TAMAN permainan antara kemudahan yang disediakan.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


KEHIDUPAN selesa di pinggir bandar sering menjadi idaman warga kota yang ingin mendiami rumah yang jauh daripada kesesakan dan kesibukan bandar raya.

Menyedari trend yang kian meningkat itu, LBS Bina Group Berhad (LBS) melancarkan Melodi Perdana iaitu pembangunan pangsapuri pertama di perbandaran LBS Alam Perdana dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM562 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, sebuah bandar yang lestari perlu meliputi segenap aspek di dalam meningkatkan kehidupan komuniti.


KEMUDAHAN kolam renang antara yang ditawarkan.

“Berasaskan kepada falsafah ini, kami memperkenalkan Melodi Perdana iaitu fasa keempat bagi pembangunan perbandaran LBS Alam Perdana apabila ia direka dengan teliti bagi memenuhi keperluan kehidupan di pinggir bandar.

“Apa paling penting, pembangunan pangsapuri ini dilaksanakan berdasarkan teras utama kami iaitu mampu milik, memiliki hubungan rangkaian dan komuniti. Ia juga seiring hasrat kami untuk memajukan industri hartanah tempatan dan memenuhi permintaan hartanah pada harga berpatutan,” katanya pada majlis pelancaran Melodi Perdana di Kuala Selangor, semalam.

Melodi Perdana terdiri daripada empat blok pangsapuri dengan 1,520 unit apabila ia bakal ditawarkan pada harga bermula dari RM359,900 bagi unit yang berkeluasan 901 kaki persegi dan memiliki tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Unit baharu ini menyasarkan golongan pemilik rumah pertama, golongan profesional dan individu yang mengimpikan kediaman di persekitaran serba lengkap dan disokong dengan rangkaian kemudahan.

Beliau berkata, Melodi Perdana menawarkan pelbagai prasarana serba lengkap bagi menggalakkan suasana mesra komuniti yang berlandaskan gaya hidup cergas.


MEWUJUDKAN suasana harmoni dan persekitaran yang tenteram.

“Pembangunan pangsapuri ini juga turut menitikberatkan aspek keselamatan melalui pelaksanaan konsep kediaman berpagar dan berpengawal bagi mewujudkan suasana harmoni dan persekitaran yang tenteram dalam kalangan penduduk,” katanya.

Melodi Perdana terletak di lokasi pinggir bandar yang sedang pesat membangun seperti Puncak Alam dan Sungai Buloh serta memiliki rangkaian jalan raya dengan akses ke Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Latar, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara - Shah Alam (DASH) yang dijangka siap pada 2020.

Lim berkata, perbandaran LBS Alam Perdana terus menjadi tumpuan utama sejak kejayaan pelancaran sulungnya pada November 2017 apabila hampir semua unit bagi fasa pertama iaitu Simfoni Perdana dan fasa kedua, Irama Perdana telah habis dijual dalam tempoh 24 bulan selepas dilancarkan.

“Berikutan sambutan hangat ini, kami melancarkan fasa ketiga iaitu Rentak Perdana pada tahun lalu apabila ia juga mendapat sambutan hangat dengan lebih daripada 80 peratus unit dijual.

“Oleh itu, kami yakin dan percaya Melodi Perdana juga akan mendapat sambutan dan menjadi salah satu daya tarikan di perbandaran ini,” katanya.

LBS Alam Perdana adalah perbandaran yang memiliki keluasan 190.14 hektar dan terletak di Bandar Puncak Alam, Selangor serta terdiri daripada pembangunan kediaman bertanah dan bertingkat, komersial dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia.

Setakat ini, tiga fasa projek pembangunan dilancarkan bagi perbandaran itu membabitkan Simfoni Perdana yang menawarkan 980 unit rumah bandar dua tingkat, Irama Perdana (673 unit rumah teres dua tingkat) dan Rentak Perdana (856 unit rumah teres dua tingkat).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 7:59 AM