KL Metropolis membabitkan pembinaan kediaman, hotel, kedai, pejabat dan tarikan hiburan.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


Naza TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), sayap pembangunan hartanah bagi Kumpulan Naza sudah mengenal pasti beberapa rakan tempatan dan antarabangsa bagi membangunkan projek pembangunan bersepadunya iaitu KL Metropolis.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, syarikat juga dalam proses perbincangan dengan rakan berpotensi untuk membangunkan komponen lain bagi projek itu yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM20 bilion.

“Kami mengadakan perbincangan dengan beberapa rakan pada masa ini dan terdapat beberapa rakan usaha sama lain yang membangunkan KL Metropolis untuk komponen berbeza.

“Terdapat juga pelan membina sebuah pusat beli-belah dan membawa satu lagi hotel empat bintang yang akan diumumkan tidak lama lagi. Komponen lain pula adalah seperti komersial, runcit dan suite perubatan,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Naza TTDI dan The Ascott Limited (Ascott) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KL Metropolis adalah projek pembangunan bersepadu yang membabitkan pembinaan kediaman, hotel, kedai, pejabat dan tarikan hiburan di kawasan seluas 30.55 hektar berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Ia dijangka menjadi destinasi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) paling komprehensif serta membantu dalam mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan perniagaan terpilih di rantau ini.

Komponen komersial pertama dibina di KL Metropolis adalah Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang kini menjadi pusat pameran terbesar di Malaysia dengan kapasiti menghimpunkan 40,000 pengunjung setiap hari.

Sementara itu, Naza TTDI memeterai kerjasama strategik dengan Ascott bagi mengukuhkan kedudukan KL Metropolis sebagai kawasan kejiranan terbaik di Kuala Lumpur.

Melalui kerjasama itu, Naza TTDI bakal membangunkan Somerset KL Metropolis, residen berjenama pertama di KL Metropolis dengan Ascott menguruskan operasi bagi kediaman itu apabila ia siap sepenuhnya menjelang 2022.

SM Faliq berkata, pihaknya percaya kerjasama itu memberi nilai tambah kepada pemegang berkepentingan bagi kedua-dua pihak di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kami memilih untuk bekerjasama dengan pengendali dan pemilik kediaman servis terkemuka di dunia ini kerana kekuatan jenama dan perkhidmatan mereka di peringkat global,” katanya.

Somerset KL Metropolis adalah apartmen servis premium yang terdiri daripada 262 unit dan ia sebahagian daripada pembangunan bersepadu MET 1 bagi KL Metropolis dan menawarkan tiga jenis rekaan dengan keluasan antara 549, 847 dan 968 kaki persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 8:17 AM