Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilancarkan semula oleh kerajaan bukan saja memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, tetapi dalam masa sama melonjakkan nilai hartanah di kawasan berkenaan.

Antara kawasan yang turut merasai impak projek berskala besar itu adalah Mentakab yang mana satu stesen akan ditempatkan di kawasan berkenaan seterusnya memberi nilai tambah kepada penduduk di kawasan itu.

Menyedari potensi kawasan berkenaan, Prosper Sunshine Sdn Bhd membangunkan kawasan berkeluasan 20.2 hektar bagi menjalankan projek kediaman moden yang diberi nama Lestarry Heights.

Pengarah Projek Lestarry Heights, Lee Chuen Haur berkata, pihaknya menawarkan kediaman berpagar dan berpengawal yang pertama seumpamanya di Mentakab.

Katanya, Lestarry Heights adalah pilihan yang tepat bagi mereka yang mahukan kediaman yang mempunyai ruang dalaman yang selesa dan dilengkapi pelbagai kemudahan moden.

“Lestarry Heights mempunyai perkhidmatan pengawal keselamatan 24 jam bagi menjamin keselamatan penghuni di samping pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang bola keranjang dan badminton, dewan serbaguna serta taman rekreasi.

“Kami menawarkan tiga jenis rumah iaitu teres dua tingkat, berkembar dua tingkat dan teres mewah dua setengah tingkat yang menampilkan reka bentuk moden dan inovatif yang pastinya dapat memenuhi citarasa dan gaya hidup penghuninya,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan rumah di Mentakab berkonsepkan tradisional, baik dari segi reka bentuk dan penggunaan bahan binaan, justeru pihaknya mahu mencipta kelainan dengan menampilkan reka bentuk yang lebih moden dan elit.


LOKASI Lestarry Heights sangat ideal.

Katanya, Lestarry Heights juga adalah projek yang turut mengambil kira aspek kelestarian alam dengan mengekalkan unsur hijau di sekeliling kawasan kediaman.

Lee berkata, sebaik saja ECRL mula beroperasi, Mentakab dijangka menjadi pusat bagi bandar sekitarnya termasuk Bera, Jerantut, Bentong dan Karak, sekali gus membuatkan potensi pembangunan di kawasan itu tidak terbatas.

“Projek Lestarry Heights ini berada pada landasan yang tepat berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan diterima daripada orang ramai bagi rumah teres dua tingkat yang sudah dilancarkan.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan trend pembangunan perumahan yang semakin meningkat di Mentakab,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah melancarkan fasa kedua projek rumah berkembar dua tingkat dan mendapat maklum balas yang positif dari Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wen yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidifitri anjuran Prosper Sunshine Sdn Bhd (anak syarikat MZEC) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) pada 18 Jun lalu.

“Kami berbesar hati apabila mereka memberikan komen positif terhadap reka bentuk kediaman moden ini dan menghargai usaha Lestarry Heights untuk menyediakan kemudahan yang lengkap dan praktikal.

“Malah, mereka juga percaya Lestarry Heights dapat memberi sumbangan positif dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup penduduk Mentakab di samping mempromosikan pembangunan ekonomi,” katanya.

Lokasi Lestarry Heights ini dikira sangat ideal kerana ia terletak di laluan antara Kuantan ke Kuala Lumpur, berdekatan dengan pusat beli-belah Mentakab Starmall malah perjalanan ke bandar Mentakab mengambil masa 10 minit manakala ke Temerloh lebih kurang 15 minit saja.

Apa yang dapat disimpulkan adalah projek ini sesuai bagi mereka yang mahu merasai suasana kediaman yang tenang, harmoni dan dikelilingi kehijauan.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai Lestarry Heights, boleh menghubungi talian 012-3800641 atau 012-3800216 dan kunjungi pejabat jualan Lestarry Heights.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:31 AM