Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


SESEKALI terbit perasaan cemburu melihat wanita berpenampilan kemas, lengkap dengan sut, skarf leher dan sepatu bertumit sederhana melintas di depan. Gaya korporat memang punya aura tersendiri.

Mereka tampak kemas, bijak, elegan, berkeyakinan tinggi dan bersih. Begitupun, bukan semua wanita berpeluang tampil dengan imej korporat kerana terikat dengan etika pemakaian ditetapkan majikan.

Dalam dunia kewartawanan umpamanya, etika pemakaian lebih longgar berbanding mereka yang berkhidmat di bahagian atau syarikat korporat.

Namun, tidak bermakna keperluan untuk tampil dengan imej korporat boleh diabaikan. Semuanya bergantung kepada tugasan, keperluan, lokasi yang dituju dan siapa yang bakal ditemui pada hari berkenaan.

Keadaan mungkin serupa bagi segelintir individu yang bekerja di pejabat. Mereka tidak berdepan tekanan untuk tampil dengan imej korporat memandangkan majikan kini lebih mengutamakan fleksibiliti dalam gaya. Asalkan kemas, bersih, sopan dan sedap mata memandang, tiada guna memaksa pekerja bergaya berlebihan.

SISIR rambut dan bahagikan kepada dua bahagian iaitu depan dan belakang. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman. VIDEO: Saiful Iskandar Ismail

BAWA rambut sisi dan kemaskan bersama ikatan di bahagian bawah untuk membentuk gaya ekor kuda.

GAYA sanggul klasik untuk ke majlis makan malam atau jemputan istimewa.

Menyentuh bahagian tubuh yang perlu dirapikan setiap hari, Perunding Imej, Siti Norwanda Mohd Yusoff berkata, rambut antara yang perlu diberi perhatian khusus supaya selari dengan penampilan, busana serta keperluan majlis.

“Tidak kira ke pejabat atau menghadiri temu duga, rambut harus kemas, bersih dan konservatif. Elakkan getah rambut atau sebarang penggunaan aksesori rona terang. Selepas mengeringkan dan merapikan rambut, sempurnakan gaya dengan mengikat, menyepit atau bersanggul,” katanya.

Jelas Siti Norwanda, dandanan paling mudah adalah dengan mengikat gaya ekor kuda. Sekalipun ringkas, gaya ini sesuai untuk menonjolkan imej profesional dan korporat.

“Gaya kali ini berbeza dengan ikatan biasa kerana boleh membentuk dua imej berlainan dalam satu masa. Kita tahu kebanyakan wanita berkerjaya amat mementingkan masa. Mereka perlu bersiap cepat setiap hari.

“Jadi, untuk waktu pagi, sisir rambut, ikat kemas dan lepaskan. Jika ada mesyuarat atau majlis penting pada waktu petang, ubah sedikit imej supaya nampak segar dengan menggulungkan ikatan rambut membentuk sanggul ringkas.

“Caranya tidak sukar dan hanya memerlukan getah rambut dan tiga bobby pin. Jika perlu, tambahkan aksesori ringkas seperti penyepit rambut. Sekiranya anda perlu menghadiri majlis makan malam, sisipkan manik mutiara buat penaik seri wajah,” katanya.

IKAT ekor kuda walaupun ringkas sesuai untuk tonjol imej profesional.

TIP PENTING

1. Mengikat rambut menggunakan sepit rambut nipis seperti bobby pin lebih selamat kerana boleh mengelakkan risiko rambut diikat ketat, mudah tertarik, putus atau gugur.

2. Membahagikan rambut depan dengan melebihkan sisi kiri atau kanak (belah tepi) boleh membuatkan wajah tampak bujur dan seimbang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:00 AM
GAYA ini sesuai untuk menonjolkan imej profesional dan korporat.