Kesimbangan antara pemilikan asing dengan rakyat tempatan menerusi penurunan nilai ambang bagi kondominium, pangsapuri.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


MASALAH rumah siap dibina tak terjual khususnya di bandar utama di seluruh negara menyebabkan sektor hartanah terus suram dan tidak menunjukkan sebarang petanda untuk kembali pulih.

Berdasarkan Laporan pasaran harta tanah bagi separuh pertama 2019 (H1 2019) dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan (JPPH) mendedahkan 32,810 unit kediaman siap dibina tidak terjual bagi tempoh masa itu dengan nilai RM19.76 bilion.

Malah, pada suku kedua saja, kerajaan turut mendapati lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion.

Situasi yang membimbangkan itu memberikan gambaran jelas sektor hartanah terus lembap dan perkara terbabit perlu ditangani segera bersama langkah yang proaktif oleh pihak berkaitan.

Kerajaan menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengambil langkah proaktif mengumumkan beberapa insiatif untuk menangani isu perumahan khususnya lambakan rumah siap tidak terjual.

Antaranya adalah dengan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada 2020 untuk pemilikan asing.

Meskipun usaha berkenaan dilihat mendapat maklum balas yang kurang popular dalam kalangan rakyat, peserta industri tempatan bagaimanapun mempunyai pendapat yang berbeza.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, langkah bagi mengurangkan ambang pemilikan asing itu dilihat usaha sementara bagi menangani isu lebihan rumah tidak terjual di negara ini.

Beliau berkata, inisiatif itu tertumpu kepada kumpulan sasaran tertentu sebagai usaha mengurangkan lambakan rumah yang sangat banyak dalam pasaran hartanah ketika ini.

“Secara umumnya, perkara utama dalam pasaran hartanah perlu dipacu oleh permintaan tempatan, namun dalam pasaran terbuka, wujud keperluan mencari kesimbangan antara pemilikan asing.

“Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, ia terlalu tertumpu kepada sesuatu kumpulan dan hanya untuk hartanah jenis pangsapuri dan kondominium,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, untuk melaksanakannya, satu mekanisme bersepadu diperlukan kerana ia bakal mengundang padah seperti merangsang harga rumah, permintaan dan kadar pengambilan yang naik mendadak.


CONTOH rumah berharga RM600,000 dan ke atas.

“Sekiranya tiada langkah berkesan dalam mengawal perkara ini, peserta industri mungkin mengambil peluang ini untuk meraih manfaat sendiri seperti meningkatkan harga hartanah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai nilai ambang berkenaan, Sheldon berkata, ia usaha di peringkat Kerajaan Persekutuan, namun ia juga perlu diperhalusi kerana kerajaan negeri mempunyai nilai ambang tersendiri untuk pemilikan asing.

Sementara itu, Institut Ejen-Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) turut bersetuju pengurangan nilai ambang bagi pemilikan asing itu mampu membantu menyelesaikan masalah lambakan rumah.

“Berdasarkan laporan separuh pertama Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), hartanah bernilai RM600,000 ke atas merangkumi 30.2 peratus manakala rumah bernilai RM1 juta berada pada tangga ketiga daripada unit tidak terjual.

“Kami melihat usaha kerajaan ini sebagai kaedah strategik sebagai menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini yang mempunyai kesan pengganda ekonomi.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan negeri akan melaksanakan nilai ambang ini dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikannya,” kata satu kenyataan

MIEA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 11:02 AM