12.7 peratus daripada 850 responden didapati positif mengalami kemurungan selepas bersalin.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

PASANGAN mana yang tidak gembira saat mengetahui bakal menjadi ibu bapa malah perasaan bahagia itu terus mekar sehinggalah permata hati menjengah dunia. Namun, tempoh selepas bersalin juga mempunyai sisi hitamnya yang mungkin tidak pernah dijangkakan iaitu kemurungan.

Maka tidak hairan apabila kita dikejutkan dengan berita wanita yang dipercayai mengelar bayinya sehingga mati selepas mendengar ‘bisikan’ untuk berbuat demikian.

Begitu juga pelbagai kes meroyan membabitkan wanita baru bersalin hingga ada yang membunuh diri kerana dikatakan tidak berjaya menyusukan anaknya.

Mungkin tidak ramai tahu, segelintir ibu baru juga boleh berdepan keletihan yang membuatkan mereka tertekan, sedih dan lebih teruk, mengalami kemurungan.

Pendek kata, rata-rata wanita ini mengalami perubahan emosi yang teruk selepas mendapat anak. Sesaat gembira dan sesaat kemudian mereka mula menangis.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Malaysia 2016, 12.7 peratus daripada 850 responden didapati positif mengalami kemurungan selepas bersalin.

Masalah tekanan pasca-trauma (PTSD) selepas bersalin boleh berlaku kepada ibu jika mengalami beberapa keadaan seperti kelahiran sukar dengan kesakitan dan tempoh bersalin yang panjang.

Selain itu, pembedahan Cesarean tanpa dirancang, rawatan kecemasan dan pengalaman mengejut, tidak dijangka dan traumatik ketika melahirkan turut menjadi faktor penyumbang PTSD.

Kelahiran bayi adalah antara peristiwa terpenting buat pasangan dan secara semula jadi ibu akan mengalami pelbagai emosi dan reaksi semasa kehamilan dan selepas kelahiran anak.

Tetapi jika ia mula memberi impak yang besar terhadap cara hidup, anda mungkin mengalami masalah PTSD atau trauma kelahiran.

Kesan pengalaman ini sering kali dipandang remeh kerana sesetengah orang beranggapan bayi itu adalah ganjaran yang setimpal untuk trauma itu dan sebagai ibu baru, anda juga dianggap akan melupakannya dalam kegembiraan menjadi ibu.

Bagaimanapun, kelahiran traumatik dan PTSD boleh menjejaskan hubungan wanita itu dengan bayi dan pasangannya.

Sesetengah ibu mungkin sedikit kecewa kerana proses melahirkan bukan seperti pengalaman yang diharapkan atau berasa marah kepada kakitangan perubatan kerana merasakan kelahiran tidak ditangani dengan baik.

Jika seorang ibu mula mengalami PTSD, dia mungkin mengimbau semula kenangan yang tidak diingini mengenai kelahiran traumatik yang dialaminya. Ini mungkin juga menyebabkan ibu itu berasa cemas untuk mempunyai bayi lagi.


DR Rafidah

Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kanan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), Dr Rafidah Bahari berkata, 15 hingga 20 peratus wanita di Barat dilaporkan mengalami kelahiran traumatik dan PTSD selepas kelahiran berlaku kira-kira kepada tiga peratus wanita di seluruh dunia.

Namun katanya, 50 peratus wanita tanpa kelahiran traumatik dilaporkan mengalami sindrom keresahan dan tingkah laku hiperaktif.

PTSD selepas kelahiran boleh memberi impak yang serius kepada ibu dan bayi. Kesan PTSD pada penyusuan susu ibu tidaklah mudah, ia boleh menggalakkan dan juga boleh menghalang penyusuan susu ibu.

“Faktor mempengaruhi perkembangan PTSD boleh berlaku sejak saat kehamilan lagi dengan beberapa keadaan seperti kemurungan ketika hamil, ketakutan melahirkan, komplikasi kehamilan, sejarah PTSD silam atau masalah psikologi lalu.

“Impak PTSD terhadap ibu pula antaranya kesukaran dalam hubungan dengan bayi, isu dalam penyusuan malah lebih buruk mengakibatkan masalah rumah tangga membabitkan hubungan antara suami serta masalah seksual.

“Impak terhadap penyusuan pula, dalam kajian berpanjangan terhadap PTSD selepas kelahiran menemui kaitan antara kesukaran untuk ibu menyusukan dan meneruskan penyusuan,” katanya pada Persidangan Penyusuan Serantau Kedua di Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurutnya, mencegah PTSD sangat penting agar ibu baru mencapai kesihatan fizikal dan mental menyeluruh untuk membolehkan mereka menjaga bayi.


KELAHIRAN traumatik penyebab banyak ibu mengalami PTSD.

Penyelidikan sentiasa mencari dan meneroka strategi pencegahan antaranya menyediakan sokongan ekstra kepada ibu yang mengalami kelahiran traumatik, pemeriksaan berkala ibu baru untuk PTSD dan melatih kakitangan dalam unit materniti untuk penyediaan penjagaan empati.

Terdapat beberapa intervensi psikologi yang sedia ada untuk rawatan PTSD yang secara kolektifnya dikenali sebagai ‘intervensi psikologi yang fokus pada trauma’ manakala rawatan dengan ubat-ubatan pula bagi yang mengalami gangguan kemurungan ‘co-morbid’ (gangguan pelbagai).

INFO

Faktor pengaruhi PTSD

- Kemurungan ketika hamil

- Ketakutan untuk bersalin

- Komplikasi kehamilan

- Sejarah PTSD silam

- Masalah psikologi lain

Kesan PTSD

- Jejaskan hubungan antara ibu dan bayi

- Hubungan dengan suami turut terkesan

- Sukar untuk menyusukan bayi

- Sukar untuk meneruskan penyusuan bayi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:10 AM