RUANG pejabat dengan sewaan serendah RM60 sebulan.
HM Digital

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) menjalin kerjasama dengan empat agensi berkaitan usahawan untuk menawarkan ruang pejabat dengan sewaan serendah RM60 sebulan melalui VIO by PKNS.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Mahfizul Rusydin berkata, kerjasama yang terjalin

itu menawarkan pakej berbaloi kepada usahawan menerusi tambahan satu lagi pakej sewaan baharu iaitu Business Address.

“Pakej yang ditawarkan ini semestinya menarik kerana bukan saja kadar sewaan dengan harga yang rendah bahkan memberikan kemudahan yang inklusif kepada usahawan untuk mempunyai alamat pejabat sendiri, bilik mesyuarat, pengurusan surat menyurat, kawalan keselamatan pejabat selama 24 jam dan kemudahan wifi tanpa had.

“Tawaran ini hanya berlangsung selama enam bulan bermula 1 Oktober 2019 sehingga 31 Mac 2020 saja.

“Penyertaannya pula hanya terbuka kepada usahawan yang berdaftar di bawah kendalian empat agensi sama ada Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agro Bank atau SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan berstatus bumiputera,” katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sehingga kini, usahawan yang terbabit dengan pakej ini seramai 25 orang.

Antara perniagaan yang dijalankan adalah servis rundingan perniagaan, produk makanan dan pakaian.

Mahfizul berkata, pihaknya berharap dengan adanya kemudahan pakej seperti yang ditawarkan ini sedikit sebanyak dapat membantu usahawan mempunyai alamat perniagaan yang formal.

Katanya, ia diharap dapat mengurangkan kos perbelanjaan permulaan perniagaan serta sekaligus meningkatkan kemampuan usahawan menceburi bidang perniagaan.

VIO by PKNS terletak di PKNS BizPoint, Shah Alam dan mula beroperasi sejak 2010.

Sehingga kini 518 syarikat menyertai pakej ini yang menawarkan tiga pakej sewaan pejabat iaitu pejabat fizikal, pejabat maya dan alamat korporat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 8:36 AM