AMIRUDIN (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Mohd Azizi dan Li Wei.
BERNAM Jaya yang memiliki keluasan 2,023 hektar bakal dibangunkan sebagai tarikan pelancongan Selangor pada masa depan.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


BERNAM Jaya di daerah Hulu Selangor dan berada di sempadan antara Selangor-Perak ketika ini dikelilingi kawasan kediaman, namun mungkin berubah wajah dalam tempoh tujuh tahun lagi.

Ini kerana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama dengan Eastern Ecotourism City Sdn Bhd (EEC) dijangka membangunkan sebuah taman tema berkelas antarabangsa di daerah ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Malah, ia juga bakal menjadi destinasi ekopelancongan selepas ia siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun.

Pembangunan keseluruhan tanah yang bermula dari Laman 2 hingga Laman 7 itu membabitkan anggaran kos bernilai RM4 bilion dan dijangka berlangsung dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Kerjasama itu turut membabitkan pembangunan cerun ski bertaraf Olimpik yang dijangka menjadi daya penarik kepada orang ramai berkunjung ke kawasan utara Selangor itu pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, projek pembangunan itu akan memberi nilai tambah kepada pembangunan hartanah dan mampu menarik lebih ramai pelancong ke Selangor sekali gus membantu kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 17 juta pelancong menjelang 2030.

“Kami berharap pembangunan Gerbang Utara Selangor ini bakal menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi di kawasan sekitar dan dapat mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor di pelbagai peringkat,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara PKNS dan EEC di Shah Alam, baru-baru ini.

[gn4id:19171126]

Perjanjian ditandatangani Mohd Azizi yang mewakili PKNS dan Datuk Dr Li Wei iaitu Presiden EEC sambil turut disaksikan Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKNS, Amirudin Shari.

Kerjasama strategik berskala besar itu akan menyaksikan PKNS dan EEC mewujudkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi membangunkan tanah seluas 1,372 hektar dengan pembangunan bercampur.

Beliau berkata, projek pembangunan itu bakal berteraskan ekopelancongan membabitkan komponen utama dengan konsep bandar bertema seperti Bandar Hospitaliti, Bandar Perubatan dan Bandar Perniagaan.

“Pembangunan keseluruhan tanah yang bermula dari Laman 2 hingga Laman 7 itu akan membabitkan anggaran kos bernilai RM4 bilion dan dijangka berlangsung dalam tempoh tujuh tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Li Wei berkata, projek pembangunan itu akan menjadi projek yang unik di Malaysia kerana ia bukan saja membabitkan pembangunan bercampur malah turut menampilkan taman tema dengan tarikan ‘dunia salji’.

“Kami yakin projek ini adalah pelaburan yang berpotensi untuk syarikat dan Bernam Jaya juga adalah satu lokasi yang baik untuk menarik kunjungan lebih ramai pelancong ke negeri Selangor,” katanya.

Bernam Jaya adalah kawasan perbandaran baharu yang dibangunkan oleh PKNS di tanah berkeluasan lebih 2,023 hektar di utara Selangor dan terletak bersebelahan Tanjung Malim, Perak serta dihubungkan melalui dua jalan utama iaitu Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Ipoh serta Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 11:07 AM