpulan melakukan aktiviti, keluar dari bilik dan bergaul dengan orang lain. Paling mudah, keluar makan sebab ramai yang lebih rela berkurung dan menangis dalam bilik daripada makan. Jadi perkara pertama untuk menjaga diri adalah dengan makan dan minum.

“Apabila berkumpul, walaupun hanya makan ais krim tapi kami dapat meluahkan perasaan dan berbincang cara untuk menjadi lebih sihat. Bincang cara mengawal perasaan, cara mengetahui diri sedang ‘didorong’ dan kaedah untuk kawal keresahan,” katanya.

Melalui perbincangan itu sama ada secara berdepan atau dalam kumpulan WhatsApp, ramai dapat maklumat lebih tepat, terutama cara untuk mengawal diri sendiri.

Akuinya, ada ahli yang sebelum ini gemar mencederakan diri semakin kurang berbuat demikian selepas menyertai kumpulan sokongan dan itu adalah pencapaian yang amat baik buat mereka.

BUKAN DIBUAT-BUAT

Katanya, kesedaran masyarakat masih rendah dan ramai belum faham mengenai penyakit mental namun dia bersyukur kerana isu ini semakin mendapat perhatian.

“Ramai yang kata kami sengaja buat-buat, mahukan perhatian dan tidak cukup iman. Penyakit mental tiada kaitan dengan agama. Tolong buang stigma, pesakit mental tidak cukup beriman.

“Hanya kerana penyakit ini tidak nampak dengan mata kasar, itu tidak bermakna kami tidak sakit. Sakit mental bukan macam selesema atau demam yang boleh dilihat,” katanya.

Siti Izwana turut mengingatkan agar pesakit berhenti mendiagnosis sendiri penyakit mental melalui ujian saringan kemurungan, keresahan dan tekanan (DASS) menerusi Internet dan jika ada masalah atau simptom segera berjumpa doktor. Biar pakar perubatan yang mengesahkan keadaan anda.

Dia juga nekad untuk terus membawa mesej kesedaran mengenai penyakit mental kerana yang paling utama bukan pesakit tapi kesedaran orang di sekeliling mereka.

“Secara fizikal, kami nampak normal. Ramai antara kami golongan profesional, memiliki kerjaya membanggakan dan ada perniagaan tapi kami ‘sakit’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:20 AM