IBU Eliana Azyze meninjau ruang tamu bagi rumah contoh unit kondominiumnya ketika ia mula membeli rumah pada 2007.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


TIGA kali permohonan pembiayaan bank ditolak mungkin melemahkan semangat sesetengah individu untuk memiliki kediaman sendiri, ditambah jika individu itu baru dua tahun bekerja dengan memiliki gaji kecil.

Namun, perkara itu bukan halangan buat Eliana Azyze, 37, yang bertekad untuk meneruskan hasrat memiliki kediaman sendiri walaupun pernah berdepan kekecewaan.

Menurutnya, beliau mengakui situasi itu hampir menjadikannya putus asa untuk memiliki rumah namun impian bagi memiliki rumah sendiri dan tinggal berdikari menjadi sebab utama untuk dirinya terus mencuba sehingga ada bank yang sudi meluluskan permohonan pembiayaannya.

“Saya ikat perut pada dua tahun pertama dan simpan jumlah sama seolah-olah saya melakukan pembayaran bulanan penuh sebagai langkah untuk membiasakan diri membayar ansuran meskipun pembayaran progresif hanya beberapa puluh ringgit saja.

“Alhamdulillah, bila rumah siap saya sudah terbiasa dengan jumlah ansuran itu,” katanya.

Beliau yang juga kakitangan swasta berkata, rumah pertama yang dibelinya itu adalah unit kondominium yang terletak di Jalan Batu Muda, Kuala Lumpur dengan harga RM220,000.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan membeli rumah terbabit kerana ia ditawarkan pada harga amat berpatutan berbanding kondominium lain pada masa itu.

Malah, ia terletak di lokasi strategik berdekatan pusat bandar raya serta memiliki akses dengan pelbagai lebuh raya sekitar Kuala Lumpur.

“Ketika itu, saya terpaksa menangguhkan perpindahan ke rumah berkenaan selama tujuh bulan walaupun sudah mendapat kunci kerana perlu mengumpul wang untuk memasang jeriji, kabinet dapur dan beberapa keperluan rumah lain.

“Saya hidup setahun tanpa perabot namun itu adalah pengalaman paling indah sebab saya benar-benar puas setiap kali berjaya kumpul duit dan beli secara tunai. Konsep saya, ada duit baru beli dan berbelanja ikut kemampuan,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau memiliki perancangan untuk memiliki rumah kedua, Ely berkata, beliau sedang meninjau peluang untuk memiliki rumah bertanah namun sedar harga rumah jenis itu di Kuala Lumpur diibarat seperti tidak tercapai dek akal buat masa ini.

“Jadi buat masa sekarang, saya masih menilai faktor lokasi dengan tempat kerja dan rumah ibu bapa serta pulangan jika saya mengambil keputusan untuk menyewakan rumah pertama saya ini,” katanya.

Mengulas mengenai pembelian rumah, Ely berkata, perkara itu tidak terlalu sukar jika seseorang individu itu mengetahui dan mengambil kira keperluan kediaman masing-masing.

“Pada saya, perkara yang sukar dalam membeli rumah adalah kelayakan membeli rumah itu sendiri dan kemampuan rakyat Malaysia berikutan harga rumah di negara ini boleh dikatakan mahal,” katanya.

Sementara itu, beliau menyarankan kepada individu yang belum memiliki rumah untuk memilikinya kerana rumah adalah aset dan tidak rugi untuk membeli berikutan nilainya naik berlipat kali ganda dalam tempoh beberapa tahun.

“Bagaimanapun, elok jika buat dulu kajian yang cukup dari segi kemampuan, lokasi, pulangan setimpal atau tidak (jika beli untuk disewakan) dan sama ada pemaju mempunyai latar belakang dan pencapaian yang baik dalam pembinaan rumah.

“Rumah atau hartanah adalah pelaburan untuk jangka panjang, jadi pilihlah dengan bijak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:24 AM