PENGURUSAN tertinggi CCCG, Core Precious Development, WCT Holdings Bhd dan TRX City Sdn Bhd pada majlis pelancaran projek Core Residence di Kuala Lumpur.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


CORE Residence, projek kediaman mewah yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX) berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi peneraju kehidupan global bagi golongan profesional serta pengamal kewangan yang akan tinggal dan bekerja di daerah kewangan dunia ini.

Malah, projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 0.66 hektar itu dijangka terjual sepenuhnya pada 2022 di mana hartanah kediaman mewah itu dilengkapi pelbagai fasiliti serba premium.

Antaranya, termasuk kolam infiniti, gimnasium, podium tujuh tingkat dengan taman utama di atas bumbung yang dilengkapi banyak kemudahan bertaraf dunia.

Selain itu, projek yang baharu dilancarkan itu turut merangkumi 700 kediaman dibangunkan Core Precious Development Sdn Bhd yang juga syarikat usaha sama antara China Communications dan Construction Group (CCCG) dan WCT Holdings Bhd.

Pengerusi dan Pengarah Urusan Core Precious Development, Zhang Bao berkata, harga jualan bagi kediaman itu bermula dari RM2,020 untuk setiap kaki persegi.

Beliau berkata, Core Residence@TRX adalah hartanah pegangan bebas mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion.

Menurutnya, projek itu juga menampilkan tiga blok kediaman servis yang berukuran 624 hingga 1,022 kaki persegi dengan ketinggian sehingga 50 tingkat.

“Lebih menarik, projek ini mendapat piawaian pensijilan bangunan hijau iaitu LED dan Indeks Bangunan Hijau (GBI) selain muncul sebagai projek cekap tenaga dan mampan di kawasan berkenaan.

“Core Residence@TRX terletak di tengah pusat bandar di persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak dan bakal penduduk di situ akan menikmati akses terbaik dengan perkhidmatan pengangkutan bersepadu dan kemudahan akses kepada pelbagai lebuh raya.

“Pembangunan Core Residence@TRX juga adalah pilihan tepat bagi memenuhi gaya hidup kelas atasan bagi golongan profesional dan ekspatriat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Hartanah Luar Negara CCCG, Sui Zhenhai yang juga Naib Presiden CCCG Real Estate Group serta Ketua Operasi TRX City Sdn Bhd, Tan Hwa Min.

Sebanyak 80 peratus daripada kepentingan dalam Core Precious dikuasai CCCG, manakala baki 20 peratus lagi dimiliki WCT.

Keseluruhan projek ini dijangka siap pada 2023 dan penyerahan pemilikan dijangka dibuat pada 2024.

Sementara itu, Sui berkata, pihaknya memilih untuk melabur di Malaysia kerana mempunyai landskap politik stabil yang seiring prospek ekonomi yang baik.

“Malaysia adalah negara dan destinasi penting sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Jalan (OBOR) oleh kerajaan China.

“Malah, negara ini juga adalah antara negara yang mempunyai cawangan CCCG yang paling banyak, sekali gus membuktikan Malaysia adalah pasaran penting yang strategik bagi CCCG dan Hartanah Luar Negara CCCG,” katanya.

SESI lawatan ke Galeri Jualan Core Residence oleh pengurusan tertinggi CCCG, Core Precious Development, WCT Holdings Bhd dan TRX City Sdn Bhd selepas majlis pelancaran projek berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 11:22 AM