SUNWAY Resort Hotel & Spa di Petaling Jaya.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


BAGI menyuntik kemeriahan sempena jualan 11.11 yang menjadi trend global, Sunway Hotels & Resorts, bahagian hospitaliti Kumpulan Sunway menawarkan ‘11.11 Sunway-cation Sale’ yang menawarkan potongan harga sehingga 98 peratus.

Potongan harga berkenaan bagaimanapun tertakluk untuk penginapan pada malam yang pertama.

Acara jualan itu adalah sah untuk penginapan antara 12 November 2019 hingga 30 Jun 2020 dengan tempoh menginap minimum tiga hari dua malam bagi hotelnya di Malaysia, Kemboja dan Vietnam melalui tempahan terus di https://www.sunwayhotels.com bermula jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada 11 November 2019.

Sunway Hotels & Resorts dalam kenyataan berkata, ini adalah tahun kedua syarikat itu mengambil bahagian dalam jualan 11.11 dengan menawarkan kadar bilik yang tidak pernah dilihat sebelumnya.

“Dengan tempahan tinggi yang diterima pada 2018 di laman web kami, ia memberi peluang sekali lagi kepada pelancong untuk menikmati perkhidmatan dan fasiliti hotel kendalian Sunway yang mengambil bahagian pada acara jualan ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SUNWAY Putra Hotel di Kuala Lumpur.

Menurutnya, tempahan yang dilakukan melalui ‘11.11 Sunway-cation Sale’ membolehkan pelanggan untuk menikmati kadar bilik pada harga serendah RM10 atau bersamaan AS$2.30 bagi penginapan malam yang pertama di Sunway Hotels & Resorts di Malaysia, Kemboja dan Vietnam yang mengambil bahagian.

“Ia meliputi Sunway Resort Hotel & Spa, Sunway Pyramid Hotel, Sunway Clio Hotel di Sunway City Kuala Lumpur dan Sunway Putra Hotel serta Sunway Velocity Hotel di pusat bandar Kuala Lumpur.

“Selain itu, ia turut membabitkan Sunway Hotel Georgetown dan Sunway Hotel Seberang Jaya di Pulau Pinang, Sunway Hotel Phnom Penh dan Sunway Hotel Hanoi di Indochina,” katanya.

Katanya, tetamu boleh menikmati penjimatan dan ganjaran apabila mereka melakukan tempahan penginapan secara langsung di laman web yang disediakan termasuk bagi daftar keluar, urutan serta tawaran makan malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 10:50 AM