Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


MEMILIKI kediaman sendiri adalah impian setiap individu apatah lagi selepas mendirikan rumah tangga.

Namun, tidak semua mampu mencapai apa yang diimpikan dalam tempoh singkat dan pelbagai usaha perlu dilakukan untuk merealisasikan impian berkenaan.

Nadia Fitri Mohamad Havez, 32, giat mencari kediaman impian terutama selepas berkahwin pada 2012.

Ini kerana dia dan suami memilih untuk berdikari dan tinggal di rumah sendiri serta enggan menyewa.

Impian mereka memiliki rumah setingkat hampir menemui jalan buntu kerana kebanyakan rumah berharga lebih RM250,000.

“Jika dikira secara kasar, pinjaman perumahan tidak akan lulus memandangkan jumlah gaji kami suami isteri tidak besar.

“Harga maksimum rumah yang kami mampu miliki hanyalah sekitar RM180,000.

“Kami akan tinggalkan nombor telefon di setiap ruang pameran yang kami lawati di tapak ekspo. Ia dilakukan dengan harapan akan tiba rezeki kami suatu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, benar bagai dikata, pada Julai 2013 ketika masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak pertama, dia menerima e-mel daripada syarikat pemaju perumahan.

Nadia berkata, e-mel terbabit menyatakan tawaran untuk membeli rumah setingkat di kawasan Shah Alam dan dikehendaki datang ke majlis pelancaran perumahan itu.


NADIA di hadapan rumah yang didiami sejak tiga tahun lalu.

Katanya, seawal jam 7 pagi dia dan suami sudah menanti di hadapan Pasar Raya Besar Giant, Seksyen 13, Shah Alam.

“Sudah ramai orang menunggu di situ dan kami tidak dimaklumkan sebarang prosedur dan hanya menunggu pasar raya itu dibuka.

“Namun, kami sedikit terkejut kerana melihat ramai yang memegang nombor giliran di tangan sedangkan kami tidak dimaklumkan mengenai pengambilan sebarang nombor.

“Selepas bertanya penganjur, mereka jelaskan nombor berkenaan akan dipanggil satu persatu untuk saringan kelayakan kelulusan pinjaman membeli rumah.

“Bilangan rumah sangat terhad menyebabkan nombor giliran yang dikeluarkan juga terhad,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa berasak untuk mendapatkan nombor giliran dan seingatnya nombor yang diperoleh adalah antara yang terakhir.

“Beberapa orang selepas kami tidak dapat sebarang nombor dan terpaksa pulang dengan hampa.

“Kami hanya berdoa, moga ada rezeki kami untuk memiliki rumah sendiri. Kami terus sabar menanti nombor kami dipanggil.

“Anak kecil kami sudah mula tidak selesa. Baru berusia dua bulan, sudah mengikut ibu dan ayah keluar mencari rumah dan menunggu lama di pasar raya,” katanya.

Sekitar jam 1 tengah hari, dia sudah mula tidak senang duduk dan suami pula sudah mengajak pulang kerana pada pendapatnya, harapan mereka amat tipis kerana bilangan rumah yang tinggal juga sudah kurang 10 unit.

“Kira-kira jam 1.20 tengah hari, nombor kami dipanggil. Selepas dikira jumlah gaji dan segala komitmen, alhamdulillah kami dapat melepasi saringan pertama untuk kelayakan membeli rumah.

“Serentak itu kaunter pendaftaran permohonan pembelian serta-merta ditutup kerana kami adalah bakal pemilik rumah terakhir yang layak memanjangkan permohonan.

“Oleh sebab itu, kami tiada pilihan lain. Tidak dapat memilih lorong atau unit, hanya menerima saja satu unit rumah yang tinggal,” katanya.

Katanya, rumah teres setingkat itu dibeli pada harga RM285,000 dengan bayaran bulanan RM1,300.

“Sudah lebih tiga tahun kami mendiami rumah ini yang kini diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata,” katanya.


BAHAGIAN dalam rumah teres setingkat milik Nadia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 7:03 AM