BERDASAR kemampuan semasa tidak lebih daripada 35 peratus gaji.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

MEMILIKI kediaman pertama seharusnya menjadi detik penting dalam hidup setiap individu dan ia tidak sepatutnya menjadi bebanan yang perlu ditanggung kerana mengakibatkan masalah kewangan di kemudian hari.

Malah, lebih penting kediaman pertama sepatutnya dimulakan dengan rumah yang dibeli berdasarkan kemampuan semasa.

Pelabur hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, sebelum memilih kediaman, kita perlu menilai median gaji semasa selaras dengan harga kediaman yang ingin dibeli.

“Pastikan kediaman yang kita beli tidak menelan lebih daripada 35 peratus gaji kita.

“Sebagai contoh, jika gaji kita RM3,000, maka bayaran kediaman yang sihat untuk kita adalah RM1,050 sebulan.

“Bagi bayaran sebanyak itu, kita layak beli kediaman yang berharga RM210,000 saja,” katanya.

Menurutnya, walaupun setiap individu mengimpikan kediaman luas dan selesa, tidak salah sekiranya rumah pertama yang dibeli lebih kecil.

“Jika kita terus bermula dengan kediaman teres dua tingkat berharga RM500,000 contohnya, ia akan menelan jumlah yang banyak setiap bulan dan mengurangkan simpanan kita.

“Kita akan hilang peluang menyimpan dan rumah menjadi mesin yang telan semua simpanan kita.

“Kita perlu betulkan mentaliti kita. Jika baru mula kerja dan simpanan masih belum banyak, kita mulakan dengan kediaman teres setingkat, apartmen atau flat saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:15 AM