NGAN
HM Digital
am@hmetro.com.my


DALAM usaha membantu lebih ramai individu memiliki kediaman sendiri, Gamuda Land menawarkan beberapa langkah inovatif bagi memberi pilihan kepada bakal pembeli.

Selepas melancarkan kempen pemilikan kediaman GL H.O.M.E Oktober lalu, pemaju perumahan berkenaan mengambil langkah bekerjasama dengan Maybank Islamic bagi menawarkan skim pembiayaan baharu yang lebih menarik.

Melalui langkah berkenaan, Gamuda Land akan menawarkan bakal pembeli skim pembiayaan HouzKEY yang dikelolakan Maybank Islamic.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng berkata, pihaknya percaya dengan inovasi berterusan dapat membantu penawaran produk yang lebih baik.

“GL H.O.M.E adalah langkah inovatif yang kami lakukan dalam meningkatkan jumlah pemilikan kediaman.

“Namun, dengan hanya satu kempen ini, ia mungkin sukar mencapai sasaran ditetapkan. Maka, kerjasama yang dijalin dengan Maybank Islamic dapat membantu kempen seumpama ini kekal relevan dalam pasaran.

“Kami berharap HouzKEY dapat memberi pilihan pembiayaan kepada bakal pembeli selain beberapa penyelesaian yang kami tawarkan melalui GL H.O.M.E,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

GL H.O.M.E atau ‘Gamuda Land Home Ownership Made Easy’ menawarkan penyelesaian bertepatan keperluan pelanggan dalam usaha memilih skim pembiayaan yang sesuai untuk memiliki kediaman yang diimpikan.

Melalui HouzKEY, bakal pembeli tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan atau membayar apa-apa jumlah sehingga projek kediaman itu siap sepenuhnya.

Bakal pembeli juga berpeluang memiliki kediaman berkenaan mengikut harga ketika ini dalam tempoh lima tahun dan mendapat 100 peratus margin pembiayaan apabila sudah bersedia membeli unit berkenaan.

Mereka hanya perlu membayar deposit keselamatan untuk tempoh tiga bulan dengan kadar bayaran yang rendah apabila berpindah masuk kelak.

Menurutnya, skim berkenaan dijangka menarik pembeli muda selain mereka yang mahu mendapatkan rumah pertama dan kedua.

“Ia memberi peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan aliran tunai lebih baik kerana bayaran bulanan yang rendah namun, masih boleh menikmati peningkatan nilai hartanah dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Ketika ini, projek Gamuda Land yang boleh menikmati skim ini adalah HighPark Suites di Petaling Jaya; Gamuda Gardens untuk kediaman GAIA Residences dan Joya; projek Gamuda Cove untuk Maya Bay Residences; projek twentyfive.7 untuk kediaman Amber Residence; dan kediaman The Woodland bagi projek Horizon Hill di Iskandar Puteri, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:15 AM