ANAK perempuan yang suka bersolek biasanya mengikut apa yang dilakukan ibunya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


“Mana pergi bedak muka aku, eh gincu pun hilang, pemerah pipi pun tiada, celak ada tetapi patah, macam mana meja solek aku boleh kosong, ini mesti kerja si Hana ni!

Merah padam muka si ibu menahan marah apabila mendapati alat solek yang tersusun rapi hilang begitu saja. Deretan minyak wangi juga hilang secara tiba-tiba.

Suspek utama atas segala kehilangan itu tidak lain tidak bukan pastinya anak perempuan sulung yang sudah beberapa kali dikesan mengambil alat solek itu secara senyap-senyap.

Sudah dimarah, sudah juga ditegur dan dinasihat namun Hana tetap melakukannya kerana mahu bersolek seperti ibu.

Selain suka bersolek, si kecil yang mulanya suka meniru tingkah laku ibu sejak berusia tiga tahun itu juga suka memilih pakaian sendiri dan berimaginasi kononnya dia sedang menghadiri pertunjukan fesyen.

Berkongsi pandangan mengenai kelakuan itu, juruterapi kanak-kanak, Nurliyana Raya berkata, kelakuan kanak-kanak yang mengikut apa saja dilakukan ibu atau bapanya dikategorikan sebagai kemahiran meniru.

“Kemahiran itu amat penting untuk perkembangan bahasa, permainan dan kemahiran sosial kanak-kanak, cuma sekiranya anak anda mengambil barangan solek tanpa kebenaran disebabkan mahu bersolek maka tegurlah dia.

“Ajar dia cara meminta izin dan tidak salah sekiranya anda membelikannya alat solek sendiri terutama yang sesuai dan selamat untuk kegunaan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, namun apa yang dilakukan si kecil itu hakikatnya sangat baik kerana lumrah manusia belajar dengan cara menonton atau meniru tindakan orang lain.

“Meniru adalah antara proses pembelajaran kanak-kanak. Mereka belajar untuk meniru pergerakan sebelum meniru bunyi melalui ucapan.

“Walaupun ia tidak berkaitan secara langsung dengan perkembangan bahasa, mengajar seseorang kanak-kanak untuk meniru pergerakan badan dan perbuatan adalah baik kerana ia merangsang kemahirannya,” katanya.

Katanya, seorang kanak-kanak biasanya bersedia untuk belajar meniru apabila mereka dapat menggerakkan tangan secara bebas.

“Memegang satu persatu alat solek, botol minyak wangi dan bersolek juga adalah antara kemahiran yang baik kepada kanak-kanak.

“Jika anda menyedari anak mula cenderung meniru apa saja perbuatan harian anda, segeralah bimbing ke arah yang baik. Terangkan kepadanya bersolek itu boleh tetapi bukan sepanjang masa. Paling utama sentiasa ingatkan supaya tidak lagi mengambil barang tanpa izin. Ulang dan ulang nasihat itu sehingga dia benar-benar faham serta tidak mengulanginya lagi,” katanya.

Nurliyana berkata, kelakuan itu biasanya berlaku kepada anak perempuan yang cenderung meniru kelakuan ibunya.

“Jika anda suka bersolek, anak anda akan cenderung untuk meniru tingkah laku itu. Jika anda jarang bersolek, maka anak anda juga tidak suka melakukannya namun tidak semua kanak-kanak begitu.

“Ini kerana berkemungkinan anak anda meniru perbuatan individu terdekat lain seperti kakak, ibu saudara atau penjaganya,” ujarnya.

MENIRU PERBAIKI FOKUS KANAK-KANAK

Menurut Nurliyana, jangan membantutkan kemahiran meniru anak dengan memarahi atau melarangnya.

“Galakkan anak untuk meniru tingkah laku kita namun perlu pastikan apa yang ditiru itu adalah baik. Jadi, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kerana ia akan diikuti anak,” katanya.

Katanya, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan tidak selalu bertutur dengan perkataan tidak elok di depan anak.

“Apa yang didengar dan dilihat akan masuk ke minda anak. Contohnya jika mereka sering dengar anda memaki hamun, dengan sendirinya mereka juga akan suka menggunakan perkataan yang kasar.

“Pastikan apa yang ditiru itu adalah perbuatan baik. Sekiranya anak anda sukar untuk fokus, boleh ajar dia meniru perbuatan atau percakapan anda,” ujarnya.

Menurutnya, semua perkara itu sangat baik dalam proses pembesarannya, sekali gus membantu dalam beberapa jenis kemahiran kanak-kanak.

Nurliyana turut berkongsi beberapa aktiviti untuk membantu si kecil anda meniru dalam menangani masalah sukar fokus:

Pukul pipi anda dan buat bunyi yang comel. Lakukan berulang kali di depannya dan ajar anak mengikutinya.

Membuat gerakan bulatan pada perut anda sambil sapu dan sebut ‘emmmm’

Gerakkan kedua tangan anda dan berkata tata.

Gerakkan kereta mainan dan katakan ‘vroom-vroom’

Gerakkan haiwan mainan di sepanjang meja sambil buat bunyi sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:00 AM