NOOR Fatin Syazwanie di hadapan salah sebuah rumah yang dibeli.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


DI SAAT rakan seusianya baru memulakan kerjaya dan mula mengumpul harta, gadis ini sudah memiliki kediamannya sendiri. Bukan satu tetapi tiga rumah.

Noor Fatin Syazwanie Abdul Mahadi, 26, membeli kediaman pertamanya pada usia 23 tahun selepas enam bulan menamatkan pengajian.

Malah, wang pendahuluan untuk pembelian rumah berkenaan juga hasil titik peluhnya mengumpul duit melalui perniagaan sampingan ketika masih menuntut di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Zaman pengajian saya di UTHM, saya mencari cara untuk dapatkan duit saku. Saya jual pelbagai barangan berkaitan pelajar kerana ia lebih mudah dijual.

“Sejak dari awal pengajian lagi saya memang berazam untuk memiliki rumah sendiri dan hasil jualan sampingan itu saya kumpul sedikit demi sedikit untuk tujuan membeli rumah.

“Selepas tamat pengajian dan mula bekerja, saya sudah mula membuat carian kediaman yang sesuai dan enam bulan selepas itu, saya berjaya memiliki kediaman berkenaan,” katanya.

Menurutnya, rumah pertama yang dibeli itu adalah kediaman sekunder jenis teres setingkat berharga RM135,000 di Taiping, Perak. Bayaran bulanan yang perlu dilunaskan adalah sekitar RM700.

“Ketika itu, gaji saya kurang daripada RM2,200 namun, masih layak untuk membeli rumah dengan harga berkenaan.

“Ketika ini, rumah itu disewakan sekitar RM1,300 sebulan,” katanya.

Noor Fatin berkata, dia tidak berhenti di situ saja sebaliknya terus mencari kediaman kedua yang kemudiannya dihadiahkan buat ibu dan bapanya.

“Kediaman ketiga yang dimiliki turut disewakan dan saya kini dalam perancangan mencari kediaman keempat.

“Tidak mustahil untuk anak muda memiliki kediaman sendiri dan kita perlu tahu selok-belok pengurusan kewangan.

“Jangan terjerat hutang jahat di awal usia dan bezakan antara kehendak dan keperluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:10 AM